Selasa, 1 Mei 2012

Selangkah Ke Fitrah!!



Sekali kaki melangkah bermakna bekas-bekas masa yang sudah dilalui tidak munkin dijejak kembali. Sedetik masa berlalu, sedetik pula usia maju. Setiap yang tiba melalui detik-detik masakan nyata dan pasti diterima. Andainya kaca yang tiba, kacalah rupanya, tak munkin lagi diganti dengan masa, sekalipun darah terburai dari mata dek tangisan.


Ayuh kawan! Kuburkan sahaja bencana yang menimpa. Kerana segala-galanya sudah menjadi abu-abu sejarah, ditiup bayu berterbanganlah ia. Sedangkan kajayaan esok masih menyintai kita.


Hadapilah hari esok dengan dada yang lapang, penuh harapan cemerlang. Anggaplah kegagalan yang tiba sebagai percubaan. Dan percubaan penentu kejayaan.

Manakala menderita dalan percubaan adalah suatu perjuangan yang tidak membuahkan kejayaan yang diidam-idamkan.


Ingatlah, betapa hidup ini bukan setenang air dikolam, bukan secetek air ditasik, tapi bak air dilautan. Dilanda taufan bergelombanglah ia. Hidup ini sepenuhnya dirangkum masa. Dan perjalanan masih aneh pula. Hari ini kita ketawa, esok hari kita akan menangis kerananya.


Segala laku dan langkah yang kita kerjakan bukanlah penyambung hayat. Tapi sebagai rantai yang merantai bagi satu-satu kehidupan.

Putus satu cederalah semua, malahan mungkin merobohkan istana harapan yang dimimpikan.


Oleh itu awasilah dalam menggunakan masa. Jangan tertawan dek sinar mentari petang, jangan terpikat dek kumbang yang terbang, usah terpesona dek bunga kembang ditaman. Kerana ia takkan kemana. Hari ini hilang pergi, besok harinya datang menjadi ganti. Roboh istana cinta bukanlah kecewa dan hampa. Tapi runtuh bangunan cita-cita rosaklah kehidupan bahagia yang diidam-idamkan. Tersinggung rasa dek cinta hanya sementara. Tapi hampa jiwa dek cita-cita bermakna selama-lamanya kecewa.


Dari itu wahai kawan, biarlah istana cinta musnah buat seketika, akan kita bina dihari muka. Pantaskan kaki mengejar cita-cita, kerana cita-cita cepat dilari masa. Dan bila masa pergi ia tak bisa menoleh lagi. Usaha adalah penentuan dan takdir adalah suratan.


Kadang-kadang wahai kawan kita lupa akan hakikat kehidupan yang sementara ini dek gelombang nafsu yang mencerminkan pandangan yang indah di jiwa. Sedangkan ianya mainan buat mereka yang lupa lumlah kehidupan. Jika tuah menyapa pergi, maka ditafsirkan bahawa ianya adalah ketidak adilan, jika tuah terasa hadir maka dikata ianya sepatutnya dapat. Itulah hakikat manusia yang menjadikan dunia mainan jiwa. Iman mengkhabarkan bahawa dunia ini contengan sementara bahkan akhirat bukan bayangan atau mimpi dan ianya pasti berlaku.


Hempasan nafsu sering melemaskan jiwa yang lemah, membuai akal hilang pertimbangan, menyeluk peribadi memijak mulia hingga hilang jati diri seorang muslim. Kawan, sudah mula kita kenang kembali akan gemerlapnya cita-cita akhirat kita, sudah sepatutnya kita mencampakkan racun-racun lampau sejauhnya agar ianya hilang bergantikan kekhusyukkan ibadah.


Teman, tidakkah kalian ingin merasa akan lahirnya aliran cinta pada Ilahi dalam hati sanubarimu? Tidakkah kalian ingin merasa dekat dengan Allah dan Rasul-Nya?

Tidakkah kalian ingin merasakan diri kalian terjaga dalam jagaan Allah? Dan tidakkah kalian ingin merasa akan kebahagian dihati kalian?


Teman, sudah masa kita mencari semua itu kerana umur kita makin memendek dan usia makin menambah. Sedangkan kita masih beribadat tanpa apa-apa rasa, sedangkan cinta belum pun terlahir dan sedangkan diri masih bergelutan dengan maksiat pada Allah s.w.t. Ayuhlah kita mencari makna kehidupan untuk kehidupan di hari muka. Seruan demi seruan kita diperdengarkan oleh Allah s.w.t dalam kitab suci-Nya, sedangkan kita masih lagi kaku dalam mengikutinya. Teman-teman sampai bila kita harus begini, adakah sampai kepada penghujung nyawa? Adakah kita menunggu orang lain berubah baru kita berubah?


Teman, sesungguhnya Allah s.w.t sudah menentukan akan ajal dan maut kita dan barangkali kita mungkit tidak akan ketemu hari esok sedangkan orang sekeliling kita mungkin ajalnya lama berbanding kita dan adakah kita masih mahu menunggu untuk dia berubah baru kita berubah?

Berubah untuk kebaikkan semestinya mendapat cacian dan cercaan mereka yang tidak mengerti, seharusnya sabar itu menjadi banteng pada hati dan bergembiralah dengan cacian itu kerana Allah s.w.t sedang memerhatikanmu. Allah s.w.t sedang berbicara dengan mu wahai teman. Allah s.w.t sedang memerhatikan keikhlasan di hatima mahai teman. Allah s.w.t sedang menunggu pengaduan doa mu wahai teman. Dan sememangnya Allah s.w.t mahu memberi pahala padamu dengan percuma wahai teman.


Teman, masih ingatkah pada sirah Nabi s.a.w disaat baginda dihina bahkan pernah dilontar batu sehingga berdarahnya gusi Baginda s.a.w, adakah disaat itu Baginda s.a.w marah? Adakah Baginda mencemuh? Tidak wahai teman, Baginda s.a.w mengangkat tangan berdoa dan mengadu pada Allah dengan aduan yang lembut dan ikhlas serta penuh ehsan buat mereka yg tidak mengerti.

Sudah masanya teman kita sama-sama memimisahkan dunia ini dalam hati sanubari kita. Sudah masanya kita menjadikan Allah dan Rasul s.a.w sebagai pengisi hati sanubari kita..


Ya Allah, Engkau telah mengetahui bahawa kami sering bermaksiat kepada-Mu. Ya Allah, Engkau juga mengetahui bahawa kami ini dhaif dalam ilmu agama-Mu. Ya Allah, Engkau juga mengerti setiap lintasan hati kami dan setiap makhluk-Mu..


Maka ya Allah, jangan lah Engkau mencampakkan kami di gaung neraka-Mu, jangan lah Engkau mematikan jiwa-jiwa kami melainkan Engkau telah menganugerahkan kepada kami akan rasa cinta, kasih, khusyuk, ikhlas dalam menunaikan ketaatan kepada perintah-Mu dan jangan lah Engkau kekalkan kami lemas dalam kemaksiatan kepada-Mu. Sungguh kami ini insan lemah dan mengaharapkan belas dan kasih-Mu.


Ya Rabb, Engkau anugerahkan lah juga kami taufiq dan hidayah agar kami terus berubah dan kekal dengan perubahan untuk mengabdikan diri kami buat-Mu wahai tuhan sekalian Alam... Amin..

Tiada ulasan: