" Allah menguji keikhlasan hati kita bila kita bersendirian, Allah memberi kedewasaan bila kita ditimpa masaalah, Allah melatih kita dengan kesabaran dalam kesakitan, Allah tidak pernah mengambil sesuatu yang kita sayang kecuali dengan menggantikannya dengan yang lebih baik " (",)
Selasa, 26 Julai 2011
Aurat Perempuan
Assalamu’alaikum…
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah s.w.t kerana telah menganugerahkan nikmat iman dan islam serta diberi peluang berupa masa untuk aku mengukir sebuah lagi lembaran perkongsian maya, moga-moga ianya memberi manfaat bersama untuk kita melayari bahtera kehidupan yang sementara ini dimana sentiasa dihempas oleh gelora dugaan dan ujian. Selawat dan salam juga buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang tidak pernah berhenti bernekad demi menjunjung perintah Allah s.w.t dan menunjukkan rasa cinta Baginda s.a.w kepada kita selaku umatnya hatta disaat hampir wafatnya Baginda s.a.w. sesungguhnya kekuatan cinta Baginda s.a.w kepada kita dapat kita rasai dan ada sehingga kini iaitu dimana islam masih mekar melata dimuka bumi ini.
Menutup aurat adalah juga salah satu tuntutan yang telah digariskan dalam islam agar keharmonian hubungan antara lelaki dan perempuan terjaga dengan baiknya. Disini aku ingin menyentuh berkenaan aurat perempuan sahaja kerana kebanyakkan sekarang golongan hawa inilah ang paling “ menonjol “ dalam mendedahkan atau mempamirkan kecantikan hingga melanggar batas-batas syara’ yang telah ditetapkan oleh islam.
Kadang-kadang terfikir juga di lubuk hati aku, dimana hilangnya sifat malu golongan hawa ini? sesungguhnya yang mencantikkan mereka adalah sifat malu itu, iaitu malu mempamerkan apa yang ada pada dirinya pada merka yang haram. Malu itu bukan bermaksud lemah tapi ianya suatu anugerah yang kalu kita lihat sekarang Allah sudah hilangkan satu demi satu dari batang tubuh kaum hawa dan seharusnya kita tak kiralah kaum hawa atau adam, seharusnya kita sama-samalah berdoa agar sifat malu itu ada dan masih subur untuk menjadi benteng penghalang kepada melakukan maksiat pada Allah s.w.t.. Amin… (^_^)
Bahagian Pertama:Ta'rif Aurat
Dari segi bahasa membawa maksud kekurangan, Dari segi istilahnya pula, apa-apa yang wajib ditutupnya dan apa-apa yang haram untuk dilihatnya (anggota badan).
Dalil yang mewajibkan bagi menutup aurat:
(يَابَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلاَ تُسْرِفُوا إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ) (الأعراف: 31).
Maksudnya:( Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid [534], makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan [535]. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.)
Ibnu Abbas mentafsirkan perkataan زِينَتَكُم sebagai pakaian bagi menutup aurat dan dalil tersebut juga digunakan untuk mewajibkan menutup aurat.
Rasulullah (S.A.W) bersabda:
عن عائشة أن النبى (ص) قال :( لا يقبل الله صلاة حائض الا بخمار)
(رواه الخمسة الا النسائي)
Maksudnya:( Tidak diterima sembahyang (seseorang perempuan) itu yang haid akan tetapi (diterima) dengan menutup kepala.)
خمار* = Apa yang digunakan untuk menutupi kepala perempuan.
Dan bersabda lagi Rasullulah (S.A.W):
(يا أسمأ, ان الامرأة اذا بلغت المحيض, لم يصلح أن يرى منها الا هذا وهذا, وأشار الى وجهه وكفيه)
Maksudnya:( Wahai Asma' Sesungguhnya apabila seseorang perempuan telah baligh, Tidak boleh diperlihatkan ini dan ini. Sambil mengisyaratkan kearah muka dan tapak tangan.)
Dan sememangnya telah bersepakat ulama' wajib menutup aurat bagi wanita secara mutlak.didalam sembahyang dan selainnya.
Syarat –Syarat bagi menutup aurat:
1.Wajib menutup aurat dengan menggunakan kain yang tebal (tidak terlalu nipis): Maka wajib menutup dengan menggunakan kain yang berwarna jelas (tidak warna yang seolah-olah menampakkan tubuh atau warna kulit).
Mazhab Syafie berpendapat:
2.Syafieyyah dan Hanabalah mensyaratkan: Pakaian yang menutup aurat itu perlulah secara menyeluruh (tidak ada lubang-lubang atau yang sebagainya). Dan ini bermakna tidak memadai hanya dengan berkain tebal dan berwarna jelas.
