Assalamu’alaikum..
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t
kerana masih memberi kita sebesar-besar kenikmatan iaitu nikmat iman dan
islam.. Juga bersyukur kepada Allah s.w.t, kerna masih meminjamkan peluang
kepada ku untuk aku melorek sepatah dua kata yang terdaya mungkin.. Sungguh
kepada siapalah lagi setiap makhluk itu bergantung jika bukan kepada Allah
s.w.t…
Dalam kesempatan ini seribu kemaafan aku ucapkan kepada
teman-teman kerana sudah terlalu lama tidak berkongsi warna-warni kehidupan
dari sudut pandangku sehingga terasa sukar untuk jari jemari ini
mempersembahkan tariannya di papan keyboard laptop yang sentiasa bersedia untuk
berkhidmat..
Dalam kesempatan ini juga suka lah diri ku ini untuk
berkongsi kepada teman-teman satu perkongsian yang bagi aku ianya merupakan
satu titik kepada banyak jalan untuk mengembalikan semua manusia kepada jalan
yang Diredai Allah s.w.t… Sekali lagi iangin aku kongsikan kepada teman-teman
tulisan yang ditulis oleh Sa’id Hawwa di dalam kitabnya Memahami
Prinsip-prinsip ‘Amal Islami.. Jujur aku katakana bahawa penulisan balik ayat
dalam buku ini dari hardcopy kepada softcopy adalah pertama, kerana aku
menyedari tidak semua dikalangan kita mampu mempunyai duit untuk memiliki buku
ini, kedua kerana aku menyedari bahawa media massa IT ini lebih luas untuk
dikongsikan dan lebihmudah untuk menyebarkan maklumat, ketiga kerana aku
menyedari bahawa bukan semua berminat untuk membaca buku sebegini dan yang
keempat adalah kerana aku tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memupuk minat
dikalangan anak muda untuk membaca bacaan sebegini dan akhirnya adalah kerana
aku menyedari ini adalah salah satu usaha yang boleh aku lakukan kerana Allah
s.a.w, tidak ada yang lain yang berhak disembah dan ditakuti selain dari Allah
s.a.w.. Tajuk yang ingin dikongsikan pada teman-teman adalah berkenaan perihal
Proses Pembinaan. .
Tugas yang paling tinggi dan paling agung sekali di dunia
ialah tugas-tugas yang diusahakan oleh gerakkan islam kerana ianya
bermatlamatkan pembinaan kembali dunia ini, bermula dari pembinaan individu
sehinggalah kepada perlaksanaan sistem ‘alam yang sesuai dengan fitrah manusia
dengan melewati pembinaan keluarga, masyarakat, umat bangsa dan institusi.
Tugas ini memerlukan kepada mentaliti pembinaan serta kaedah-kaedah yang khusus
untuk memproseskan pembinaan itu.
Setiap binaan memerlukan kepada pelan-pelan. Oleh kerana
proses pembinaan kita merangkumi seluruh peringkat, maka ianya memerlukan
kepada pelan-pelan yang banyak yang meliputi pelan pembinaan peribadi, pelan
pembinaan keluarga, pelan pembinaan masyarakat dan institusinya, pelan
pembinaan semula dunia Islam dan pelan untuk membentuk semula dunia ini secara
keseluruhannya.
Kesemua ini memerlukan kepada program-program yang mesti
diberikan keutamaan tenaga dan suasana, dan ini pula tidak akan dapat
dilahirkan kecuali setelah wujudnya suatu mentaliti pembinaan dan
peribadi-peribadi yang mampu untuk membina. Sesungguhnya titik permulaan yang
sihat untuk segala sesuatu ialah lahirnya (Wujudnya) manusia-manusia yang mampu
untuk sampai kepada mentaliti pembinaan, kerana sebarang pembinaan memerlukan
kepada suatu mentaliti yang mampu untuk buat gambaran (membayangkan di dalam
fikiran), selepas itu melahirkan dan seterusnya memperkemaskannya.
Ini menuntut kita supaya semestinya mencari dan memeriksa
manusia-manusia yang mampu dan berkelayakkan untuk memproses binaan yang kita
kehendaki itu. Sekiranya manusia yang kita kehendaki itu tidak ada, maka kita
berkewajipan pula untuk menyedia dan melayakkannya.
Sekiranya di dunia ini terdapat institusi-insitusi untuk
melahirkan berbagai-bagai jurutera, maka kita berkewajipan pula mengadakan
institusi-institusi bagi mengeluarkan jurutera-jurutera untuk proses pembinaan
kita: Dan di antara apa yang perlu kita perhatikan pada institusi ini ialah:
1.
Melahirkan Muslim daripada akhlak-akhlak
masyarakat dan daripada kemahirannya kepada akhlak-akhlak hati dan imbasannya.
2.
Melatih seorang Muslim yang bertanggungjawab
dengan kata-katanya; setiap kata-kata adalah bernilai dan membina.
3.
Mendidik (mentarbiyyah) Muslim itu tadi dengan
didikan yang sesuai dengan matlamatnya, serta memberi pengetahuan dengan
matlamat yang hendak dicapainya.
4.
Membina seorang Muslim sehingga ia mampu
mengambil (membuat) keputusan yang bijaksana.
5.
Melatihnya supaya tunduk kepada keputusan syura
walaupun bercanggah dengan pendapat sendiri.
6.
Melatihnya supaya boleh berbincang dengan bijak
serta mengajarnya bagaimana membentangkan pendapatnya dan berhujjah.
7.
Mengajarnya bagaimana mengambil pengajaran
daripada ritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang
membina.
8.
Menjelaskan kepadanya perbezaan di antara
pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan, kerana betapa mudahnya
meruntuhkan dan sukarnya membina.
9.
Mengajarnya bagaimana untuk memajukan yang sedia
ada dan mengimbuh yang tidak ada, serta memperingatkannya bahawa mudahnya
merobohkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada.
10.
Melatihnya bagaimana mengambil pengajaran
daripada sesuatu yang berada di seitarnya untuk sampai kepada matlamat
pembinaannya.
Sesungguhnya proses pembinaan yang sukar ini mendorong kita
agar mencari mereka yang berkebolehan untuk menggarap proses pembinaan ini
supaya dapat kita membawa mereka kea rah usaha ini dengan berdasarkan kepada
kaedah-kaedah yang sihat.
Kegagalan di dalam usaha ini bererti suatu kemunduran, yang
pasti akan disusuli dengan kemusnahan.
Sekarang mari kita membentangkan tajuk ini di dalam suatu
bentuk lain:
Seorang yang mengikuti perjalanan Harakah Islamiyyah dalam
masa satu kurun yang lampau akan mendapati bahawa kebanyakkan harakah-harakah
ini mengalami perubahan dari marhalah percubaan yang penuh kesengsaraan kepada
merhalah kemaraan yang drastic dan berhabis –habisan yang seolah-olah tidak ada
masa lagi untuk esok. Dan bagi seseorang yang memperhatikan ikatan-ikatan dan
hubungan-hubungan yang terdapat di kalangan umat islam dewasa ini, di mana pada
keseluruhnnya umat Islam telah memberikan penyerahan diri (wala’) kepada
kuasa-kuasa kafir, ataupun kepada sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syara’.
Sebahagian yang lain pula mempunyai penyerahan yang berbelah-bahagi; sebahagian
untuk kafir dan sebahagian lagi untuk Islam. Ini adalah suatu penyerahan yang
membahaya dan kabur.
Sekarang ini sudah sampailah masanya untuk umat Islam
bekerja kearah satu ‘amal Islami yang Berjaya, dan memberhentikan segala
kemaraan yang bersifat emosional serta menolak segala tindakan yang tidak
berencan demi untuk satu kerja yang lebih rapi; permulaan dan kesudahannya. Juga
telah sampai masanya untuk diberhentikan segala penyerahan yang kabur tadi demi
untuk suatu penyerahan yang satu dan wajib, iaitu penyerahan kepada jama’ah
muslimah yang menepati segala syarat-syarat jama’ah. Pertubuhan yang mempunyai
matlamat yang terbatas dan tujuan yang singkat hendaklah dileburkan demi untuk
satu Jema’ah Islamiyyah yang tunggal. Dengan ini boleh lah dihapuskan perasaan
keseorangan pada individu Muslim dan sifat suka mengasingkan diri agar dengan
ini pula dapat dipertingkatkan perasaan Muslimin itu yang ia adalah sebahagian
dari satu umat yang agung, yang terdapat di mana-mana tempat. Dengan itu
terhapuslah usaha pengelompokkan umat Islam yang palsu dan dengan itu juga
seorang Muslim itu akan kembali
mempercayai dirinya sepenuhnya serta mempercayai risalahnya iaitu risalah
kebenaran, ke’adilan dan pembebasan daripada penghambaan terhadap sesama manusia.
Kesemuanya ini akan mengambil-alih suasana yang sedang dialami oleh umat Islam
pada hari ini, yang mana mereka telah tertipu dengan seruan-seruan musuh-musuh
mereka, yang inginkan setiap Muslim terikat kedua belah tangannya menjadi tali
barut kepada puak-puak ini atau bagi puak-puak yang menentang Islam itu
sendiri.
Inilah suatu permainan yang kotor yang dilakukan oleh
musuh-musuh Islam dengan menyuarakan kepada seorng Muslim: “Awas! Jangan engkau
berjihad untuk Islam kerana Islam buakn haknya untuk memerintah – malah
berjihadlah demi untuk komunis atau untuk kapitalis, nasionalis atau sebagainya
kerana memang sistem-sitem ini tugasnya memerintah.” Sesungguhnya sekarang
sudahlah tiba masanya seorang Muslim itu membebaskan dirinya dari permainan dan
tipu-helah yang kotor ini. Ketahuilah, bahawa ia mempunyai tugas menegakkan
kalimah dan syari’at Allah supaya ia mengambil tempat yang tertinggi di ‘alam
ini.
Sesungguhnya telah sampai masanya untuk kita umat Isam untuk
bekerja dengan kerja-kerja Islam yang matang yang boleh menghasilkan
natijah-natijah yang berfaedah demi untuk suatu harakah Islamiyyah yang
mempunyai perencanaan yang rapi dengan mengambil kira segala kemampuan dunia
yang berkemungkinan akan menentang kita sepertimana yang telah berlaku ke atas
Pemerintahan ‘Uthmaniyyah di periode akhirnya. Untuk itu kerja-kerja Islam yang
matang dan terencan endaklah menggariskan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh
golongan pekerja, petani, pegawai-pegawai, tentera, orang-orang Islam,
orang-orang bukan Islam dan seterusnya.
Telahpun kita perbincangkan dalam dalam pengenalan buku kita
yang mengenai perubahan yang kedua, yang telah kita bicarakan beberapa matlamat
dan bidang (scope) perubahan-perubahan disetiap negeri, dan di seluruh dunia
Islam, serta di ‘alam sejagat ini keseluruhannya. Dalam rangkaian ini, kita
telah membicarakan secara terperinci mengenai beberapa persoalan yang mempunyai
hubngan dengan dengan perkara ini. Demikian juga perbicaraan kita mengenai
sesuatu yang mempunyai hubungan dengan keperluan-keperluan pokok dalam
persoalan ini. Kalaupun disini kita masih memperkatakan yang itu juga,
sebenarnya itu adalah sebahagian daripada apa yang diperlukan oleh para
pemimpin di dalam suatu perjalanan yang sukar seperti ini. Pemimpin misalnya
mestilah melupakan kepentingan diri sendiri, mampu membuat analisa politik yag
benar serta mengambil pendirian yang bijak dalam cara dan kaedah meskipun di
dalam keadaan adanya tekanan-tekanan dari luar dan dalam. Perjalanan yang sukar
dan panjang ini bermula dari perjalanan individu dari satu peringkat ke satu
peringkat yang lain, dan selepas itu perjalanan suatu negeri dari satu
peringkat ke satu peringkat yang lain dengan di susuli pula kemudiannya oleh
operasi menegakkan Daurah Islamiyyah yang satu. Dari Daurah Islamiyyah yang
satu berpindah pula menjadi sebuah Negara yang terkuat di dunia yang setelah
itu dapat mempergunakan segala kekuatan dan tenaganya di peringkat antarabangsa
untuk menyebaran kalimah Allah di puncak yang tertinggi di ‘alam ini.
Sesungguhnya perjalanan yang sukar ini tidak mungkin dapat disempurnakan tanpa
adanya pimpinan-pimpinan yang memiliki pemikiran dan Roh yang istimewa. Bila
mana pemikiran yang seumpama itu sudah lahir, maka perjalanan menempuh
rintangan adalah suatu kemungkinan yang dapat diatasi.
Kepimpinan seumpama ini semestinya memiliki pengetahuan
semasa dan pengetahuan Islam yang paling tinggi, serta memiliki ciri-ciri
khusus yang beserta dengan kehalusan bekerja dan mempunyai kebolean semulajadi
terhadap tuntutan-tuntutan kepimpinannya. Ia mestilah mengetahui apa yang harus
dilakukannya pada setiap bahagian dalam ummah ini dan dalam setiap negeri dari
negeri-negeri Islam sert dapat mengikuti tahap antarabangsa dan tempatan, dan
melalui keberkesanan di dalam tindakan untuk mencapai tuntutan-tuntutan
strategi ini.
Pimpinan yang bercahaya ialah ROH kepada suatu usaha yang
Berjaya. Dan kita akan mengulangi perbicaraan bagi tajuk ini, InsyaAllah…
Teman-teman, Kepimpinan yang baik akan membentuk pengikut
yang baik, begitu juga sebaliknya iaitu jika pemimpin itu buruk maka
pengikutnya juga akan turut menjadi buruk. Rasanya tidak Terlambat untuk aku
menitipkan kata-kata TAHNIAH buat perjuangan pemilihan pimpinan di kampus iaitu
Pilihan Raya Kampus (PRK), walaupun PRO MAHASISWA di kebanyakkan Kampus Kalah,
Perjuangan mencari keberkatan dan Keredhaan Allah di bumi Universiti aku yakin
akan tetap diteruskan… Sekarang Bukalah mata Kita semua, Apakah Dasar yang
Pimpinan ASPIRASI (EVOLUSI) ingin bawakan di dalam Kampus kita. Mana mungkin
Boleh menang Mahasiswa melawan UMNO dan Barisan Nasional.
Akhir Kalam, Aku memohon seribu kemaafan jika lahirnya suatu
perasaan yang tidak enak dari sudut pandang sisiku berkenaan Pilihan Raya
kampus dan sebagainya… Semoga Allah golongkan kita dalam golongan yang sentiasa
bertaubat dan sentiasa diampuninya.. Amin..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan