Ahad, 24 Jun 2012

Kewajipan Berjemaah dan Tanggungjawab Dalam Jemaah




Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah, segala puji-pujian buat Allah s.w.t tuhan sekalian alam, yang telah dan masih membenarkan sinar iman dan islam berpijar di dalam sanubari kita, yang juga merupakan nikmat terbesar bagi kita selaku makhluk Allah s.w.t. Selawat dan salam keatas Rasul Junjungan Besar kita Nabi Mulia Muhammad s.a.w, kerana dengan berbanyak berselawat inilah menjadi tanda kita kasih dan sayang kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Siapakah yang pantas kita sayang selain Allah dan Rasul? Sungguh tiada yang layak kita sayangi melebih kasih sayang kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dalam menggalas tanggung jawab khalifah di muka bumi Allah Ta’ala, maka secara tersiratnya juga kita menjadi insan yang menerangi jalan kehidupan manusia yang lain dengan lampu iman dan islam, jika kelam dan gelap sinar kehidupan manusia kitalah yang mengucap dua kalimah syahadah harus tampil menyinari keadaan kelam dan gelap tersebut dengan cahaya iman dan islam, maka secara jelasnya kita merupakan agen penggerak Dakwah penyebar ajaran Agama Islam.

Teman-teman yang dirahmati Allah Ta’ala, kebanyakan kita kelu dan kusut bilamana kita dinyatakan “Kamu adalah pendakwah”. Perkara ini terjadi kerana kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Terkadang sering kali juga kita dengar “Kau jangan nak tunjuk Alim lah” dan sebagainya tetapi sedarkah mereka yang berkata sedemikian bahawa kita sebenarnya mesti KENA Alim, sebab kita ummat yang terbaik dengan diturunkan Nabi s.a.w untuk mengalimkan kita dengan akhlak-akhlak yang mulia dan ilmu-ilmu islam yang Allah s.w.t sendiri meredhakan agama islam.

Mungkin mereka juga lupa akan Hadis Nabi s.a.w :

“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang islam, maka dia bukan daripada mereka. ” (Riwayat At-Tabarani)

Islam bukan sekadar dibibir tapi juga harus dengan perbuatan, islam bukan datang dan pergi sebagaimana ideologi-ideologi manusia tapi islam datang dan kekal sehingga Kiamat.

Terbelik akan kitab “ Bustanul ‘Arifin “ karangan Imam An-Nawawi pada Hadis ke dua puluh dua, ertinya:

“ Daripada Abu Zarr dan Muaz radhiyallahu ‘anhuma, daripada asulullah s.a.w, Baginda bersabda : “Bertakwalah kamu akan Allah Ta’ala dimana sahaja kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikkan nescaya ia menghapuskan akan dosa kejahatan itu, dan bergaullah akan manusia dengan akhlak yang baik. ”
(Riwayat At-Tarmzi)( hadis ini hadis hasan)

Berakhlak baik dengan manusia itu juga merupakan dakwah yang harus dilaksanakan dalam kehidupan seorang muslim, dan bukan kah berakhlak baik juga merupakan dakwah? Lihat agama islam islam sendiri merupakan agama dakwah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinannya”
(Muttafaq’alaih)

Dakwah semestinya dilakukan secara berkumpulan, semestinya kita tidak mampu dalam melaksanakannya keseorangan. Cuba teman-teman bayangkan, ada 10 orang mat rempit dengan seorang individu dakwah, adakah individu dakwah tersebut punyai keberanian dan kekuatan? Adapun punya keberanian adakah pendakwah tersebut mampu berdakwah dengan baik? Ataupun pendakwah tersebut meninggalkan dakwah bertukar menjadi mat rempit juga?, kita kena sedar dalam dunia akhir zaman ini, iman kita tersangatlah lemah, maka kekuatan, nasihat, dorongan, panduan, perbincangan method dakwah mesti dilakukan dan bukan kah dengan semua perbuatan tersebut memerlukan individu lain untuk bersama-sama kita dalam membantu menyebarkan risalah dakwah ini? Maka inilah dikatakan wujudnya kumpulan islam atau jemaah islamiyyah, maka jelas bahawa kita sangat-sangat memerlukan kepada perbentukkan kumpulan dakwah yang dapat menggerakkan dakwah dalam segenap skop dan medium yang ada yang mungkin lebih meluas. Disini hamba tidak nyatakan Ciri-ciri Jemaah Islamiyyah kerana Ianya memerlukan ruang khusus untuk diterangkan dan dijelaskan dengan detail berkenaannya dan diharapkan teman-teman dapat mencarinya sendiri.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w :