3.Dan perlu juga menutup pada bahagian sisinya (disebalah kanan dan kiri).
Disini dinyatakan akan syarat menutup Aurat wanita dengan perbandingan 4 Mazhab yaitu Maliki, Hambali, Syafi’e dan Hanafi :
a) MALIKIYY
Semua badannya, kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah (harus) didedahkan muka dan dua tapak tangannya di jalan dan di hadapan lelaki ajnabi, tetapi dengan syarat aman daripada fitnah. Jika ditakuti fitnah, maka wajib ditutup
b) HAMBALIYY - Ada dua qawl:
1. Semua badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Muka dan dua tapak tangannya halal dilihat lelaki ajnabi, jika aman daripada fitnah. Tetapi wajib ditutup sekiranya ditakuti mendatangkan fitnah.
2. Semua badannya, tanpa kecuali. Ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada Iman Ahmad dan inilah qawl yang paling sahih.
c) SHAFI'IYY Ada dua qawl berdasarkan dua riwayat daripada Iman Shafi'iyy:
1. Semua badan, tampa kecuali. Inilah qawl yang paling sahih atau paling nyata atau mu'tamad, sebagaimana diterangkan oleh Ibnu Hajar al-Haytamiyy di dalam az-Zawajir dan al-Baydawiyy di dalam Tafsirnya dan juga para Ulama' Shafi'iyyah.
2. Semua badan, melainkan muka dan dua tapak tangan. Mubah didedahkan muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki ajnabi dengan syarat aman daripada fitnah. Wajib tutup muka dan dua tapak tangan itu bukan kerana ianya aurat, tetapi kerana menutup pintu fitnah dan fasad.
d) HANAFIYY Ada dua qawl, derdasarkan dua riwayat daripada Iman Abu Hanifah:
1. Semua badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah di dedahkan muka dan dua tapak tangan di jalan dan di depan lelaki ajnabi dengan syarat aman dari fitnah. Jika ditakuti mendatangkan fitnah atau membawa kepada fasad, maka wajib ditutup.
2. Semua badannya, kecuali muka, dua tapak tangan dan dua qadam (iaitu tapak kaki) dan pergelangannya
Bahagian Kedua:Batasan Aurat
Lelaki: Bermula dari pusat hingga ke lutut.
Ini berdalilkan hadis :
حديث الدارقطني وأحمد وأبي داود عن عمرو بن شعيب عن ابيه عن جده قال:(ما دون سرته حتى يجاوز ركبته)
Maksudnya: (Diantara benda (aurat) yang tidak boleh (dilihat) ialah dari pusat sehingga lutut.)
Perempuan dan khunsa: Keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan termasuk juga rambut.
Ini berdalilkan firman Allah Taala:
(وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوْ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُوْلِي الإِرْبَةِ مِنْ الرِّجَالِ أَوْ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلاَ يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ) (النور: 31).
Maksudnya: (Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung).
Perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya iaitu apa yang zahir daripadanya (muka dan kedua tapak tangan).
Keseluruhan ulama bersepakat suara wanita bukanlah aurat, Ini berdasarkan tindakan para sahabat sendiri mendengar perkara yang berkaitan dengan agama daripada para isteri Rasullulah (S.A.W). Akan tetapi haram mendengar suara wanita yang dilenggok-lenggokkan atau dilembutkan dengan tujuan untuk menggoda yang boleh membangkitkan nafsu, walaupun suara bacaan Al-Quran. Kerana dibimbangi akan berlakunya fitnah.
Bahagian Ketiga :Perbincangan Berkenaan Dengan Hukum Bersalamn Diantara Lelaki Dan Perempuan.
Sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi, permasalahan hukum berjabat tangan diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim merupakan masalah yang amat penting dan untuk memutuskan hukumnya bukan semudah yang disangka. Ianya memerlukan kesungguhan dan pemikiran yang tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir luaran yang akan menjerumus kepada mengikut hawa nafsu semata-mata.
Sebelum kita mendiskusikan permasalahan ini, Sayugianya saya mengeluarkan dua permasalahan yang diperbincangkan oleh para Fuqaha'.
Pertama:Diharamkan berjabat tangan dengan wanita apabila disertai dengan syahwat dan taladzzud (bersedap-sedap) dari salah satu pihak, lelaki atau wanita (kalau keduanya dengan syahwat sudah semestinya lebih terlarang lagi) atau kemungkinan akan berlakunya fitnah (dengan bersalaman tersebut).
Berdalilkan sabda Rasulullah (S.A.W):
عن أميمة بنت رقيقة, قال (ص) (انى لا أصافح النسأ) - رواه الموطأ والترمزي والنسائى
Maksudnya:Dari Umaimah binti Raqiqah, bersabda Rasulullah (S.A.W) (Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita)
Kedua:Dibolehkan berjabat tangan dengan wanita tua yang sudah tidak punya ghairah terhadap lelaki, samalah hukumnya terhadap kanak-kanak yang belum mempunyai syahwat terhadap lelaki, kerana berjabat tangan dengan mereka itu aman dari sebab-sebab fitnah. Begitu juga bila lelaki sudah tua dan tidak punya ghairah terhadap wanita.
Hal ini berdasarkanpada riwayat dari Abu Bakar r.a bahawa beliau pernah berjabat tangan beberapa orang wanita tua. Dan Abdullah bi Zubair mengambil pembantu wanita tua untuk merawatnya, adakalanya wanita tua itu mengusapnya dengan tangannya dan membersihkan kepalanya.
Dan ini juga berdasarkan dalil daripada firman Allah Subhanahuwataala:
(وَالْقَوَاعِدُ مِنْ النِّسَاءِ اللاَّتِي لاَ يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيم)ٌ (النور: 60).
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (Maksudnya: pakaian luar yang kalau dibuka tidak menampakkan aurat) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Bijaksana.
Bahagian Keempat:Perbincangan Berkenaan Hukum Pergaulan Diantara Lelaki Dan Perempuan.
Pergaulan diantara lelaki dan perempuan (ikhtilat) merupakan suatu ciri pergaulan masyarakat jahiliyah dimana ia juga berasaskan kepada nilai-nilai dan sistem hidup jahiliyah. Ia merupakan bentuk pergaulan yang telah ditolak oleh islam semenjak kedatangan Rasulullah saw yang membawa sisitem dan nilai hidup yang dipandu al_Quran dan as-Sunnah.
Ikhtilat Menurut Hukum Islam
Secara teorinya Islam yang dibina di atas asas aqidah dan keimanan yang mutlak kepada Allah bertujuan untuk menonjolkan ciri-ciri kemanusiaan dan meninggikan darjat kemanusiaan itu di atas segala darjat yang lain, oleh itu pada praktiknya ia tidak dapat menerima sebarang bentuk pergaulan yang diasaskan di atas ciri-ciri kebinatangan di dalam proses pembentukan dan existensi (wujudiah) masyarakatnya. Ini selaras pula dengan kejadian manusia sebagai makhluk yang baik.
Firman Allah:
والتين والزيتون (1) وطور سينين (2) وهذا البلد الآمين (3) لقد خلقنا الآنسان في أحسن تقويم (4)
Maksudnya: “Demi buah tin dan zaitun dan gunung Tur Sina serta negeri Mekah yang aman ini. Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
Tegasnya Islam bertujuan melahirkan suatu keperibadian dan generasi manusia yang menepati ciri-ciri kejadiannya yang sangat tinggi supaya ia dapat memenuhi kembali tugasnya sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, menerima arahanNya semata-mata, begitu juga tunduk dan patuh kepadaNya semata-mata, dan sebagai pemimpin kepada ummat manusia seluruhnya.
Ikhtilat pada prinsipnya dijelmakan dalam bentuk hubungan bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, ia boleh berlaku samada di tempat sunyi atau di tempat yang terbuka. Kesan dari perhubungan semacam ini membuka ruang kepada berlakunya perzinaan di dalam masyarakat.
Sabda rasulullah saw:-
Maksudnya: “Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang ketiganya.”
Syariat Islam mengharamkan kepada lelaki melihat kepada wanita lain yang bukan muhrim. Seorang lelaki tidak diperbolehkan memandang kepada orang perempuan selain kepada isterinya dan wanita-wanita muhrimnya.
Firman Allah:-
قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم، ويحفظوا فروجهم… وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن، ويحفظن فروجهن… ( النور؛ 31 )
Maksudnya: “Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari oarang-orang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka…dan katakanlah kepada orang perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka.”
Sabda Rasulullah saw :
(يا علي لا تتبع النظرة النظرة فانمالك الأواي وليست لك الآخرة)
Maksudnya: “Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (dosa ke atasmu).”
Tersebut dalam kitab al-Majmuk “Bahawa apabila seorang lelaki ingin melihat kepada perempuan yang ajnabiah tanpa sebab yang syar’ie, maka haram baginya yang demikian itu. Haram baginya melihat samada aurat perempuan itu ataupun selain auratnya… dan haram juga kepada perempuan melihat kepada lelaki yang ajnabi samada kepada auratnya atau selain auratnya tanpa sebarang sebab yang syar’ei… maksud dari penegahan ini keatas golongan lelaki adalah untuk mengelakkan mereka daripada godaan syaitan (الافتتان) dan godaan ini juga berlaku ke atas golongan perempuan lantaran golongan perempuan itu terlebih segera menerima godaan kerana sifat syahwatnya yang terlebih kuat, maka haram keatasnya penglihatan itu”.
2.4 Oleh kerana menahan pandangan mustahil dapat dilakukan dalam bentuk pergaulan yang bebas (bercampur lelaki dan perempuan) maka sayugialah Islam bertindak mengharamkannya, dan Islam menetapkannya kepada setiap lelaki dan perempuan yang ingin bermuamalat bahawa ia mestilah mengadakan sekatan yang menghalang penglihatan di antara keduanya.
Firman Allah:-
واذا سألتموهن متاعا فاسألوهن من وراء حجاب (اللأحزاب)
Maksudnya: “Apabila kamu minta dari perempuan akan sesuatu seperti alat-alat yang digunakan di dalam rumah, baldi atau pinggan atau belajar ilmu atau minta sesuatu fatwa maka hendaklah kamu minta itu dari balik tabir iaitu dari belakang tabir iaitu dari suatu sekatan di antara kamu dengan perempuan itu.”
Al-Imam Qurtubi di dalam mentafsirkan firman Allah ini berkata: “Pada ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa Allah mengizinkan perempuan mukminah menguruskan permasalahan mereka melalui belakang tabir samada masalah itu merupakan hajat-hajat yang mendatang atau masalah-masalah hukum yang memerlukan fatwa.
Termasuk di dalam perintah ini semua golongan wanita, berdasarkan asas-asas syariah yang terkandung di dalam ayat ini bahawa tubuh perempuan seluruhnya adalah aurat termasuklah badan dan suaranya seperti yang telah dinyatakan. Maka adalah haram mendedahkan aurat tersebut (kepada penglihatan lelaki ajnabi) melainkan kerana keperluan seperti persaksian yang dilakukan keatasnya atau pengubatan pada tubuhnya atau pun soalan-soalan atas apa yang berlaku khusus kepadanya.
Sabda Rasulullah saw:
(لا يخلون رجل بامرأة ولا تسا فرون امرأة الاومعها محرم)
Maksudnya: “Tidak boleh bersunyi seseorang dari kamu dengan perempuan dan tidak boleh bermusafir seorang perempuan melainkan bersamanya muhrim.”
Kecenderungan naluriah antara lelaki dan perempuan adalah kecenderungan yang dalam sekali. Membangkitkan kecenderungan ini pada setiap saat akan menambah geloranya lagi. Pandangan mta merangsang, gerak geri badan merangsang, gelak ketawa merangsang dan gurau senda membangkit hasrat. Jalan yang aman ialah mengurangi hal-hal yang membangkitkan hasrat tersebut, dan itulah jalan yang dipilih oleh Islam.
Ini pula adalah antara himpunan Hadis dan keterangan Al-Quran berkenaan Aurat perempuan islam yang wajib diikuti kerana sesungguhnya Perempuan itu Aurat.
1. Bulu kening- Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2. Kaki (tumit kaki)-"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." An-Nur: 31. Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.
3. Wangian- "Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.
4. Dada- "Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. "An-Nur : 31
5. Gigi- "Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya. "Riwayat At-Thabrani, "Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah". Riwayat Bukhari dan Muslim.
6. Muka dan Tangan- "Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." Riwayat Muslim dan Bukhari.
7. Tangan- "Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.
8. Mata- "Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." An Nur : 31. Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidz.
9. Mulut (suara)- "Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." Al Ahzab: 32. Sabda SAW, "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." Riwayat Ibn Majah.
10. Kemaluan- "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. " An Nur : 31."Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." Riwayat Al Bazzar. "Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
11. Pakaian- "Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah."Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu."Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." Al Ahzab : 59.
12. Rambut- "Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." Riwayat Bukhari dan Muslim.
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT (Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman )
Ketika ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)
Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini.
Larangan Nipis
Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang.
Allah SWT berfirman :
" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)
Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam)..
Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »
d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.
Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah S.W.T.
Saya kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)
Semoga perkongsian ini memberi satu gambaran kepada kaum hawa bahawa kalian sudah diciptakan cantik dan unik dari lelaki kerana kalian adalah tersangat istimewa. Dalam diri kalian terkandung rahim yang mulia kerana disitu lah lahirnya lelaki dan perempuan. Kalian sememangnya cantik, maka usah ditayang kecantikan itu kerana ianya bukan untuk dilagakan tapi untuk dihadiahkan buat yang halal.
Kecantikan pada kalian tidak akan luntur selamanya jika bajanya takwa. Usah diikut pujukan rayu lelaki durjana kelak diri merana. Jangan tergoda ketampanan pria kerana ia bayangan nafsu serakah. Jadikan batas syariat jubah dirimu, akhlak mulia hiasanmu, ketakwaan kesetiaanmu. InsyaAlah kalian akan ketemu lelaki yang kalian dambakan yang dalam dadanya punya kalimat Lailahailallah..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan