Isnin, 2 Julai 2012

Antara Contoh-Contoh Pahlawan Terdahulu..




Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah s.w.t atas nikmat yang besar iaitu nikmat iman dan islam serta nikmat-nikmat yang lain seperti nikmat kesihatan, nikmat kelapangan masa untuk berfikir akan agama-Nya dan sebagainya. Alhamdulillah setingginya juga kita panjatkan kepada Allah s.w.t kerana telah menganugerahkan insan mulia Nabi Muhammad s.a.w kepada kita, yang mana kehadiran Baginda Nabi s.a.w telah menyentuh jutaan sanubari manusia untuk kembali kepada cahaya kebenaran dari ranjau kemaksiatan. Sebanyak-banyak selawat dan salam mesti kita titipkan dengan lafaz lidah dan hati kepada Nabi junjungan Besar Baginda Muhammad s.a.w kerana kasih sayang Baginda Nabi s.a.w kepada kita tersangat besar dan semoga ingatan selawat kita itu menjadi bukti bahawa kita Kasih pada Baginda Nabi Muhammad s.a.w lantas membenih cahaya kemuliaan Baginda Nabi s.a.w dalam mengatur langkah menjejak Bumi Allah s.w.t… Amin...

Setelah sekian lama tidak menulis, otak kian membeku dalam mengatur rentak bahasa, jari jemari kian hilang seni tarinya di medan ‘keyboard’ yang sedia terhidang dan juga lidah mula kelu dalam menyusun lafaz yang mudah dan jelas. Kepuitisan kian hari kian tenggelam kelam dalam sulaman corak warna kehidupan yang menidakkan masa dan ruang buat diri untuk seketika dalam mencari rentak susun tulisan.

Sungguh dalam setiap detik yang berlalu itu meningglkan corak sejarah yang tertentu, tidak akan hilang sama sekali detik waktu itu, kerana pemergian detik masa atau waktu atau zaman itu meninggalkan khazanah berbentuk sejarah yang lebih mahal dari emas dan berlian. Sejarah itu merupakan guru dalam membentuk masa depan. Mana mungkin, sejarah akan terbentuk seandainya tiada detik waktu yang menyusul pergi.

Sejarah adalah guru yang amat berharga kepada kita, tapi ada juga dikalangan kita mengatakan ianya adalah rasa kebencian di masa lalu. Sedarkah kita jika kita merasakan benci pada sejarah lalu, ia sebenarnya mengajar kita seribu erti makna kehidupan yang memungkinkan kita berada di tahap ini pada saat dan ketika ini. Hakikat sejarah akan menjadi indah jika diimbang balik dalam rentak Islam yang semestinya bersifat Syumuliyyah. Oleh itu bersyukurlah jika kita dapat belajar dari sejarah dan beristigfarlah jika kita masih belum belajar darinya dan sungguh aku tergolong dalam golongan orng yang beristigfar. Astagfirullah..

Dalam sedang aku mencari idea untuk melorekkan sesuatu di sini aku terbelik buku ‘Amal Jama’I yang mana di dalam buku ini aku sempat mencatat nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh Allahyarham Ustaz Yahaya Othman di rumahnya suatu masa yang dahulu. Semoga Allah s.w.t merahmati dan meredhai beliau dalam pengorbanan beliau dalam mentenggelamkan dirinya di jalan Dakwah ini.. Amin.. Antara nasihat yang diberikan adalah :

1) Jadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran bukan sekadar Berjaya
2) Kena laksanakan niat ibu bapa,
3) Bersedia untuk menyambung pelajaran di peringkat Master, PhD
4) Hiasi diri dengan akhlak mulia.
5) Orang yang menjadi pemimpin hendaklah orang yang membaca.

Mungkin kita sering lupa tapi ingatkan lah kembali akan diri kita akan firman Allah s.w.t :

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) kami, benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. ”
(Surah Al-‘Ankabut : Ayat 69)

Disini aku datangkan kepada teman-teman contoh-contoh pahlawan terdahulu yang terdapat dalam buku “Sehingga Para Pemuda Mengerti” yang dinukilkan oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang mana tulisan beliau sungguh mendalam dan membawa erti yang jelas kepada kita anak muda. Teringat kata teman aku “ Orang muda akan kekal muda dan orang tua akan bertukar muda bila mereka mengikuti jalan yang disimbahi darah para rasul dan para syuhada yang terdahulu (dakwah), sebab penghuni syurga semuanya berusia muda (orang tua bila masuk syurga akan dikembalikan nikmat usia muda dan menjadi muda) “. Semoga sejarah yang terakam ini dapat kita renungkan dan jadikan pembakar semangat untuk terus berada dalam jalan Dakwah Fillah… Amin…

Untukmu –wahai para pemuda- beberapa contoh kepahlawanan mereka, peristiwa-peristiwa pengorbanan mereka :

1. Diriwayatkan bahawa anak Abu Khaisamah r.a telah dibunuh di dalam peperangan Badar. Lantas Abu Khaisamah datang berjumpa Nabi s.a.w. Beliau berkata “ Peperangan Badar telah tersalah daripadaku. Aku –demi Allah- sangat berkeinginan menyertainya, sehingga aku membuat undi dengan anakku, siapakah diantara kami yang berhak keluar berperang. Kemudian keluarlah undi kepada anakku, dan beliau dianugerahi syahadah. Sesungguhnya semalam aku telah bermimpi bertemu dengan anakku dalam keadaan yang cukup elok, berjalan kearah buah-buahan syurga dan sungai-sungainya. Beliau berkata “ Kebenaran bersama kita, wahai ayahku. Marilah sertai kami di syurga. Sesungguhnya aku dapati segala janji Tuhanku kepadaku adalah benar. “

Aku terjaga, wahai Rasulullah, menjadi sangat rindu kepada syurga, sedangkan umurku telah lanjut, tulang belulangku telah lemah, aku juga sangat rindukan berjuampa Tuhanku. Maka doakanlah untukku,wahai Rasulullah, agar aku diberi rezeki syahadah dan dapat bertemu Khaisamah di dalam syurga. “ Lalu Rasulullah s.a.w mendoakannya dan beliau terbunuh dalam peperangan Uhud debagai seorang syahid.

2. Amru bin Jumud r.a adalah seorang yang sangat tempang. Beliau mempunyai empat orang anak muda yeng berperang bersama Rasulullah s.a.w. Ketika baginda s.a.w ingin berangkat kepeperangan Uhud, beliau berhasrat untuk keluar berjihad bersama Rasulullah s.a.w. Lalu anaknya berkata kepadanya “ Sesungguhnya Allah telah menjadikan untukmu rukhsah (keringanan) daripada pergi berperang. Cukuplah kami sebagai gantimu. Sesungguhnya Allah telah mengangkat kewajipan berjihad daripadamu. “
Kemudian Amru mendatangi Rasulullah s.a.w dan berkata “ Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anakku itu menghalang aku daripada berjihad bersamamu. Demi Allah, sesungguhnya aku amat berharap agar aku syahid di jalan Allah, dan aku dapat memijak dengan ketempanganku ini di dalam syurga!! “ .. Baginda s.a.w bersabda “ Adapun untukmu, sesungguhnya Allah telah mengangkat kefarduan jihad daripadamu. “ Baginda berkata kepada anak-anaknya “ Tidak perlulah kamu menghalangnya, mudah-mudahan Allah azza wajalla akan menganugerahkan syahadah. “ Maka keluarlah beliau bersama Rasulullah s.a.w dan akhirnya beliau dibunuh pada hari peperangan Uhud sebagai seorang syahid.

3. Berkata Nuaim bin Malik r.a “ Wahai Nabi Allah! Janganlah kau haramkan kami. Demi Tuhan yang jiwaku berada di genggamannya, aku akan memasukinya (syurga). “ Berkata Rasulullah s.a.w “ Dengan apa? “ Beliau menjawab “ Dengan cintaku kepada Allah dan Rasulnya, dan aku tidak akan lari pada hari peperangan. “ Berkata Rasulullah s.a.w kepadanya “ Engkau benar. “ Kemudian beliau telah syahid pada hari tersebut.

4. Inilah Umair bin Himam r.a tatkala mendengar Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya pada hari peperangan Badar “ Bangunlah kea rah syurga, lebarnya seluas langit dan bumi. “ Berkata Umair “ Wahai Rasulullah, syurga lebarnya sahaja seluas langit dan bumi?!! “ Jawab Baginda “ Ya! “ Berkata Umair “ Bagus! Bagus! “ Bersabda Rasulullah “ Apakah yang menyebabkan engkau berkata “Bagus! Bagus!”? “ Jawabnya “ Tidak –demi Allah- wahai Rasulullah, melainkan aku berharap aku menjadi salah seorang ahli syurga. “ Baginda bersabda “ Sesungguhnya engkau daripada ahli syurga. “

Pada hari peperangan beliau mengeluarkan beberapa biji tamar daripadanya kulitnya kemudian beliau memakan sebahagian daripadanya. Kemudian beliau berkata “ Kalaulah aku terus hidup sehingga aku selesai memakan buah tamar ini, ia adalah tempoh yang cukup panjang. “ Beliau melemparkan kurma yang ada di tangannya lantas merempuh masuk ke medan pertempuran mengangkat pedangnya dengan tangan kanannya, dihayunkan ke atas.

