Ahad, 19 Disember 2010

Memoriku di Kampung.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t tuhan semesta alam. Akhirnya sampai juga hajat aku untuk bertemu dengan sahabat-sahabat dari UTMKL setelah sekian lama mencari waktu dan kesempatan. Terlebih dahulu, maaf aku pinta pada kalian kerana pertemuan kita itu aku buat secara tiba-tiba kerana aku kesuntukan waktu untuk bertemu kalian disebabkan ada perancangan lain yang telah aku aturkan.

Sebenarnya , sudah menjadi pantang buat kami apabila ada waktu cuti, untuk aku dan sahabat-sahabat bertemu dan berkumpul. Tempat perkumpulan kami pula sudah tentu dekat dengan pantai. Walaupun berjam-jam kita berborak tapi rasa kepuasan itu belum terputik sepenuhnya, yelah dah lama tidak bertemu face to face pelbagai cerita menari lembut di atas lidah masing-masing untuk dipersembahkan kepada telinga yang berada disitu.

Daripada diminta cerita pasal diri sendiri dengan tanya khabar hinggalah cerita pasal masa depan masing-masing. Maklumlah masing-masing sudah mempunyai jalan hidupnya yang tersendiri dan pengalaman-pengalaman yang juga berbeza. Ada di kalangan kami yang akan sambung belajar, ada yang dah habis belajar dan ada juga yang sedang belajar. Kadang-kadang bila difikirkan balik macam kelakar, tapi itulah yang terjadi. Yelah, mana tidak kelakarnya sampai perancangan perkahwinan pun tersusun rapi. Masing-masing mengeluarkan hujjah masing-masing, lepas itu gelak ramai-ramai hilang kerinduan yang tersemat dihati selama ini buat sementara.

Disamping gelak ketawa itu ada juga input-input yang baik yang dapat aku perolehi, maklumlah sebahagan sahabat-sahabatku ini belajar dari pondok, maka tidak hairanlah jika persoalan tauhid 3 dan tauhid 20 di timbulkan. Tapi disaat itu bukan perdebatan cuma perkongsian tentang apa yang mereka perolehi semasa di pondok. Aku pula yang biasa-biasa ini dengar jelah. Disaat kami berbicara, mata cuba melihat kawasan sekeliling pantai tersebut. Indah ciptaan Allah s.w.t dengan pasirnya yang memutih, air lautnya membiru dan langaitnya terbentang luas tanpa bertiang yang juga membiru lembut dan sungguh sesuai untuk menenangkan perasaan dan membuat pertemuan melepaskan kerinduan.

Apabila bercakap bab melepaskan kerinduan ini, maka tidak mungkin tidak kita akan melihat dua pasangan merpati juga melepaskan kerinduanya. Jarang-jarang dengan kereta, tapi banyak-banyak dengan motor. Kalau dengan motor pula sedikit-sedikit suami isteri, banyak-banyak pula adalah couple yang sudah tentulah bukan mahram. Ini lah fenomena di Negara kita masing-masing nak tunjuk dia ada awek maklumlah nampak la jantan sikitkan dan perempuan pula nak tunjuk dia ni lawa, cantik, berani mendedah, dan mesra sebab tu lah jantan ni suka padanya. Aduhai perempuan yang berfikiran sebegini, amat ruginya kamu jika kamu meletakkan diri kamu serendah itu.

Alahai lelaki amat malanglah jika kelakian kamu itu hanya diletakkan semudah itu. Jadi persoalannya, adakah saat kamu berpisah dengan awek kamu itu maka kelakian kamu hilang? Bukan pelik jika kelakian boleh hilang macam tu sahaja!! Tidak kah kita semua pernah membaca ayat suci Al-Quran dari surah Al-zalzalah yang menerangkan sifat Allah yang Maha Menghalusi segala yang halus.

Bermaksud:

Barang siapa yang beramal dengan sebesar zarah kebajikan ia pasti akan melihat ganjarangnya dan barangsiapa yang beramal sebesar zarah kejahatan pasti juga ia melihat pembalasannya. (Surah Al-zalzalah : Ayat 7-8)

Aku memandang lagi ke arah lain menghayati keindahan alam disamping mendengar celoteh sahabat-sahabat lama ku itu sehinggalan azan Asar berkumandang. Kami bersiap-siap menuju ke surau yang berdekatan. Walaupun ada dikalangan remaja yang masih melengah-lengahkan waktu solat, tapi tidak kurangnya juga dengan mereka yang berada didalam dan bersiap sedia mengangkat takbir bersama-sama iman di surau itu.

Terdetik juga dalam lintasan hatiku, alangkah indah jika masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi orang didalamnya setiap kali waktu solat, dan ingin juga merasakan perasaan berebut-rebut untuk berada dalam saf yang paling hadapan. Tapi ada juga di sesetengah tempat, mereka memberi tempat dihadapan pada orang lain sedangkan dia berada pada saf yang kedua. Pelik tapi itulah realiti sekarang.

Selesai solat jam telah menunjukkan pukul 4.30, kami pergi makan dekat gerai yang berdekatan, sambil makan sambil berbual pasal ajaran sesat pulak. Bila difikirkan balik agak kelakar juga, yelah dah la lama tidak jumpa tapi isu ini yang terkeluar. Tapi aku layang gak la dan berkongsi setakat yang tahu dengan mereka. Tapi bila pikir kali kedua, bagus juga aku ada sahabat-sahabat sebegini kerana ianya dapat mengingatkan kita kepada Allah s.w.t dan berfikir tentang Kebesaran-Nya. Berborak sambil makan memang seronok sehinggakan tidak perasan jam berdetik pantas sehingglah menunjukkan pukul 5.30 petang. Bila di pantai tidak main air tidak sah, maka kaki kami mengatur langkahnya ke tepi pantai meninggalkan gerai makanan tadi. Disamping bermain air, keluar pula isu minyak naik dari salah seorang sahabat ku. Apalagi bantai la pulak isu itu dengan pendapat masing-masing, aku senyap jelah mendengar masing-masing berhujjah mengalahkan pakar ekomoni dunia gayanya.

Akhirnya kami berpisah pada pukul 6.45 petang, dengan masing-masing pulang menuju kearah rumah dengan membawa memori yang baru terlorek di minda masing-masing. Moga-moga persahabatan kita ini bukan sekadar dimulut tapi ianya terluah dengan perasaan dan kasih sayang. Yelah jika bukan kerana ukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah s.w.t, sudah pasti rumah sahabat ku yang jauh (dekat dengan sempadan thailand) ini aku dan sahabat-sahabat lain tidak akan sanggup datang. Jauhnya boleh tahan, dan penatnya sudah pasti diraih nanti. Tapi bukan itu yang difikirkan, hanya difikirkan hendak bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan dahulu. Ukhuwah bukan senang tapi ukhuwah bukan susah. Semuanya kerana Allah s.w.t..

Semoga ukhuwah kita berkekalan sehingga ke akhir hayat.. Aminnn..

Tiada ulasan: