Rabu, 6 Julai 2011

Apa Erti Dunia




Assalamu’alaikum..

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya milik Allah s.w.t selaku tuhan sekalian alam yang hanya layak disembah dan dipohon segala hajat. Setelah sekian lama menyepi di alam maya, akhirnya Allah s.w.t masih mentakdirkan untuk aku melorek sedikit perkongsian yang mungkin bermanfaat ataupun sebaliknya, tapi hakikat setiap perkongsian ini adalah untuk mendapat manfaatnya..InsyaAllah..

Dari sehari ke sehari, dari seminggu ke seminggu, dari sebulan ke sebulan penantian terhadap tarikh keramat iaitu kematian. Entah bila kita akan mati? Dimana nanti kita mati? Bagaimana keadaan kematian kita? Siapa yang akan kita tinggalkan nanti? Apa yang bakal kita bawa nanti? ….

Kematian itu satu kepastian, dan kepastian itu semakin mendekati kita. Sesaat masa bergerak sesaat umur kita berkurang. Sedar tidak sedar sudah ramai kaum kerabat dan teman taulan pergi meninggalkan kita, mereka pergi meninggalkan mesej yang penting buat kita iaitu sejauh mana bekal kita untuk menghadapi hari muka?

Kasih sayang, gembira, sedih semua itu nikmat dan sudah pasti di hari kelak kita pasti akan disoal berkenaan penggunaan nikmat itu, dimana ia dihabiskan, dimana ia disalurkan, dimana dia meletak sandaran ketika diuji dengan nikmat-nikmat ilahi? Dan semua itu diharapkan dapat kita jawab dengan sebaiknya di hadapan Rabbul Izzati. Hidup di dunia ini adalah sementara waktu sahaja dan hidup di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Nabi s.a.w menganggap bahawa jarak dunia ini dengan hari akhirat adalah seperti memejamkan mata.

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah s.a.w. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah s.a.w.?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Orang itu bertanya lagi : "Apakah Syurga itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini"
Bertanya orang itu lagi ; "Apakah Jahannam itu?"

Maka berkata Rasulullah s.a.w : "Jahannam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka-mereka yang mencarinya."

Bertanya orang itu lagi : "Siapakah sebaik-baik umat ini?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah s.w.t".

Orang itu bertanya lagi : "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."

Orang itu bertanya lagi : "Seberapakah ketentuan taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w.: "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah"

Bertanya orang itu lagi : "Berapa jarak jauhnya Dunia dengan akhirat itu?"
Berkata Rasulullah s.a.w : "Hanya sekadar memejamkan mata saja."

Jabir melanjutkan cerita : "Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu seperti itu."

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya ; "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s., dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."

Berkata Rasulullah s.a.w lagi : "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya".

Semoga Allah meredhai akan segala perbuatan kita.. Amin..

Tiada ulasan: