Muqaddimah
Memilih untuk bersama gerombolan dakwah adalah satu pilihan yang paling tepat. Namun dengan hanya menjadi ‘ahli gerakan dakwah’ tidak memberikan kita tempat yang istimewa di sisi Allah sehinggalah kita menjadikan diri kita sebagai ‘ahli dakwah’ yang mewaqafkan kehidupan kita untuk memikul risalah Allah SWT ini.Dakwah adalah bahagian utama daripada tarbiyyah yang sedang kita lalui. Diri kita tidak akan terus meningkat sehinggalah kita menjadikan dakwah itu sebahagian dari diri kita sendiri. Dakwah adalah sudut amaliyah tarbiyyah yang menjadikan kita lebih memahami dan lebih merasai hakikat Islam sebenar bahkan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah SWT.
Bagaimana sahabat-sahabat awal (awwalun) yang kebanyakannya ummi (tidak tahu membaca dan menulis) dan membesar dalam suasana jahiliyyah mampu muncul sebagai peribadi-peribadi hebat bahkan mampu berdepan dengan ujian-ujian yang begitu hebat dan berat; rahsianya terletak kepada penterjemahan segala didikan yang mereka perolehi dari Rasulullah melalui medan amaliyah dakwah.
Salah satu dari medan dakwah adalah dakwah fardiyah iaitu membinakan hubungan individu (Ittisal fardi) dengan seseorang dengan tujuan mengubahnya dari seorang yang jauh dari Islam kepada ahli dalam gerakan dakwah yang kita pelopori.
Objektif kita ialah supaya kebanyakan mereka yang aktif di dalam masyarakat berada di bawah pengaruh dan bimbingan kita sebagai pendokong Islam dan beramal bersama kita dalam gerak kerja yang terancang dan terlaksana secara jama’ie. Kesan dari dakwah fardiyah ini, mad’u (objek dakwah) kita akan menjadi pendokong Islam dengan kelayakan sebagai akh atau sekurang-kurangnya menjadi penyokong yang setidak-tidaknya bersimpati dan mempunyai wa'. Mereka percaya pada jalan kita, memberi sokongan, menyukai Islam dan sanggup bersusah payah kerananya.
Dakwah Fardiyah Dan Realiti Ummat
Kita hendaklah memahami realiti muslimin yang menjadi medan dakwah kita (di sini kita hanya membincangkan mengenai urusan mendakwah kaum muslimin supaya kembali kepada Allah). Ini kerana tuntutan sekarang ialah memindahkan mereka dari realiti hidup jahiliyyah yang menguasai mereka pada hari ini kepada realiti hidup yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT.
Sebahagian besar dari mereka hidup dengan kefahaman yang salah, malas beramal untuk Islam, bersikap keterlaluan, mengambil hanya sebahagian dari Islam dan lain-lain. Kita hendaklah memindahkan mereka kepada suasana kehidupan yang baru; kehidupan yang memahami Islam dengan kefahaman yang lengkap(syamil) sempurna (kamil) sebagaimana yang dibawa oleh Rasulallah SAW. Kita juga perlu memindahkan mereka kepada memahami tuntutan Islam yang sempurna dan memahami cara merealisasikannya menurut kaedah yang paling sempurna dan betul. Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati beberapa kelemahan besar terutamanya kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa dan tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya.
Serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari atau tidak. Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu.
Dengan itu iman yang hidup ini akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang sholeh. Mungkin berfaedah kalau kita peringatkan di sini bahawa beriltizam dengan tertib dalam menaiki tangga menuju martabat para ‘amilin adalah suatu yang pasti dan sangat penting. Ini kerana tanpanya boleh mengakibatkan kemunduran, kejatuhan lalu mengambil sikap berdiam diri dan duduk berpangku tangan. Kita akan mulakan dakwah dengan menyeru seorang yang lalai.
Kemudian beransur-ansur mempertingkatkannya dari satu marhalah ke satu marhalah sehingga ia sanggup menyerahkan segala yang dimilikinya untuk menggerakkan amal Islami yang diimaninya. Walaupun keadaan ummat begitu parah dan jauh dari Islam yang sebenar namun pada hakikatnya, terdapat individu yang baik dan lebih mudah menerima dakwah. Orang yang seperti inilah yang patut dijadikan sasaran dakwah dan diberikan keutamaan demi menjimatkan waktu dan usaha. Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah SWT dan mentaati perintah-Nya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.
Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api yang akan membinasakan itu. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.
Keperluan Kepada Dakwah Fardiyah
Merekrut manusia ke jalan Allah SWT ini merupakan amal yang mahal dan tidak cukup dengan dakwah ‘ammah yang bersifat umum. Setiap individu perlu didekati dan dibina dari satu tahap ke satu tahap hingga mereka sanggup bersama kita mendepani onar dan serangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam serta sanggup bersusah payah mengejutkan manusia lain yang masih tidur.
Da’ie perlu masuk kedalam kehidupan mereka dan menjadikan dirinya bahagian penting dari kehidupan mereka. Lalu mereka dengan mudah menerima dakwah kita hingga akhirnya mereka menjadi sebahagian dari arus dakwah yang menggerakkan manusia untuk kembali kepada Allah SWT. Hal ini dapat dilakukan dengan berbagai macam cara, di antaranya melalui dakwah fardiyah dalam ruang lingkup 7 marhalah yang akan dibincangkan nanti.
Fokus Dakwah Fardiyah
Secara umumnya pendekatan dakwah fardiyah ialah membina kefahaman mad’u terhadap 4 perkara iaitu:
Mafhum Tarbawi; iaitu memberi kefahaman dan mendekatkan mad’u kepada kepentingan, keperluan dan komitmen kepada tarbiyyah untuk membina ciri-ciri mukmin pada dirinya.
Mafhum Da’wi; iaitu memberi kefahaman mengenai keperluan dakwah bagi menyelesaikan segala permasalahan ummah dan merawat segala kerosakan yang berlaku dalam kehidupan insan.
Mafhum Haraki; untuk memberi kefahaman dan menjelaskan kepada mereka akan keperluan kepada satu bentuk tarbiyyah yang khusus (tarbiyyah Harakiyyah) untuk mempertahan dan membangunkan Islam dalam suasana tidak adanya Khilafah Islamiyyah dan suasana dimana jahiliyyah menguasai.
Mafhum Jama’ie; untuk memberi kefahaman dan menekankan keperluan kepada jama’ah bagi mempertahan dan mencapai matlamat Islami. Modal utama dari gerak kerja dakwah fardiyah ini ialah keperibadian mukmin dengan segala keindahan budi pekertinya serta jiwa yang kuat persandaran, tawakkal dan pengharapan kepada janji-janji dan pertolongan Allah SWT.
Uslub Dan Marhalah Dalam Dakwah Fardiyah
Berikut ini adalah uslub praktikal dakwah fardiyah sebagaimana yang dikemukakan oleh As Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya Dakwah Fardiyah. Ringkasan uslubnya sebagai berikut:
LANGKAH PERTAMA:
Ditahap ini kita perlu berupaya untuk membina hubungan dan mengenali setiap orang yang hendak didakwahi dan membangunnya dengan baik. Upaya ini untuk menarik simpati darinya agar hatinya lebih terbuka dan siap menerima perbincangan yang dapat diambil manfaat sehingga pembicaraan berikutnya dapat berlangsung terus. Pembinaan hubungan dengannya dilakukan secara intensif sehingga objek dakwah atau mad’unya mengenali orang yang mengajaknya itu sebagai pilihan terbaik untuk dipergauli dan dicontohi. Kata Abbas As Siisi “Tabiat dakwah kita adalah saling mengenal dan saya yakin bahawa suatu ketika dakwah kita akan dapat menghimpun orang-orang yang berjiwa baik dan berkeperibadian mulia.”
Oleh itu seorang da’ie perlulah memiliki kekuatan untuk membina hubungan dengan anggota masyarakat yang berada disekitarnya. Ia mestilah seorang peramah, mesra, tahu menghormati dan menghargai orang lain, mengambil berat dan peka dengan keadaan masyarakatnya.
Dr “Ali Abd Halim Mahmud meletakkan 2 syarat minimum untuk menjadi seorang pendakwah atau da’ie iaitu:
1. Suka bergaul dengan masyarakat,
2. Peka dengan penyakit yang melanda masyarkat.
Pembinaan hubungan ini bermula dengan husnul ikhtiar (melakukan pemilihan yang baik), taaruf sehinggalah da’ie mampu memenangi hati dan ketsiqahan objek dakwahnya. Husnul Ikhtiar(حسن الاختيار);
Pemilihan yang baik Dai’ie perlu membuat pemilihan yang baik (Husnul Ikhtiar) supaya gerak kerjanya lebih terfokus dan menjimatkan masa. Kadangkala hanya terdapat 1 atau 2 orang di sekeliling, maka di sini kita tidak ada pilihan. Ada masanya terdapat bilangan yang ramai, mungkin 50 orang di satu-satu tempat. Di sini kita bolehlah membuat pemilihan. Cuba memilih yang terbaik supaya akhirnya mereka akan menjadi ahli atau penyokong yang bermutu.
Kita mencari beberapa sifat-sifat tertentu pada pemilihan kita seperti; Mereka yang rapat dengan kita. Oleh itu kita dapat singkatkan masa untuk mengajaknya, 'Amil (pekerja).
Mereka yang bekerja iaitu orang yang apabila dia melihat sesuatu salah, dia mahu memperbetulkannya, jika melihat sesuatu yang terabai maka dia ingin menyiapkannya. Apabila dia ada pendapat yang berlainan, dia cuba untuk menyakinkan.
Mujahid. Iaitu mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup mengorbankan masanya untuk perjuangan.
Muntij (produktif). Iaitu mereka yang boleh menghasilkan. Hasil yang paling baik bagi kita ialah manusia itu sendiri. Ahli jamaah yang produktif ialah seseorang yang dapat menarik ramai orang yang baik ke dalam jamaah.
Mufakkir (kreatif). Iaitu mereka yang sentiasa memikirkan perkara-perkara yang baru. Apabila sesuatu gagal, dia selalu memikirkan cara lain untuk melaksanakan kerjanya. Sifat-sifat umum yang baik seperti pemurah, berani, setia, jujur, benar dan Iain-lain. Selalulah cuba untuk memilih dengan teliti, supaya mereka dapat menjadi ahli yang baik akhirnya dan kita juga dapat mengurangkan masa mengajaknya. Atta’aruf (التعارف); Berkenalan Beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian semasa berta’aruf:
Latarbelakang
Kita cuba mengenali mereka yang kita dekati dengan mengetahui nama, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, pelajaran dan kefahamannya tentang Islam. Juga kajilah siapa kawan-kawannya, sejauh mana pengaruh mereka padanya, bagaimana masanya diisi dan Iain-Iain. Semua ini adalah penting.
Mengikuti Perkembangan di Tempat Lain Kita lihat di zaman Rasulullah saw, baginda biasa mengikuti perkembangan orang-orang di tempat lain walaupun baginda tidak pemah bersua muka dengan mereka. Pernah satu ketika, terdapat dua orang dari Madinah, Kaab bin Malik dan Bura' bin Maaruf yang datang ke Mekah untuk berjumpa baginda buat pertama kali. Mereka pun menanya orang ramai lalu diberitahu bahawa baginda ialah orang yang ada bersama Al Abbas di Kaabah. Lalu mereka menuju ke Kaabah, memberi salam dan Rasulullah saw pun bertanya Al Abbas, "Kamu kenalkah dua orang ini?". "Ya, Bura' bin Maaruf ialah pemimpin kaumnya dan seorang lagi ialah Ka'ab bin Malik." Jawab Al Abbas. Ka'ab bin Malik masih ingat akan ketika ini di mana baginda menambah, "(Ka'ab) seorang penyair itu?" Rasulullah mengetahui Kaab bin Malik adalah seorang penyair di Madinah walaupun tidak pernah bertemu dengannya kerana baginda mengikuti perkembangan berita.
Contoh lain ialah ketika baginda pergi ke Taif untuk menyampaikan Islam. Namun baginda telah dilayan dengan buruk dan dilontar batu oleh kanak-kanak sehinggalah baginda sampai ke kebun kepunyaan dua orang Quraisyh, 'Utbah dan Syaibah. Bagindapun duduk berdekatan sebatang pokok. 'Utbah dan Syaibah merasa simpati melihatkan keadaan baginda lalu menyuruh hamba Nasrani mereka, 'Addas, menghantar anggur pada baginda. Bagindapun mula memakan anggur itu dengan membaca "Bismillah." Lalu hamba itu berkata, "Tiada sesiapapun di sini yang berkata sedemikian." Rasulullah saw mendapat peluang yang sangat baik lalu bertanya untuk bertaaruf dengannya, "Dari mana asalmu dan apakah agamamu?" "Nama saya Addas dari Ninawar". "Dari kampung orang salih, Yunus bin Matte (Nabi Yunus)?" "Bagaimana kamu tahu?" Hamba itu tahu baginda datang dari Mekah, maka dia merasa hairan bagaimana baginda boleh mengetahui tentang Ninawar yang sangat jauh dari situ. Lalu Baginda menjawab, "Dia adalah saudaraku. Saya juga seorang Rasul sepertinya." 'Addas pun terus mencium kaki dan tangan Baginda. Utbah dan Syaibah yang melihat peristiwa ini dari jauh pun berkata, "Dia (Muhammad) telah berjaya mempengaruhinya." Sekembalinya 'Addas, mereka bertanya mengapa dia berbuat demikian pada Muhammad saw. Addas menjawab, "Dia memberitahuku sesuatu yang tidak diketahui orang melainkannya dan tidak ada dalam dunia ini yang lebih baik darinya." Mereka menyuruhnya melupakan perisliwa itu dan mengatakan agama 'Addas lebih baik dari agama Muhammad saw.
Mengingati Nama
Berkenalan dengan seseorang adalah sangat mustahak dan antara perkara yang diperlukan ialah mengetahui dan mengingati nama. Seseorang akan merasakan dirinya dihargai dan dihormati apabila namanya diingati. Bahakan kita melihat ada orang yang begitu sensitif apabila namanya disebut dengan sebutan yang salah. Ini adalah fitrah manusia yang sentiasa ingin dikenali dan dihargai. Kadangkala agak sukar untuk mengingati nama terutama bila usia semakin meningkat. Apabila seseorang memberitahu namanya, ulangkan kembali dalam fikiran dan cuba kaitkan nama itu pada sesuatu.
Jika namanya Muhammad, cuba ingatkan saudara kita yang bernama Muhammad dan nyatakan yang mereka ada nama yang sama. Bila kita bertemunya kembali, berilah salam dan sebutkan namanya. la akan menjadi mesra dengan kita.
Imam Al Banna rahimahullah juga selalu cuba mengingat nama-nama. Satu masa, pengakap-pengakap dari bandar lain datang melawat ibu pejabat Ikhwan. Mereka lalu di hadapan Imam Al Banna dan memberi salam padanya. Imam Al Banna pun menjawab salam dengan menyebut nama-nama mereka sekali. Pengakap-pengakap itu kehairanan kerana mereka belum pernah bertemu beliau sebelum ini lalu bertanya beliau bagaimana beliau mengetahui nama mereka. Menurut Imam Al Banna, beliau mengenali mereka menerusi kad keahlian. Apabila beliau tahu mereka akan ke mari, beliau cuba bersungguh-sungguh mengingat dan mengaitkan di antara nama dan gambar mereka. Apabila kita ingat nama seseorang ia akan meninggalkan kesan yang besar pada dirinya. la tidak akan melupakan hakikat ini. Tetapi jika seseorang tahu kita tidak ingat namanya, dia merasakan kita tidak ambil berat tentangnya lalu hubungan tidak akan meningkat.
Kasbu Mawaddatihi wa tsiqatihi (كسب مودته وثقته); Memenangi kasih dan kepercayaannya. Setelah kita membuat pilihan dan mengenalinya, cuba pula mengadakan persahabatan yang baik hingga dia mula kasih dan percaya atau yakin terhadap kita. Kadangkala orang tertarik dan menerima fikrah kita kerana mereka kasih pada kita, bukan kerana kita meyakinkan mereka. Apabila seseorang kasih kepada seseorang yang lain, dia juga akan ikut mengambil jalannya. Adalah sangat penting orang di sekitar kasih dan yakin pada kita. Kerana itulah terdapat sebuah kata-kata berbunyi, كسب القلوب أولى من كسب المواقف "Kasbul qulub aula min kasbil muwaaqif." (Memenangi hati lebih utama dari memenangi perdebatan.)
Katakan kita ada perdebatan dengan seseorang. Jika kita menang dan menyebabkan dia tidak menyukai kita, maka sebenarnya kitalah yang kalah. Adalah lebih baik untuk kita mendapat kasihnya dari menang berdebat dan terus menunjukkan kesilapannya.
Dapatkan kasih dan keyakinannya dahulu agar mudah untuk mengajaknya kemudian. Setelah itu barulah dia akan mencontohi kita pula (dan menyedari kesilapannya). Kebanyakan dari peraturan Islam boleh membantu usaha memenangi kasih ini. Berikut adalah sebahagian darinya: Memberi dan menjawab salam. Salam adalah satu cara yang sangat baik untuk menuju hati orangramai terutamanya bila kita menjawab lebih dari salam yang diberi. Jika dijawab dengan wa'alaikumussalam, diberi 10 kebaikan; jika di tambah lagi dengan warahmatullah, diberi 20 kebaikan dan jika disambung dengan wabarakatuh pula, mendapat 30 kebaikan. Memberi dan menjawab salam adalah satu jalan untuk memulakan persahabatan.
Rasulullah saw telah bersabda, "Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain adalah 5 perkara: menjawab salam, menziarahi pesakit, mengikuti jenazah, menerima undangan dan mengucapkan rahmat ke atas Orang yang bersin."
Semua perkara yang disebut itu, jika dibuat akan benar-benar mengukuhkan hubungan. Memberi hadiah dan menghulur pertolongan.
Sabda Rasulullah saw dari Abi Hurairah, "Tiap anggota badan dari manusia wajib atasnya melakukan sedekah tiap hari apabila terbit matahari; engkau mendamaikan antara dua orang (yang berselisih), itu adalah sedekah dan menolong orang yang berkenaan dengan tunggangannya (kenderaannya) engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya ke atas tunggangannya itu adalah sedekah. Dan kata-kata yang baik itu adalah sedekah, dan setiap langkah berjalan untuk sembahyang adalah sedekah, dan menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan adalah sedekah."
Jelas di sini ada banyak cara untuk sedekah dan kesemuanya menpereratkan hubungan. Bagi orang yang baru tiba ke negara ini buat pertama kali, dia akan sentiasa ingat siapa yang menyambut dan mencarikan kerja atau tempat tinggal untuknya. Seringkali jika kitalah yang pertama menghulurkan bantuan, mereka akan terikat dan turut bersama-sama dengan kita akhimya. Umar telah berkata bahawa dua perkara yang akan mengukuhkan hubungan persahabatan ialah memberi salam dan meluangkan tempat dalam majlis. Bersikap lemah lembut.
Allah telah berfirman,
"Maka disebab rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (All Imran: 159)
Jika kita bertemu seseorang yang mula berjinak-jinak dengan Islam, dia seharusnya dialu-alukan, diberi dorongan dan dilayan dengan baik agar merasa selesa. Dengan cara ini dia akan semakin dekat dan apabila dia sudah kasih pada kita, maka tidak ada masalah lagi untuk membimbingnya ke jalan yang lurus. Semua yang telah kita lakukan ialah terhadap orang-orang Islam. Orang-orang kafir pula memerlukan kaedah yang lain. Lazimnya kita berdepan dengan ramai orang Islam, malah kita tidak ada masa untuk mengajak orang kafir kepada Islam. Ini disebabkan apabila kita memiiih sasaran, kita memiiih mereka yang terdekat dengan da'wah (iaitu di kalangan orang Islam sendiri).
Setelah kita selesai dengan mereka semua, barulah kita pergi kepada orang-orang Kristian, Yahudi dan sebagainya. Seandainya, di tempat kita tidak ada seorang Islampun, contohnya di tempat kerja di mana kita menghabiskan banyak masa bersama-sama orang Kristian, maka cubalah dekati mereka itu. Memperlihatkan contoh yang baik. Contoh yang baik adalah mustahak. Manusia tidak akan percaya pada kita jika percakapan kita menyalahi perbuatan. Kita adalah sepertimana yang telah diucapkan oleh Nabi Syuaib a.s,
"...Dan aku tidak berkehendak manyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang telah aku larang kamu daripadanya..." (Hud: 88)
Cara ini akan melahirkan keyakinan dan kepercayaan padanya kerana mereka melihat sendiri contoh dari seruan itu. Benar dalam pada lisan dan tingkahlaku Semua Nabi dan Rasul adalah terdiri dari orang-orang yang benar dan dipercayai. Bahkan gelaran Rasulullah SAW adalah al Amin iaitu seorang yang benar. Baginda Rasulullah SAW sentiasa benar dalam kata-katanya walaupun dalam saat-saat yang genting dan membahaya. Begitu juga nabi-nabi yang lain, juga seorang yang benar dan dipercayai
“Kaum Nuh Telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka (Nuh) Berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa? Sesungguhnya Aku adalah seorang Rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. (As Syu’ara: 105-107)
“Kaum Luth Telah mendustakan rasul-rasul, Ketika saudara mereka, Luth, Berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertakwa?" Sesungguhnya Aku adalah seorang Rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu.” (As Syu’ara: 160-192)
Kejujuran yang kita pamerkan akan mengikat hati-hati manusia untuk percaya atau tsiqah kepada kita dan menjadikan mudah untuk kita memenangi hati mereka sehingga mereka mula berkongsi masalah bahkan rahsia peribadi mereka kepada kita. Kita bukanlah ingin membongkar masalah dan kehidupan peribadi mereka namun ini merupakanpetanda bahawa mereka percaya dan meletakkan kita pada kedudukan yang istimewa juga petanda bahawa kita berada dipuncak marhalah yang pertama ini. Segala masalah peribadi mereka tetap menjadi amanah yang perlu kita pelihara supaya tidak terbongkar keaiban diri mereka kepada orang lain.
LANGKAH KEDUA:
Membangkitkan iman yang termendap di dalam jiwa. Pembicaraan hendaklah tidak langsung diarahkan pada masalah iman, namun sebaiknya berjalan secara tabi'i, seolah-olah tidak disengaja dengan memanfaatkan saat-saat tertentu yang berlangsung dalam kehidupan hingga menemui saat yang sesuai untuk berbincang secara khusus persoalan iman dan kehidupan. Melalui pembicaraan yang tabi'i persoalan yang dipaparkan akan mudah mendapatkan sambutan.
Dari sambutan yang disampaikannya mengenai beberapa hal dapat ditindak lanjuti dengan meningkatkan ghairah keimanannya. Ghairah imaniyyah yang timbul darinya akan mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapinya. Dari situlah muncul perhatian yang besar terhadap masalah-masalah keislaman dan keimanan hingga ia memilih jalan kehidupan yang akan mendekatkannya kepada Allah SWT. Membina Iman Al Imam Al Banna pernah menggambarkan perbezaan di antara iman Ikhwan dan iman masyarakat umum. Menurutnya terdapat 2 jenis iman. Kita dan masyarakat kita bersetuju dalam beriman pada Islam tetapi iman mereka ialah iman yang tidur (iman muqaddar).
Jika iman menghendaki mereka melakukan da'wah dan pengorbanan, mereka enggan. Masyarakat mempunyai iman tetapi tidak tunduk pada tuntutannya. Namun iman yang berada dalam hati Ikhwan ialah iman yang bernyala dan hidup, yang menyahutkan tuntutannya. Mengapakah Imam Al Banna menjadikan iman sebagai faktor pembeda di antara kita dan orang lain? Jawapannya ialah kerana imanlah sebenarnya yang menggerakkan manusia. Lebih kuat iman seseorang, lebih giat dia bekerja. Dari itu apabila kita mula mengajak seseorang, perkara pertama yang kita buat ialah menanam 'aqidah dan 'aqidah ini akan masih bersama-samanya sampai bila-bila. Walaupun setelah dia menjadi seorang da'i dan al akh, dia akan tetap memerlukan peringatan 'aqidah dan menghubungkan semua amal dengannya. Membina Aqidah Apakah pula yang dimaksudkan dengan aqidah ini? Kita dapati Al Quran menghabiskan sebahagian besar dari 13 tahun di Mekah memperkatakan tentangnya.
Di antara apa yang dimaksudkan dengan aqidah ialah:
1) Mengenali Allah, mengimani dan mempunyai hubungan yang betul denganNya sehingga lahirnya sifat yakin padaNya, tawakkal, cinta, takut, harap, memahami bahawa hanya Dia sahaja yang dapat memberi kebaikan, bala' dan Iain-lain.
2) Tunduk dan patuh kepada Allah dan RasulNya.
3) Memahami yang hidup ini hanyalah satu ujian dan kehidupan sementara manakala kehidupan sebenamya yang sentiasa menyibukkan dirinya ialah kehidupan Akhirat.
4) Berusaha untuk mendapat Akhirat dengan melakukan amal sholeh. Islam telah bermula dengan mengemukakan 'aqidah kepada manusia. Jika seseorang mempunyai 'aqidah yang betul, semua perkara lain akan menjadi mudah. Jika iman tinggi, semua perkara lain akan selesai. Kita lihat pula kepada bahan-bahannya.
Jika orang yang ingin kita dekati itu berada dalam halaqah umum kita, kita mulakan dengan menanam aqidah menerusi;
1) Tafsir surah-surah Makki seperti Al Fatihah, Qul huwallahu ahad, Qulya ayyuhal kafirun, Tabbat yada dan sebahagian dari surah Al Alaq.
2) Hadith seperti hadith nombor 19 dalam 40 hadith an Nawawi yang menerangkan hakikat hubungan dengan Allah. Sekiranya ia tidak di dalam halaqah, maka tentukan peringkat penerimaan mad'u itu dan cuba cari jalan untuk mendekatinya.
Cuba mendapatkan peluang untuk menyampaikan perkara-perkara tadi sebagai suatu yang penting dan selalunya ia memerlukan kebijaksanaan kita. Bagaimanakah caranya untuk menukar pertemuan atau perbualan menjadi sesuatu yang bermanfaat? Contohnya mereka mahu bercakap tentang politik tetapi kita mahu memperkatakan tentang aqidah. Orang yang bijak ialah orang yang dapat membawa sesuatu keadaan menuju kehendaknya. Caranya ialah dengan sentiasa memikirkan hal ini dan satu masa nanti kita akan berjumpa jalan-jalannya.
Membina Fikrah Asas
Disamping itu kita perlu mula menanamkan fikrah asas sebagai hujjah yang akan menyokong dan menghidupkan Imannya. Penerangan dan penjelasan harus difokuskan kepada perkara-perkara asas dalam memahami dan menerima Islam sebagai manhajul hayah (sistem hidup):
1) lslam adalah sistem yang terbaik.
2) lslam sesuai untuk setiap zaman.
3) Ia bersifat menyeluruh dan menjawab semua persoalan.
4) Jahiliyah atau selain Islam penuh dengan kekurangan dan berikan contoh-contohnya.
5) Menyedari yang kini tidak ada sebuah pun negara Islam.
6) Seorang Islam mesti diperintah oleh Islam dan menolak semua pemerintahan tidak Islamik. Paling tidak dia membencinya dalam hati.
7) Beberapa perkara halal dan haram.
Menghubungkan Sesuatu Isu dengan Aqidah dan Fikrah Da’ie juga pandai menghubungkan persoalan aqidah dan fikrah hingga terlihat bahawa kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Apabila kita menekankan tentang Allah, Akhirat dan sebagainya itu, ia tidak bermakna kita tidak menyentuh tentang perkara lain. Sebenamya kita hubungkan perkara lain itu dengan aqidah.
Orang selalunya suka bercakap tentang isu politik dan jika kita turut bercakap rentak itu juga, ia tidak berguna. Kita mesti benar-benar menekankan bahawa jika seseorang pemimpin itu tidak baik, ia adalah kerana dia tidak memerintah menurut Islam. Jika terdapat sekatan kebebasan, pemerintahan diktator, masalah ekonomi, kemiskinan atau wabak penyakit, semua ini adalah disebabkan kerana berada jauh dari Islam dan diperintah oleh kekufuran.
Hubungkan apa yang berlaku dengan 'aqidah. Jika hanya memberi analisa tanpa ada hubungan ini, ia tidak ada makna kerana natijahnya nanti ialah orang ramai akan membenci sistem sekarang kerana ia kejam dan bukan kerana ia tidak Islamik. Setelah itu, kumpulan lain seperti komunis akan mengambil kesempatan dan mencari sokongan mereka yang membenci sistem sekarang. Dari itu jika kita mahu membuatkan orang ramai membenci kerajaan tetapi kita ingin mereka membenci sistem yang bukan datang dari Allah SWT. Apabila kita mendekati seseorang, seringkali kita ditanya apakah kumpulan kita.
Dalam hal ini, jelaskan bahawa perkara itu tidak penting atau katakan kita bekerja untuk Allah dan nama kumpulan itu tidak mustahak. Dan itu memang benar dalam kes kita, di mana nama itu tidak menjadi persoalan. Yang kita mahu ialah jalan yang betul dan itulah jalan Ikhwan Muslimin. Adakalanya pula seseorang itu menolak kita setelah dia tahu apa kumpulan kita. Selalunya perkara ini datang kemudian, tetapi jika dia seorang yang tergesa-gesa, dia memang tidak boleh diyakinkan.
LANGKAH KETIGA:
Membantu memperbaiki keadaan dirinya dengan mengenalkan perkara-perkara yang bernuansa ketaatan kepada Allah dan bentuk-bentuk ibadah yang diwajibkan. Pada tahap ini perlu pula dibekali dengan bahan-bahan bacaan dari rujukan yang sederhana, seperti Dasar-dasar Islam, Prinsip-prinsip Islam (Abul 'Alaa Al Maududi) dan lain-lainnya.
Di samping bekalan bahan-bahan bacaan, juga perlu diperkenalkan dengan lingkungan yang baik (bi’ah sholehah) dan kelompok masyarakat yang sholeh agar dapat menjaga nilai-nilai yang telah tertanam dan meneladani kehidupan orang sholeh. Mutabaah dan pemantauan dalam tahap ini memerlukan kesabaran yang tinggi sehingga dapat membimbing perjalanannya di atas jalan dakwah dan terhindar dari faktor-faktor yang buruk. Setelah seseorang menyedari akan hakikat 'aqidah, mencintai Allah, berusaha untuk taat padaNya, mengenali halal dan haram, menyedari kepentingan akhirat, maka sekarang dia telah bersedia untuk berbuat apa sahaja.
Mulakan dengan pembinaan ibadah dan budi pekerti;
1) Bimbinglah ia supaya memandang indah pada ibadat. Jika ia tidak tahu untuk berwudhuk atau sembahyang, ajarkanlah ia perkara-perkara itu dan juga ibadat-ibadat lain yang belum ia ketahui.
2) Biasakan dengan masjid. Bawalah ia ke sana dan ini bermakna kita sendiri mesti menjadi orang yang selalu bersembahyang di masjid.
3) Ajak hadiri pertemuan-pertemuan.
4) Galakkan membaca Al Quran.
Jika dia semakin meningkat, beri ia sesuatu yang boleh dikerjakan seperti berpuasa. Cuba galakkan berpuasa pada hari-hari tertentu seperti sebulan sekali, 9hb Zulhijjah, beberapa hari dalam bulan Syawal. Jika meningkat lagi, ajak melakukan tahajjud, mungkin selama 1/2 jam. Pembinaan akhlaq pula selalunya menerusi teladan yang baik sama ada dari orang-orang terdahulu seperti para rasul dan sahabat atau dari kita sendiri.
Berilah buku-buku seperti mengenai Abu Bakr r.a. dan Iain-lain. Kita sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik seperti sentiasa di atas kebenaran walau apa sekali akibatnya, melakukan sesuatu padanya tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan Iain-lain. Semua ini akan menggalakkan dia untuk mencontohi kebaikan itu. Sekiranya dia ada teman-teman yang jahat, cuba asingkannya dari mereka.
Jika ia ada pertemuan dengan mereka, cuba hadirkan dia dalam pertemuan yang lain, pisahkan dari jahiliyah dan biasakan berada di kalangan orang yang baik-baik. Dengan itu, ia akan mencontohi mereka dan budi pekertinya juga turut berubah.
Pengisian untuk budi pekerti adalah seperti,
1) Buku Akhlaq Muslim oleh Muhammad Al Ghazali
2) Usulul Da'wah oleh Dr Abdul Karim Zaidan
3) Tafsir ayat di dalam surah Luqman, permulaan surah Al Isra', keseluruhan surah Al Hujurat Ayat-ayat tersebut mengandungi banyak akhlak-akhlak muslim.
Berikan tafsirnya dan bincanglah dengan mereka. Kita memerlukan seseorang Muslim agar memiliki budi pekerti yang lebih tinggi dari biasa untuk menjadi al akh. Seorang al akh memiliki keperibadian yang jelas dan perbezaannya begitu jelas dan dapat dirasai oleh orang lain.
LANGKAH KEEMPAT:
Menjelaskan tentang pengertian ibadah secara syumul agar memiliki kefahaman yang shohih tentang ibadah dan disertai niat yang benar serta menjadikan syarak sebagai rujukan dan batas-batas dalam kehidupan. Kita perlu membina kefahaman yang benar dan tidak sempit terhadap ibadah. Jelaskan kepada objek dakwah kita bahawa ibadah itu bukan sekadar ibadah khususiyah sahaja (solat, puasa zakat dan haji). Akan tetapi pengertian ibadah begitu luas bahawa setiap ketundukan seorang hamba pada-Nya dengan mengikuti aturan yang telah digariskan akan bernilai ibadah. Bahkan menurut Ibnu Qayyim ibadah adalah kemuncak rasa cinta dan hina diri didepan Allah SWT.
Segala yang kita lakukan semunya untuk Allah SWT; suka dan benci, memberi dan menahan, marah dan memaafkan semuanya kerana Allah SWT. Redha Allah menjadi matlamat utama dalam kehidupan kita lalu kita sentiasa ingin hidup dibawah redha dan rahmat Allah SWT sehingga kita menjadikan syarak sebagai penentu dalam segala sikap hidup kita. Kita tidak merasa perlu kepada syakhsiyah dan cara hidup lain selain cara hidup yang mentauhidkan Allah SWT. Ditahap ini perlu dijelaskan kepadanya hakikat kesyumulan Islam dan hakikat perhambaan sebenar kepada Allah SWT.
LANGKAH KELIMA:
Menjelaskan kepada objek dakwah bahawa tidak cukup hanya dengan keIslaman diri kita sendiri. Hanya sebagai seorang muslim yang taat menjalankan kewajiban ritual, berperilaku baik dan tidak menyakiti orang lain lalu selain itu tidak ada lagi. Melainkan keberadaan kita mesti mengikatkan diri dengan keberadaan muslim lainnya dengan berbagai macam permasalahannya. Pada tahap ini pembicaraan diarahkan untuk menyedarkan bahawa persoalan Islam bukan urusan perorangan (individu) melainkan urusan tanggung jawab setiap muslim terhadap agamanya.
Perbincangan ini dilakukan agar mampu mendorongnya untuk berfikir secara serius tentang bagaimana caranya menunaikan tanggungjawab itu serta menjalankan segala tuntutan-tuntutannya. Ini adalah tahap pengenalan kepada perlaksanaan da'wah. Tunjukkan bahawa, adalah tidak mencukupi hanya setakat mempunyai iman dan keyakinan terhadap Allah. Jika beriman pada Allah, maka mesti bekerja untukNya. Surah Al Asr adalah contoh yang baik, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta pesan-memesan dengan kebenaran dan pesan-memesan dengan kesabaran."
Ke Arah Kesempurnaan Iman Terangkan bahawa untuk iman itu menjadi sempurna, dia perlu bergerak bersama-sama iman, melancarkan da'wah dan menyeru orang lain kepada perjuangan Islam. Bukan sahaja sekadar diri sendiri yang terikat pada Islam tetapi mesti juga mengajak orang lain bersama. Di tahap ini, berikan hadith yang berkaitan da'i, juga surah-surah yang menyentuh persoalan amar maaruf, nahi mungkar dan da'wah. Adalah menjadi satu yang kewajiban pada masa ini untuk berda'wah jika mahu mengalahkan kekufuran. Tiada siapa yang boleh duduk bersahaja dan membiarkan golongan kafir bertambah dan golongan Islam yang sejati berkurangan.
LANGKAH KEENAM:
Pada tahap ini, perlu dibongkarkan segala keburukan kufur dan segala penyakit yang diakibatkan oleh keengkaran manusia yang telah mengenepikan sistem Allah SWT. Segala penyakit ummat perlu didedahkan agar tibul satu kegentingan dan keinginan untuk membawa manusia balik kepada Allah SWT. Perlu dikelaskan kewajiban untuk menyebarkan risalah Islam dan memikul amanah membangunkan ummah serta menyelesaikan segala permasalahannya. Dan kewajiban di atas tidak mungkin dapat ditunaikan secara individu.
Masing-masing orang secara terpisah tidak akan mampu menegakkannya. Maka perlu pada sebuah jamaah yang memadukan potensi semua individu untuk memperkuat tugas memikul kewajiban berat tersebut. Dari tahap ini objek dakwah disedarkan tentang pentingnya amal jama'i dalam menyelesaikan tugas besar ini. Amal Jama'ie Setelah kita meyakinkannya supaya bekerja untuk Allah, yakinkan pula agar bekerja secara kumpulan. Kekufuran itu sangat tersusun, dan kita tidak akan dapat menundukkannya jika kita sendiri tidak tersusun.
Dari itu kita mesti bergerak secara berkumpulan dan nyatakan ayat-ayat berikut,
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, meyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dan yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali Imran, ayat 104)
"...dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa. dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan palanggaran." (Al Maidah, ayat 2)
Kedua ayat ini boleh menjadi hujah yang sangat baik bahawa da'wah itu dibuat secara berkumpulan bukan perseorangan.
LANGKAH KETUJUH:
Menyedarkan padanya tentang kepentingan sebuah jamaah. Pembicaraan ini memang sensitif dan rumit tetapi penting sehingga memerlukan hikmah dan kekuatan hujjah dan penjelasan yang meyakinkan. Oleh kerana itu harus dijelaskan padanya bahawa bergabung dengan sebuah jamaah harus meneliti perjalanan jamaah tersebut. Jangan sampai terburu-buru untuk menentukan pilihan terhadap sebuah jamaah yang akan dijadikannya sebagai wahana atau sarana merealisasikan dasar-dasar Islam. Terangkan tentang kaedah, matlamat dan erti bekerja dalam jamaah, terdapat pemimpin di dalam jama'ah, kepatuhan, syura dan program-program yang diputuskan oleh jamaah.
Sebutkan beberapa sifat, kelebihan dan sejarah gerakan atau jamaah Islam. Di tahap ini, jika ia seharusnya telah berada di dalam halaqah. Jika dia belum berada di dalam halaqah, jelaskan keperluan untuk bertemu dan berbincang serta ajaklah ia ke dalam halaqah itu.
Kini dia telah diperkenalkan kepada jama'ah dan telah diyakinkan bahawa jama'ah inilah yang patut digabungi. Buku-buku di tahap ini adalah seperti;
1) Usul ad Da'wah oleh Dr. Abdul Karim Zaidan
2) Majmu'atu Ar Rasail oleh Imam Al Banna - baik di dalam menerangkan persoalan da'wah, amal jama'ii dan Ikhwan.
Setelah dia menyakini akan jama'ah kita, huraikan tentang Arkanul Bai'ah di dalam Risalah Ta'alim. Jelaskan apakah tuntutan 10 rukun bai'ah dan 38 kewajipan muslim. Demikianlah langkah-langkah dalam melaksanakan dakwah fardiyah. Sudah tentunya setiap langkah atau marhalah mempunyai tahapan masa yang berkait rapat dengan keperibadian da’ie dan beragamnya peribadi mad’u. Kebijaksanaan dan pengalaman serta kretiviti da’ie akan menjadikan peralihan marhalah itu lebih cepat dan berkesan.
p/s :http://my.opera.com/azmibhr/blog/2011/07/05/dakwah-fardiyah-full
Tiada ulasan:
Catat Ulasan