5. Abu Talhah al-Ansari membaca surah “Baraah” (Taubat) sehinggalah sampai kepada ayat :

“ Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dngan harta dan dirimu di jalan Allah. “
- At-Taubah : 41 –

Beliau r.a berkata “ Allah telah memerintahkan kita keluar berjihad dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, muda dan berumur pertengahan, Allah tidak akan mendengar alasan daripada sesiapa pun. “ Dia berkata kepada anaknya “

“ Wahai anakku, siapkanlah daku… persiapkanlah daku… (yakni untuk berjihad). Anaknya berkata kepadanya “semoga Allah merahmatimu. Engkau telah berperang dengan Nabi s.a.w sehingga Baginda wafat, bersama Abu Bakar r.a sehingga beliau wafat, bersama Umar sehingga beliau wafat. Sekarang biarlah kami pula yang berperang menggantimu!” Beliau menjawab “Tidah, bahkan persiapkanlah daku…” Lalu mereka mempersiapkan kelengkapan perang untuknya. Kemudian beliau berperang di lautan dan meninggal di dalam perjalanan. Mereka tidak mendapati suatu pulau pun untuk mengkebumikannya, radhiyallahu anhu.

6. Said bin Musayyib r.a keluar ke medan peperangan, sedangkan sebelah matanya telahpun buta. Orang berkata kepadanya “ Engaku adalah orang yang sakit! “ Beliau menjawab “Allah telah menyuruh kita berangkat untuk berperang baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat. Kalaulah aku tidak mampu berperang sekali pun, aku boleh meramaikan bilangan tentera, menjaga barang-barang mereka.”

7. Diriwayatkan di dalam beberapa peperangan bahawa anak dan ayah berlumba-lumba untuk berjihad, mereka mengundi di antara kedua-duanya. Keluarlah undi memihak kepada anaknya. Si ayah berkata “ Atamakanlah aku wahai anakku, akukan ayahmu.” Jawab si anak “Ianya adalah syurga wahai ayah. Kalaula perkara lain nescaya aku akan utamakan engkau, demi Allah.”

8. Adalah salah seorang mujahidin tatkala rebah syahid di dalam medan jihad berkata “ Aku bersegera kepadaMu wahai Tuhanku supaya Engkau meredhainya.”

Berkata yang lain pula ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir:
“ Esok aku akan berjumpa para kekasih…
Muhammad dan para sahabatnya. “

Berkata yang lain pula ketika dia ditewaskan di dalam medan yang mulia:
“ Ini adalah hari kegembiraan yang paling besar “

Berkata yang lain pula ketika akan dijatuhkan hukuman bunuh, sedangkan para musuh mengelilinginya dari segenap penjuru:
“ Aku tidak peduli tatkala aku dibunuh sebagai seorang muslim, Dari arah manapun untuk Allah lah pertarunganku. ”

Berkata mujahid yang kelima ketika dia menyerahkan rohnya kepada Tuhannya. “ Wahai Kebahagiaan syurga dan pemilik keserahan. Aku mendapati bau syurga di sebalik bukit Uhud. “

Semoga Allah merahmati penyair Islam Muhammad Iqbal, di atas nait-bait syairnya yang dikarang tentang jihad umat ini, yang terdidik daripada madrasah keimanan, memahami hakikat islam dengan sebenarnya, menyelami medan pertempuran jihad, mencita-citakan syahadah di jalan Allah. Marilah kita sama-sama mendengar kepada qasidah yang terpelihara ini :

“ Siapakah yang mengangkat pedang untuk menjulang namamu..
Sebagai menara dia atas kemuncak bintang-bintang?

Kita adalah kaum gunung yang tinggal di sebalik gunung, dan mungkin..
Kita adalah pelayar yang belayar di atas gelombang lautan.

Di kuil-kuil Afrika dahulunya kita beribadat..
Sebelum datangnya pasukan Islam yang membuka bandar-bandar,

Afrika dan padang pasirnya tidak lupa …
Sembah-sujud kita.. sedangkan bumi melontar api…

Kita telah menghadapkan dada-dada kita kearah pedang..
Tidak pernah kami gentar musuh yang zalim, yang bermaharajalela.

Seolah-olah banyangan pedang adalah teduhan di taman-taman..
Menghijau, tumbuh di sekitarnya bunga-bungaan.

Tidaklah kami takut kepada thaghut yang memerangi kami walaupun..
Mereka mencacakkan maut di sekeliling kami sebagai pagar.

Kami mengisytiharkan dengan lantang bahawa “Tiada Tuhan Melainkan Dia”
Yang Menciptakan kewujudan dan Yang Menentukan takdir.

Kepala-kepala kami –wahai tuhan- di atas telapak tangan kami…
Kami mengharapkan pahalaMu, ganjaran dan berdampingan denganMu.

Kami melihat berhala-berhala daripada emas, lantas…
Kami hancurkannya, dan kami hancurkan di atasnya orang-orang kuffar

Kalaulah orang bukan Islam, nescaya mereka akan mengambilnya
Sebagai harta simpanan, ditempa perhiasan dan duit dinar. “


Wahai para pemuda Islam, nantikanlah hari ini yang kamu mempersembahkan hati dan rohmu dengan murahnya di jalan menegakkan kalimat Allah, memuliakan agamaNya di muka bumi.

Sesungguhnya pertolongan tidak akan datang dengan hanya berangan, redha dengan keadaan sekarang, berterusan untuk berehat, mengutamakan keselamatan… bahkan ianya hanya akan datang dengan mempersembahkan pasukan-pasukan korban, segerombolan syuhada merentasi pertarungan berdarah, dan jihad yang pahit…

“ Biarkan daku menggapai ketinggian yang tidak mampu dikecapi..
Kemuliaan yang tersukar ada pada yang sukar, dan yang termudah ada pada yang mudah.
Engkau mahu mencapai ketinggian dengan harga yang murah,
Sedangkan untuk mendapatkan madu mestilah disengat lebah. ”

Sesungguhnya jemaah-jemaah Islam pada kurun ke-20 telah mempersembahkan beberapa rantaian syuhada seperti as-Syahid Imam Al-Banna, as-Syahid Abdul Qadir Audah, as-Syahid Sayyid Quth, as-Syahid Muhammad Faraghli, as-Syahid Yusuf Tal’at, as-Syahid Marwan Hadid, dan ratusan lagi.. Sesungguhnya ia akan mempersembahkan pula pada masa hadapan yang terdekat, laluan-laluan pertempuran yang panjang, satu kafilah (rombongan) demi satu kafilah… satu pasukan demi satu pasukan, sehingglah kita melihat bendera “La Illaha Illa Allah, Muhammad Rasulullah” dijulang di langit dunia, menyaingi umat-umat di dalam kemegahannya, kekuatannya, dan ketinggiannya… Bukanlah perkara ini suatu yang sukar bagi Allah.

Maka wahai para pemuda, sesungguhnya ia adalah salah satu daripada dua kebaikkan, sama ada kemenangan ataupun syahadah.

“ Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan juga, sebagaimana kamu menderitanya, sedangkan kamu mengharapkan dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksanan. ”
- An-Nisa’ : 104-

“ Kamilah manusia, yang tiada perantaraan (pilihan ketiga) di antara kami,
Pilihan kami; menang dan terkedepan di dalam alam, ataupun kuburan.. ”

“ Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur syahid. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu. Dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya) ” - Al-Ahzab : 23 –

“ Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. ”
- Al-Imran : 169 –

Semoga Allah merahmati penyair yang telah berkata :

“Saudaraku, jika kita mati, kita akan berjumpa kekasih kita,
Taman-taman syurga Tuhanku disediakan untuk kita.
Burung-burung mengibas-ngibas sayapnya di sekeliling kita,
Alangkah eloknya Negara yang kekal abadi untuk kita..”


Inilah cara untuk melaksanakan –wahai para pemuda-

Syiar “Allah Matlamat Kami”
dan syiar “Rasul Ikutan Kami”
dan syiar “Al-Quran Perlembagaan Kami”
dan syiar “Jihad Jalan Kami”
dan syiar “Mati di Jalan Allah Cita Tertinggi Kami”


Maka apabila kamu melaksanakannya nescaya perbuatan kamu akan menjadi bertepatan dengan apa yang kamu laung-laungkan.. Dan untuk perkara inilah, hendaklah golongan yang bekerja berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Teman-teman sekalian, mereka terdahulu tidak lekang dalam meletakkan keyakinan pada setiap langkah yang mereka aturkan. Mereka dahulukan langkah mereka dengan niat Fillah, mereka tidak gentar kerana hati dan diri mereka sudah kebal dengan Cintakan Syahid. Sungguh diri ini amat yakin akan suatu masa akan lahir batang-batang tubuh yang tersedia dan menanti kesyahidan menyapa.

Tiada ulasan: