Jumaat, 24 Disember 2010

Akidah Perlu Dalam Berjuang.



Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah s.w.t, tuhan sekalian Alam yang menjadikan manusia sebagai Khalifah dibumi-Nya, yang mengangkat martabat manusia daripada kehinaan kepada kemuliaan. Maha Suci Allah, tuhan yang menjadikan manusia daripada tanah, yang menumbuhkan makanan untuk manusia juga dari tanah samaada tumbuh-tumbuhan ataupun haiwan ( makanan haiwan juga berasal dari tanah ) dan juga yang menjadikan tanah tempat jasad manusia dikuburkan semula..

Selawat dan salam keatas Rasul junjungan besar kita Muhammad s.a.w, kerana pengorbanan yang Baginda s.a.w dalam melayari bahtera dakwah di dalam kelompok manusia yang penuh dengan kemaksiatan dan kejahilan. Kemuliaan pengorbanan Baginda s.a.w dan para sahabat Baginda s.a.w bukan sahaja bersinar dizamannya tapi ianya merebah pantas bak denyutan yang menghidupkan jiwa-jiwa jihad umat islam di seluru pelusuk dunia yang mencintai Baginda rasulullah s.a.w untuk terus berjuang menyampaikan risalah Baginda s.a.w dari masa ke semasa.

Sungguh dalam perjuangan islam, pengorbanan demi pengorbanan, kesakitan demi kesakitan, kelelahan demi kelelahan perlu kita pertaruhkan bilamana diri bergelar sang pejuang islam. Akhir-akhir ini, bila saja disebut tentang pejuang islam, rata-rata dari sesetangah pihak memandangnya dengan pandangan yang sinis dan memualkan. Dan ada yang mengatakan pejuang islam itu adalah politik, retorik, dan sia-sia belaka dan itulah gambaran yang dilahirkan dari sesetengah pihak di Malaysia sendiri. Tapi adakah mereka sedar akan tuntutan berdakwah ini? Sedangkan Semua umat manusia yang beragama islam tidak kira apa bangsa sekalipun, yang mengakui bahawa Allah itu Esa dan mengakui beriman dengan Allah s.w.t, sudah terpikul diatas pundak dan bahu mereka akan tututan menyampaikan risalah islam samada melalui perbuatan ataupun percakapan.

Jika islam itu politik, maka jawapannya adalah YA!!, mana tidaknya, kerana kaedah untuk menyampaikan risalah islam itu bergantung kepada waqi’ di sesuatu tempat itu, jika undang-undang, amalan dan gaya hidup islam boleh tertegak dengan memasuki saluran politik, maka saluran politik lah merupakan saluran yang terbaik untuk dipilih dan digerakkan dalam sesebuah Negara itu. Inilah yang melanda Negara kita sekarang, apabila ketaksuban parti atau partai menguasai diri sehingga membelakangkan usaha atau matlamat dakwah itu sendiri. Dan ada juga yang menentang membuta tuli terana taksub dengan politik tanpa mengkaji dahulu matlamat sebenar sesuatu parti politik itu. Dan sesungguhnya perjuangan parti hendaklah bermatlamatkan melahirkan Negara yang mempunyai rakyat yang mempunyai Hablummillah (hubungan dengan Allah ) dan Hablumminnas (hubungan dengan manusia) serta menggunakan hukum yang telah digariskan dalam islam.

Sebagaimana Firman Allah s.w.t :

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Qs. Ali Imran: 103)

Seharusnya kita sebagai rakyat seharusnya sedar akan hakikat itu, memilih parti atau calon yang kelak akan memimpin kita kearah yang baik dan menyatupadukan rakyat dan ianya bukan sahaja melahirkan kehebatan dari sudut material di dalam sesebuah Negara tapi juga kearah meninggikan kalimah Lailahaillah disamping melahirkan cendakiawan-cendakiawan yang bukan sahaja yang boleh membina sebuah bangunan tinggi, jentera-jentera yang hebat tapi juga boleh berdakwah di masjid-masjid. Ianya bukan mudah tapi ianya tidak mustahil untuk dilaksanakan oleh pemimpin-peminpin pilihan kita. Kerana ditangan mereka terletak kekuasaan untuk mengubah kondisi rakyat dan melahirkan rakyat kearah yang lebih baik dan diredhai Allah s.w.t.

Sebagaimana pemimpin-pemimpin Negara, kita juga sebenarnya merupakan pemimpin terhadap orang bawahan kita dan kalau si suami itu pemimpin kepada isteri dan anak-anak, dan kalau kita berpersatuan, kita adalah pemimpin terhadap mereka yang berada dibawah kita dan sebagainya. Kita juga harus ingat kita sebenarnya sudahpun ditaklifkan sebagai khalifah dibumi Allah s.w.t. Maka sebagai seorang khalifah yang akan memakmurkan dunia ini juga adalah merupakan seorang da’ie yang akan menyampaikan yang baik dan mencegah yang mungkar. Seorang da’ie seharusnya mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap tanggungjawab, amanah, dan tututan agama dalam berdakwah. Ini telah dikhabarkan oleh Allah melalui firmannya di dalam Surah Al-An'am, ayat 165:

Maksudnya:

Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan dia mengangkat darjat-darjat sebahagian dari kamu ke atas sebahagian yang lain, untuk menguji kamu tentang apa yang telah dia berikan kepada kamu, sesungguhnya Tuhanmu itu amat cepat siksaannya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sebagai da’ie kemantapan dari sudut ketahanan jiwa atau rohani ini tersangat perlu agar tidak kecundang dalam perjuangan melayari bahtera Dakwah. Maka sudah tentulah kemantapan jiwa ini akan terbentuk dengan memasakkan kefahaman akidah yang utuh dalam jiwa sanubari sang pendakwah. Seorang da’ie atau pendakwah seharusnya menyedari bahawa mereka telah melakukan jual beli dengan Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan bayaran syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Tuarat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) Allah ? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu da itulah kemenangan yang besar.
(Surah Al-Taubah : Ayat 111)

Akidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan akidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan daripada itulah maka sebagai orang yang mengaku berjuang Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan akidah ini daripada sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.

Jika kita melihat kepada buku Akidah dan Perjuangan karangan Armarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor dinyatakan bahawa akan berlakunya kecacatan didalam perjuangan tanpa akidah yang kukuh, beliau menyelitkan diantara hadis Baginda s.a.w :

Diriwayatkan dari Abu Musa r.a.:
Seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tentang jihad: “Orang yang berjuang atau berperang kerana mahukan harta rampasan, orang yang berperang kerana mahukan supaya namanya disebut, orang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, orang yang berperang kerana keberanian semata-mata, orang yang berjuang kerana perkauman, atau kerana kekeluargaan, ataupun kerana fanatic keturunannya, ataupun berperang kerana marah, maka siapakah yang dikatakan berperang fi sabilillah?” Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menjawab: “Orang yang berperang pada jalan Allah, ialah mereka yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang Maha Suci.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Dari Amirul Mukminin Umar Ibnu Al-Khattab r.a. katanya:
Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah (bergantung) dengan niat. Dan sesungguhnya setiap apa (yang dilakukan oleh) manusia itu (balasannya atas) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dikecapinya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ia berhijrah kerananya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada hadis diatas jelas menunjukkan bahawa, seorang pejung agama haruslah mempunyai kepaduan niat yang jitu dimana segala genap pekerjaan dalam menyampai risalah islam adalah semata-mata kerana Allah.s.w.t, dan sesungguhnya untuk melahirkan niat yang Lillahita’ala ini adalah didorong oleh hati yang betul-betul mantap keyakinannya kepada janji-janji Allah azza wajalla. Dan untuk memantapkan keyakinan pada Allah, maka seharusnya seorang itu mempunyai pula Akidah yang jitu kepada Allah s.w.t .

Disamping itu juga Armarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor juga menyatakan dalam bukunya itu akan kepentingan-kepentingan akidah terhadap perjuangan islam. Dan diantaranya ialah :

1. Supaya jelas matlamat perjuangan
2. Supaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T
3. Supaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuangan
4. Supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan
5. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia
6. Supaya amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan
7. Supaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam
8. Supaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam
9. Supaya tahan dalam menerima ujian dan cabaran
10. Supaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuangan
11. Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
12. Supaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan.

Benarlah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Armarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor dalam bukunya itu mengenai serangan-serangan golongan yang memusuhi islam terhadap para pejuang agama yang tidak jemu-jemu berusaha untuk merosakkan akidah para pejuang. Perjuangan sang da’ie tidak akan terlepas dari hasutan-hasutan golongan yang bencikan islam. Antara cara-cara golongan yang bencikan islam gunakan untuk rosakkan akidah pejuang islam atau umat islam adalah dengan meletakkan kesenangan duniawi dihati para pejuang sehingga hilangnya rasa keikhlasan dalam berjuang(berjuang kerana habuan tertentu), disogokkan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan sehingga lupa pada amanah dan tanggungjawab berdakwah, mewujudkan ideologi-ideologi baru yang mengucar-kacirkan kefahaman umat islam dan para juang serta mencampur adukkan islam dengan jahiliyah, iman dengan kufur, dosa dengan pahala, ibadat dengan maksiat dan sebagainya.




Antara sifat-sifat sang pejuang islam (da’ie), walaupun serangan dan penindasan oleh golongan yang bencikan islam ini datang dari segenap sudut sejak dari zaman Baginda s.a.w dan zaman sahabat-sahabat Baginda s.a.w lagi, namun keazaman Baginda s.a.w dan para sahabat tidak pernah luntur dan padam dalam menyampaikan risalah islam bahkan keizzahan islam tetap berterusan bersinar dan bercahaya terang sehingga kepada segenap pelusok dunia sehinggalah sekarang.

Allah s.w.t berfirman :

Dan tidak pula mereka menjadi lemah semangat lantaran apa yang mereka dertai dalam perjuangan fisabilillah, mereka tidak kehilangan harapan dan tidak pula berdiam diri. Dan (bahawa) Allah sayang kepada orang-orang yang sabar.
(Surah Ali-‘Imran : Ayat 146)

Perbuatan untuk meruntuhkan islam dari golongan yang memusuhi islam adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak mungkin berlaku.

Allah s.w.t berfirman :

Mereka hendak memadamkan Nur Allah dengan mulut mereka, namun Allah pasti menyempurnakan cahayanya walaupun orang-orang kafir tidak suka.
(Surah Al-Saf : Ayat 8)

Daripada keterangan-keterangan di dalam Al-Quran sudah jelas menunjukkan kepada kita bahawa golongan yang memusuhi islam tidak akan berdiam diri selagi tidak dapat menghancurkan islam secara total, bahkan mereka tidak mungkin dapat hapuskan islam secara total. Ianya telah pun bermula dari zaman baginda s.a.w dan pada zaman sekarang juga kita dapat melihat akan kebenaran firman Allah s.w.t yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w sejak 1400 lebih tahun yang lalu mengenai halangan-halangan dan ujian yang akan melanda golongan yang akan memperjuangkan agama. Pelbagai usaha-usaha jahat yang telah mereka aturkan untuk menjatuhkan islam dan menyakiti pejuang-pejuang islam samaada dengan seksaan batin atau jasad. Tidak lupa juga pelbagai strategik-strategik berupa kospirasi jahat yang mereka aturkan adalah dengan bermatlamat menghancurkan pegangan agama remaja umat islam (pejuang islam) melalui serangan secara senyap (serangan berupa fikiran yang menghapuskan nilai Rabbani didalam minda remaja dengan menggantikan nilai Rasional yang terbatas disamping meratahi dan mengerumuni umat islam yang kian luntur pegangan agamanya).
Memang, pejuang islam akan menderitai jiwa dan perasaan tapi ianya akan subur kembali bahkan bertambah keyakinan mereka apabila lantunan ayat-ayat Allah s.w.t meresapi jiwa dan sanubari mereka.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut “ALLAH”, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-NYa, bertambahlah imannya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.
(Surah Al-Anfal : Ayat 2)

Mereka akan tetap teguh dalam pendirian mereka dan mereka seharusnya bersedia untuk menghadapi kepahitan dalam medan juang. Manakala jika usaha dakwah yang dilakukan adalah dalam keadaan yang mudah dan bersenang-sengan sebaliknya seseorang itu harus lah bermuhasabah kembali kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran yang bermaksud :

Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal kamu belum mengalami apa yang telah dialami oleh manusia sebelum kamu. Mereka telah menderita kesusahan dan keperitan hingga bergegar (keimanan) mereka. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersamanya tertanya-tanya : “Bilakah gerangan datangnya pertolongan Allah?” (Insaflah) bahkan pertolongan Allah itu hampir jua.

(Surah Al-Baqarah : Ayat 214)

Allah s.w.t berfirman lagi yang membawa maksud :

Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal Allah belum mengetahui siapakah dari kamu yang berjihad dan siapa pula yang sabar. (Padahal) sebelum ini kamu pernah bertekad untuk berjuang (sebelum pertempuran). Kini setelah terluang kesempatan di hadapan, kamu masih teragak-agak. (Surah Ali-‘Imran : Ayat 142-143)

Keperluan akidah yang mantap sudah semestinya diperlukan untuk dijadikan pasak yang kukuh untuk terus istiqomah dalam perjuangan. Disamping itu juga ketabahan dan kesabaran juga mesti disuburkan kerana kebanyakkan halangan dan cabaran yang akan dihadapi bukan ujian yang main-main dan ujian yang ringan-ringan. Dan seharusnya ujian itu dihadapi dengan tenang dan dengan penuh kesabaran serta dengan perasaan berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

2 ulasan:

amiramawaddah berkata...

pada tawadhuk,
pada ukhwah fillah, pada infaq fisabilillah,
pada uzlah muhasabah diri, pada zikir yang selawat, adalah ketenagan dan kekuatan kita. btol x ridhuan..:)

Bukhari berkata...

Selagi ianya tidak Bercanggah dengan Islam, Ianya betul... (^_^)