“ Hendaklah kamu sentiasa dengan Jamaah kerana tangan Allah bersama dengan Jamaah, dan sesiapa yang menyimpang dia akan menyimpang ke dalam api neraka ”
(Riwayat At-Tarmizi)

Topik perkongsian yang ingin dibuat kali ini adalah berkenaan dengan Kewajipan Berjemaah dan Tanggungjawab dalam Jemaah yang telah dikupas dengan cantik dalam kitab “‘Amal Jama’i (Pengertian dan Tuntutanya)” oleh Allahyarham Murabbi Pas Ustaz Yahya Othman.

Sebelum saya menyampaikan beberapa tazkirah tentang “tanggungjawab dalam jemaah ” marilah kita bersyukur kepada Allah s.w.t diatas limpah rahmatNya kepada kita, iaitu rahmat kesedaran berjemaah dalam satu jemaah Islamiyyah. Ini adalah satu nikmat yang sangat besar yang diberikan Allah kepada kita, sesudah nikmat Al-Islam dan nikmat Al-Iman, kerana masih ada di hari ini orang-orang islam yang belum menggolongkan diri mereka dalam jemaah Islamiyyah, masih ada orang-orang islam yang tidak mengendahkan suruhan Allah supaya berjemaah sepertimana terdapat di dalam sabda-sabda Baginda berikut :

Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya ” (Hadith Riwayat Al-Nasa’i)

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Huzaifah bin Al-Yaman r.a :

“ Kamu hendaklah bersam-sam jemaah muslimin dan imim mereka ”

(Hadith riwayat Al-Syaikhan dan Abu Daud)

Rasulullah s.a.w Bersabda :

“ Tangan Tuhan (keredhaanNya) bersam-sama jemaah, barangsiapa keluar (mengasingkan diri) atau (menyimpang) daripada jemaah maka ia menyimpang ke neraka ” (Hadith riwayat At-Tarmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Sesiapa yang mahu keluasan syurga, maka hendaklah berpegang kepada jemaah ”
(Hadith riwayat At-Tarmidzi)

Sambungan hadith ini:

“ Bahawasanya syaitan bersama orang berkeseorangan dan ia lebih jauh daripada orang berdua. ”
(Hadith Riwayat Ahmad)

Orang islam yang menggabungkan dirinya dengan jemaah sudah selesai satu tuntutan agama yang besar, tetapi apabila seseorang itu berada dalam jemaah maka keanggotaannya itu meletakkannya kepada satu “mas’uliyyah” tanggungjawab yang tertentu pula, sebagai anggota jemaah, tugasnya tidak tamat dengan menjadi angota semata-mata, di sana ada disusuli dengan beberapa kewajipan-kewajipan yang tertentu yang mesti dikerjakan, dan ditunaikannya.

Imam Al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Saayyidina ‘Umar bin Al-Khattab r.a, bahawa beliau berkata :

“ Tidak ada islam melainkan dengan jemaah dan tidak sempurna jemaah tanpa pemimpin (imam), tidak ada, ertinya; kepimpinan tanpa ketaatan. ”


Didalam jemaah ada ahli biasa dan pula ahli jawatankuasa (atau ada pimpinan, yang terdiri daripada ketua, setiausaha, bendahari, dan sebagainya) yang menjalankan tugas menurut bahagian masing-masing, menyusun kerja-kerja, mengaturkan tugas, mengeluarkan arahan-arahan atau menyampaikan arahan, mengatur segala langkah yang diperlukan.

Supaya urusan orang-orang islam berjalan lancar, maka Allah s.w.t yang telah melantik manusia sebagi khalifahNya di bumi telah menggariskan panduan kerja, dengan mewajibkan kita ta’at kepadaNya dan ta’at kepada RasulNya dan ta’at kepada “Ulul-Amri” orang yang bertanggungjawab di kalangan orang-orang islam, di semua peringkat.

Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ :

“Wahai orang beriman! Ta’atlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada orang-orang yang bertanggungjawab daripada kalangan kamu, iaitu ketua-ketau kamu…”

(Surah An-Nisa’ : Ayat 59)

Bahawa tidak syak lagi, taat kepada amir atau imam adalah sebahagian daripada ta’at kepada Allah dan RasulNya, selain daripada ayat diatas, Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Bahawa sesiapa ta’at kpada aku, maka ia sudah ta’at kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yang derhaka kepada aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barangsiapa ta’at kepada amir (Ketua), maka ia telah ta’at aku. Dan barangsiapa derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku. ” (Muttafaq’alaih)

Daripada renungan kita kepada ayat-ayat Allah, sabda Rasulullah s.a.w dan perkataan ‘Umar Al-Kahttab r.a, jelas kepada kita bahawa keta’atan dan kepatuhan kepada pemimpin perlu dipertingkatkan lagi dalam jemaah kita, kadangkala keta’atan kepada kepimpinan masih kurang, kepatuhan kepada keputusan jemaah masih belum penuh, begitulah juga segala kerja menjadi lembab.

Tanggungjawab Dalam Jemaah


Bermula daripada menggabungkan diri dalam jemaah adalah wajib syar’i, seterusnya patuh kepada Ulul-Amri dalam jemaah adalah wajib syar’i. Maka urutan kepada inilah, maka kita endaklah bersama-sama berusaha supaya perasaan tanggungjawab dalam jemaah perlu dipertingkatkan lagi. Imam yang mengimami ada tugasnya dan makmum yang dibelakang ada tanggungjawabnya, keduanya mestilah sekata dan selari, walaupun tempat duduk berlainan, ibadat sembahyang boleh menjadi contoh kepada gerak kerja dalam jemaah dari segi disiplin dan tatatertib bekerja? Barang telah tentu, apabila kita berada dalam jemaah, maka mestilah segala gerak kerja kita menurut jemaah, sesuai dengan tuntutan berjemaah, anggota jemaah dikehendaki memahami sunnah.

1)Tujuan-Tujuan Jemaah.
Jemaah kita memperjuangkan untuk mewujudkan Negara Islam yang mesti didahului kewujudannya:

a) Individu Muslim
b) Rumahtangga Islam
c) Jemaah Islamiyyah
d) Masyarakat Islam
e) Negara Islam kemudiannya Khalifah Islamiyyah di bumi Allah ini

2)Anggota Jemaah Mestilah Mengetahui Tahap-Tahap Perjuangan Jemaah.
Sekarang ditahap mana?

Memperkenalkan prinsip hidup Islam dalam semua aspek; ibdat, akhlak, mu’amalatyang termasuk dalmnya; pakian, pergaulan, ekonomi, pentadbiran,politik dan lain-lainnya lagi.

3)Anggota Jemaah Mestilah Mengenali Sasaran Dakwah.
Dakwah ini ditujukan kepada siapa?

Sasaran kita ada dalam bermacam taraf dan kedudukan dari segi ilmu pengetahuan, kepentingan, kecenderungan, masaalah yang mereka hadapi berbagai-bagai, kelompok masyarakat beraneka ragam.

Perkara atau permasaalahan di atas semuanya mempunyai kaedah dan cara yang tertentu untuk menghadapinya, yang telah disusun oleh jemaah.

Anggota jemaah mestilah patuh kepada kaedah atau cara yang ditentukan oleh parti, atau jemaah, tidak boleh sama sekali ahli-ahli membuat kerja menurut selera masing-masing, jemaahlah yang membentuk cara itu, ahli mestilah mematuhi tanpa ragu dan was-was, ijthad sendiri mestilah dihapuskan kerana ia hanya mencelarukan jemaah, dan tidak dapat, menyatkan Fikrah Al-Jemaah dan ‘Amal Al-Jemaah, sebab itu kita menekankan supaya segala aktiviti jemaah hendaklah dibuat menurut kehendak jemaah dan diselaras dengannya walau sekecil manapun pekerjaan ahli sehinggalah kepada urusan peribadi sekalipun ia tetap ada hubungannya dengan jemaah dan akan dikaitkan dengan jemaah. Hal ini hendaklah dipakai oleh semua ahli apatah lagi pimpinan jemaah, sebab itulah pesanan (“ berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran ”), menjadi kaedah hidup umat Islam yang mutlaq, sama ada bagi kehidupan peribadi atau jama’i.

Segala gerak kerja anggota jemaah mestilah menguntungkan jemaah, segala gerak kerja yang merugikan hendaklah dihindarkan, baik gerak kerja itu gerak kerja lidah atau perbuatan, semuanya menjadi tanggungjawab kita, di antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam ‘Amal Jama’I ialah seperti berikut :

a.Bekerja dengan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata.

b.Bekerja menurut arahan dan program jama’i

c.Keta’atan dan kepatuhan kepada jemaah adalah kepatuhan kepada Allah dan RasulNya.

d.Kecuaian akan merugikan dirinya sendiri dan merugikan jemaah.

e.Menerima apa-apa jawatan atau tugas, ertinya menerima tanggungjawab memikul amanah.

f.Seorang yang bertugas mestilah menganggap jemaah akan tercatat dengan kecuaiannya dan tugasnya adalah yang terpenting.

g.Petugas hendaklah menganggap dirinya sebagai jundi dan syi’arnya ialah; “Kami dengar dan kami patuh.”

h.Kerja yang sempurna, Al-Itqan dan Al-Ihsan, adalah menjadi budaya muslim.

Selain daripada perkara di atas, didapati bahawa hubungan diantara kepimpinan dengan kepimpinan mengikut susunan jemaah adalah satu perkara yang memainkan peranan yang penting bagi melicinkan kerja jemaah, dimana kita ada beberapa peringkat kepimpinan:

a. Peringkat pusat, iaitu jawatankuasa kerja pusat.
b. Peringkat negeri, iaitu diketuai pesuruhjaya,
c. Peringkat kawasan, iaitu diketuai oleh ketua kawasan.
d. Peringkat cawangan, iaitu diketuai oleh ketua cawangan.

Masing-masing ada tanggungjawab masing-masing, yang telah diatur oleh perlembagaan jemaah kita. Mereka itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab melaksanakan segala urusan parti mengikut keputusan-keputusan yang dibuat oleh jemaah; kepimpinan membuat keputusan-keputusan, cadangan, perencanaan, mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah daripada satu masa ke satu masa yang lain, menurut ijtihad kepimpinan pusat.

Adapun yang tidak berubah ialah dasar. Dasar kita adalah Islam. Ia tidak berubah dan tidak akan berubah pada bila-bila masa, tetapi cara mana kita mahu menjalankan gerak kerja kita bagaimana taktik atau teknik,apakah pendekatan kita, rancangan kita, ini akan sentiasa berubah. Perubahannya kadangkala besar, kadangkala kecil, sesuatu perubahan teknik atau cara tertentu ada sebabnya. Kepercayaan yang mutlaq kepada bijaksanaan kepimpinan (thiqah) yang tidak berbelah bagi adalah amat mustahak, khususnya kita hidup di dalam arena politik yang bergerak ligat, seligat roda kereta yang laju, sekiranya jemaah kita tidak mampu membuat keputusan yang cepat, untuk menghadapi suasana, kita akan ketinggalan zaman, maka keputusan perlu dibuat yang difikirkan sesuai menghadapi sesuatu masaalah. Jikalau semunya dikehendaki didahulukan dengan pemberitahuan dan mesyuarat di semua peringkat, maka tentulah kita akan ketinggalan, cukuplah kita pasti dasar tidak berubah, tanpa satu tahap (thiqah) atau kepercayaan, atau keta’atan yang sewajarnya kepada kepimpinan, kita tidak dapat bergerak dizaman serba laju ini.

Oleh yang demikian disana mesti ada beberapa perkara diantara kepimpinan bawahan atau ahli biasa dengan kepimpinan di semua peringkat, iaitu :

a.Mempercayai dan berbaik sangka terhadap kebijaksanaaan kepimpinan
b.Menghormati, menta’ati pemimpin dalam semua keadaan
c.Sedia berkorban demi mencapai matlamat jemaah.
d.Sedia menerima hukum Allah dan hukum RasulNya tanpa ragu dan was-was.
e.Perasaan kasih sayang dan hubungan persaudaraan yang mendalam terhadap pimpinan.
f.Mempunyai adab/ sopan santun atau aqlak Islamiyyah yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja jemaah

Apabila perkara-perkara diatas menjadibudaya jemaah, maka sudah tidak ada lagi dalam jemaah tempat bagi fitnah bersarang dan bertelur, kebencian bermaharajalela, atau kelembapan menjalankan kerja jemaah, semuanya itu disimpulkan bahawa ahli-ahli jemaah apatah lagi pemimpin-pemimpin jemaah mestilah ada pada mereka sifat-sifat, al-faham, al-taqwa dan al-ta’at.

Akhirnya, ingin saya ringkaskan bahawa seorang muslim itu adalah pegawai petugas untuk mewujudkan Negara Islam kemudian khalifah Islamaiyyah, seorang muslim mesti ada dalam jemaah islamiyyah, menjaga rukun jemaah Islamiyyah adalah wajib, ta’at, patuh dan bersabar menerima apa-apa jua arahan kepimpinan adalah satu perkara asas dalam berjemaah, kepimpinan jemaah hendaklah diletakkan di atas kepentingan peribadi, gerak kerja ahli akan dikira sebagai membantu atau meruntuh jemaah, dari sinilah kita akan faham rahsia Allah s.w.t memberi tahu NabiNya Sayyidina Muhammad bin ‘Abdullah dengan firmanNya:

“ Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat kepada orang-oang yang tidak bersedia menyempurnakannya. “


(Surah Al-Muzzammil : Ayat 5)

Sabtu, 23 Jun 2012

Pertemuan Sepetang..




Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah, segala pujian dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana telah menganugerahkan nikmat Iman dan islam kepada kita, nikmat kesihatan dan nikmat mengecapai peluang pada saat-saat sekarang. Semoga nikmat-nikmat ini menjadi pemudah kita menapak kaki di Syurga Ilahi lantas dapat bertemu kekasih kita Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam kita utuskan kepada Baginda Nabi s.a.w kerana dengan kasihnya Baginda s.a.w kepada kita sehingga terus menerus cahaya kemuliaan Baginda s.a.w menebus ribuan sanubari yang bila mana menyebut nama Baginda Nabi s.a.w, beliau akan berkata “Itu adalah IDOLAKU”. Mana mungkin teman-teman, bila ada insan yang kasih pada kita, berkorban untuk kita, mempertaruhkan nyawanya utk kita, kita tidak merasa sesuatu.. Oleh itu nyatakan kasih sayang kita pada Nabi s.a.w kerana Baginda Nabi s.a.w memang Insan yang Pantas untuk dibanggakan.

Setelah lama tidak melorekkan kata dan rasa dalam dada blog yang bernama Tinta Harian ini, aku merasa cukup kekok dalam menyusun rentak tari jari jemari aku ini. Idea ada tak tersusun menyebabkan terkadang kepala digaru tanpa rasa gatal. Mungkin ini dikatakan reaksi tanpa sedar. Kisah pertemuan petang tadi menjadi titik kepada permulaan suatu yang amat berat buat aku, terasa tanggungjawab mula terpikul walaupun ianya hanyalah di peringkat kawasan. Ada yang menyatakan “nanti-nantilah, bila dah abis baru nak gerak” dan ada juga yang menyatakan “Alah, bukan wajib pun lagi pun nanti bila dah kawin aku akan terlibat” tapi persoalan yang bermain di minda aku “Alangkah Bagusnya kalau aku mengetahui akan masa depan aku”..

Setelah selesai kerja meng’print’ dan mengepos surat-surat untuk dihantar ke Fakulti yang berkaitan dengan Latihan Industri, aku bersiap sedia untuk berjumpa dengan insan yang amat penting iaitu seorang loyar yang agak lama dalam perjuangan. Ikutkan ini dah kali ke-3 pertemuan aku dengannya yang berakhir pertemuan kami di gerai makan yang sudah semestinya dibelanja minum olehnya. (^_^).

Perjumpan kami mengambil masa 2 jam dari pukul 5.30 petang hingga ke pukul 7.30 malam. Sungguh aku agak kekok pada mulanya kerana yelah diakan seorang yang dah lama dalam perjuangan sedangkan aku hanya datang dan terus menyatakan cadangan yang sebelum ini sudah aku perbincangkan dengan seorang rakan seperjuangan. Sungguh aku agak ragu-ragu pada mulanya berkenaan perancangan ini, takut-takut cadangan yang dinyatakan itu ditolak, tapi kesungguhan yang ditunjukkan teman-taman yang ada membuat aku rasa patut untuk aku nyatakan sedikit perancangan yang aku harapkan pada kejayaan dalam memudahkan gerak kerja. InsyaAllah.

Permulaan perjumpaan, biasalah dimulai dengan Bismillah dan sedikit kata-kata aluan oleh beliau. Aku mula mengambil alih perbicaraan setelah diberi peluang untuk menerangkan kepada beliau dan teman-teman yang hadir berkenaan perancangan yang aku kira tak de apa pun dan hanyalah sekadar initiatif dari sudut Gerak kerja yang hanya melengkapkan Jabatan yang ada dalam struktur Organisasi induk. Dalam menyatakan pendapat dan perbincangan, akhirnya keputusan diambil dan akan dibawa perbincangan pada meeting induk. Semoga idea itu diterima seadanya.

Selepas perbentangan sesi perbincangan bermula dan banyak perkara-perkara baru yang aku dapat dimana aku kira tak semua insan yang menyatakan “bila grad baru nak terlibat” tahu akan situasi yang ada di kawasan masing-masing. Setiap kawasan ada masaalahnya yang tersendiri, dan setiap masaalah itu perlukan kepada gerakkan anak muda untuk menampungnya, jika masaalah itu sudah lama tak menemui jawapannya maka anak muda harus menyatakan kesediaannya.

Selepas selesai sesi perbincangan keputusan diambil dan Alhamdulillah, program pertama akan digagaskan dalam jangka waktu terdekat, anak muda dan pimpinan akan bersua muka. Dan aku harapkan Doa kalian agar aku dapat melaksanakan dengan baik dan jelas matlamatnya. Sungguh bermain dengan perasaan dan emosi manusia ini bukan mudah apatah lagi anak muda yang berjiwa panas dan garang. Lagi garang lagi aku suka sebenarnya..huhu..

Setelah selesai meeting, ‘loyar’ tersebut mengajak kami ke gerai makan untuk mengisi balik tenaga yang telah banyak keluar dalam sesi perbincangan tersebut. Biasalah bila dah lama tak jumpa nih banyak benda yang hendak orang lama kongsikan dengan kita anak muda. Dari sturktur organisasi hingglah kepada permasalahan dan hinggalah kepada cadangan yang sungguh membuat masa berlalu dengan begitu pantas sekali tanpa disedari.

Kini dalam kepala aku bermain-main pelbagai program yang terkadang mungkin tidak mampu untuk dilaksanakan dalam jangka waktu yang singkat. Target program tarbiyyah dapat dimasukkan, entah la jadi atau tidak. Mudah-mudahan dapat dilaksanakan.. Amin..

Semangat makin membara untuk melangkah, teringat akan kata-kata Teman aku “Kalau diri dah sibuk dengan memikirkan perkara-perkara lain yang terutamnya melibatkan manusia, mesti kamu akan letakkan Allah dan Rasul dahulu berbanding Manusia, kamu pasti akan memikirkan kedudukan kamu disisi Allah dahulu sebelum kamu memikirkan kedudukan kamu di sisi golongan hawa atau manusia, Disini keikhlasan kamu diuji”, sungguh menusuk jiwa, mencetus gambaran, merobek kekusutan, menjernih pergerakkan.. semoga Allah, istiqomahkn aku dalam jalan yang sedang aku lakarkan.. Aku tidak ada sesiapa selain Allah, aku boleh dihidupkan dan dimatikan-Nya, aku harus ditiadakan-Nya, aku tiada daya upaya selain dari-Nya kerana Dialah yang menggerakkan tangan dan kaki ku, Dia lah juga yang mengurniakan akal dan emosi yang merupakan amanah yanag bakal dipersoalkan.. Ya Allah aku bukan Saidina Ali apatah lagi Saidina Umar, aku hanyakah Insan yang lemah selemahnya, maka ampunilah jasad dan rohku ini, semoga senang dialam sana.. Amin…

Jumaat, 22 Jun 2012

Pimpinan-Pimpinan : Pemilihan dan Pembentukkannya




Assalamu’alaikum….

Alhamdulillah, segala puji-pujian buat Allah s.w.t diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita selama ini dan nikmat yang terbesar yang telah dianugerahkan kepada kita adalah berupa nikmat iman dan islam. Alhamdulillah, syukur juga kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan seorang Insan yang cukup luarbiasa kepada kita yang hadirnya untuk memperbetulkan tauhid dan akhlak sekalian manusia dan insan itu adalah Jasad Mulia Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam keatas baginda s.a.w, sungguh tanpa pengorbanan baginda memerah keringat dan bersabar dengan mehnah dan tribulas akhirnya kita dan seluruh dunia merasai akan nikmat iaman dan islam.

Hari demi hari dan saat demi saat berlalu, akhirnya tanpa kita sedar kita sudah menghampiri kepada bulan ramadhan dan dalam kesempatan ini jasad ini ingin mengucapkan Selamat Menempuh Bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan pelbagai kebaikkan dan kemuliaan oleh Allah s.w.t. Ayuh kita persiapkan diri untuk menghadapinya dengan penuh kesempurnaan.. Amin..

Alhamdulillah, Disaat ini Allah s.w.t beri ruang dan peluang untuk hamba berkongsi tulisan dari buku “Memahami Prinsip-prinsip ‘Amal Islami” yang dikarang oleh Sa’id Hawwa. Sedah menjadi lumrah manusia itu sering lupa, semoga penulisan yang akan dikongsikan ini boleh membawa kita kembali apa yang telah kita lupai. Tajuk yang dikongsikan adalah “Pimpinan-Pimpinan : Pemilihan dan pembentukkannya”. Tajuk yang sangat menarik unuk kita melihat dan merenung kembali corakkan pembantukan Negara kita samaada adakah kita sudah melaksanakan pemilihan pimpinan yang baik atau tidak. Semoga Teman-teman yang membaca lebih mengerti dari Hamba yang menulis. Amin..

Dalam suatu athar yang panjang daripada Ibnu ‘Abbas, Imam Bukhari menyebutkan bahawa :

“ ‘Abdul Rahman bin ‘Auf bertemu Ibnu ‘Abbas lalu berkata : “Kalau anda tahu ada seorang datang menemui Amirul Mu’minin lalu berkata; kalau ‘Umar mati aku akan lantik (berbai’ah) denagn si fulan. Demi Allah Sayyidina ‘Umar marah, kemudian dia akan berkata InsyaAllah saya akan tampil bercakap di hadapan orang ramai pada malam ii untuk mengingatkan mereka bahawa ada golongan yang hendak merampas mandat kekuasaan mereka” ”

Cuba saudara perhatikan perkataan mereka hendak merampas kekuasaan daripadanya yang pada pokoknya kekuasaan ini adalah daripada syura dan suatu yang pokok juga di mana siapa saja daripada orang-orang islam tidak boleh brkuasa kecuali dengan keredhaan orng-orng islam dan syura mereka.

Hadith ini diperkuatkan lagi dengan suatu hadith yang lain yang telah diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas, daripada ‘Umar da dalam bahagian terakhir daripada Khutbahnya di Madinah. Beliau telah menyebut seperti berikut :

“ Sesiapa membai’ahkan seorang lelaki tanpa pemesyuaratan daripada orang-orang Islam, kemudian bai’ah mereka berdua itu tidak dituruti oleh orang ramai, hendaklah dibunuhkan kedua-duanya ”

Sesungguhnya bukanlah merupakan keharusan dengan apa bentuk sekalipun dirampas kebebasan memilih ‘Amir di dalam setiap peringkat dari angota-angota Hizbullah (Parti Allah), dan tidak searusnya berlaku kelemahan anggotanya dalam memilih salah seorang daripada mereka untuk memerintah di setiap tempat. Sama ada sedikit ataupun banyak bilangan mereka kerana inilah sahaja jalan yang sempurna untuk mengekalkan keutuhan saf dan untuk mengagihkan tenaga-tenaga ke jalannya yang sebenar dan untuk menjaminkan seseorang ini tidak akan menjadi Imam dengan keadaan dia dibenci orang.

Dan setiap anggota Hizbullah berkewajipan meneliti satu persoalan yang penting semasa membuat pemilihan pimpinan iaitu memilih yang paliang layak, yang paling berilmu, beramal dan yang paling diterima ramai serta memperhitungkan lama dan dahulu dalam dakwah. Kita berpendapat dua perkara ini tidaklah menjadi syarat kepada perturan dalam pemilihan supaya dapat kita kekalkan peluang terbuka di hadapan mereka yang cerdik serta layak muncul ke hadapan tetapi ini adalah suatu hal yang jarang-jarang berlaku. Tetapi apabila golongan yang kurang pengalaman atau sedikit pengalaman tampil ke hadapan untuk pimpinan, maka ini boleh membawa kepada “delima” dan berlaku kepincangan di dalam criteria pemilihan dan pertimbangannya. Begitu juga apabila yang lebih muda tampil kehadapan, tindakan ini boleh menimbulkan ejekan atau penghinaan oleh angota-angota yang lebih tua dan orang yang lebih kecil ini mungkin tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya bahkan boleh membawa kepada penghinaan jama’ah secara menyeluruh. Bagi orang yang terdahulu ada kelebihannya di dalam Islam.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :

“ Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa : ‘Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. ”

(Surah Al-Hasyr : Ayat 10)

Meraikan sikap penerimaan umum terhadap seorang pemimpin membawa kita lebih mampu untuk membuat perhubungan dan kerja. Manakala sikap meraikan ilmu dan melaksanakannya adalah suatu yang lebih membawa kita kepada istiqomah dan menjauhkan diri daripada yang keji.

Inilah suatu yang mempunyai hubungan di dalam tajuk pemilihan pimpinan di dalam jama’ah Islam, tetapi di sana ada suatu perkara yang lain pula iaitulah kerja memproses kelahiran pimpnan yang berkeahlian untuk memimpin kaum musliman yang merupakan suatu sudut yang terpenting dalam kerja Hizbullah dan inilah yang akan kita perkatakan seperti berikut :

“ Lebih daripada satu persoalan Allah s.w.t telah menceritakan kepada kita mengenai kisah Nabi Adam a.s dan di antara apa yang dapat kita perhatikan dari kisah Nabi Adam a.s ialah Allah s.w.t tidak menyuruh para malaikat sujud kepadanya kecuali setelah memperlihatkan kepada mereka tentang kelebihan-kelebihan Nabi Adam a.s :

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman : “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.” Malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engaku ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman : “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman : “Bukankah Aku telah katakana kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?” Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”
(Surah Al-Baqarah : Ayat 31-34)

Dan perhatikan dari peristiwa yang tercata didalam pendahulaun Tafsir Al-Baqarah ini, iaitu Rasulullah s.a.w meminta daripada serombonagn yang datang kepadanya setiap seorang membaca sesuatu daripada Al-Quran dan disinilah Rasulullah s.a.w telah melantik seorang dari mereka yang menghafal surah Al-Baqarah sebagai Amir kerana beliau ini mempunyai kelebihan daripada orang lain.

Kaedah dasar dalam urusan kepimpinan ialah diberikan kepada orang yang berkeahlian; orang yang berkeahlian ini ialah siapa sahaja yang memiliki sifat-sifat khusus dan sifat-sifat keahliah qiyadah, biasanya manusia ini tidak akan menyerah pimpinan mereka dengan secara pilihan kecuali kepada manusia yang mereka rasa mempunyai kelebihan dari mereka dan dengan kelibihan itulah dapat memimpin mereka. Orang yang memilih sifat ini ialah orang yang memiliki ilmu di dalam politik, ilmu mengenai peperangan, seninya, sejarahnya, jalannya, taktiknya dan tuntutan-tuntutan qiyadah ketenteraan dan seterusnya daam semua perkara.

Tidak syak lagi di samping itu terdapat syarat-syarat yang lain untuk setiap jenis pimpinan tetapi ini adalah syarat paling pokok, sesungguhnya umat-umat kafir dewasa ini telah Berjaya mewujudkan pusat-pusat latihan bagi melahirkan berbagai jenis pimpinan dengan kelayakkan yang maksima atau tinggi di dalam setiap sudut dari sudut-sudut penghidupan.

Kepimpinan politik mempunyai pusatnya yang tersendiri iaitu parti-parti yang merupakan sekolah khusus dan pimpinan ketenteraan mempunyai sekolahnya yang tersendiri dengan cara-cara bagaimana boleh melahirkan dan menghasilkan kepimpinan ini dan katakanlah sahaja mana-mana sudut penghidupan.

Pusat-pusat ini dibantu oleh biro-biro dan kelab-kelab atau jentera-jentera khusus dan jalan-jalan operasinya sehingga setiap individu boleh mengambil tempatnya yang sesuai untuk berkhidmat kepada bangsanya, tanah air atau Akidahnya. Adapun kita sebagai orang islam, kepimpinan itu bagi kita adalah suatu perkara yang jauh berbeza dengan mereka dari beberapa sudut. Meskipun di sana terdapat beberapa persoalan yang mempunyai persamaan yang tidak dapat tidak , ada pada kita dan pada mereka dan kita mestilah mengakui bahawa qiyadah-qiyadah Muslimah yang terpimpin (Rashidah) tidak mampu melahirkan kecuali dengan bilangan yang sangat sedikit. Dan tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa qiyadah yang seumpama ini belum pernah muncul dalam bentuk peribadi kamil (sempurna) kecuali dalam generasi pimpinan yang diterbiyyah oleh Rasulullah s.a.w dimana hasil daripada terbiyyah Rasulullah s.a.w ini muncul pimpinan-pimpinan agung yang telah memerintah dunia ini dengan Syariat Islam dengan begitu licin, selicin pengendalian rumah tangga. Dari satu sudut yang lain kita mestilah mengakui dimana golongan kafir telah Berjaya dalam usahanya mengadakan institusi-institusi penetasan pimpinan mereka yang berkesan (kelab-kelab, sekolah-sekolah, dan dewan-dewan freemason). Dan jarang sekali institusi-institusi Islam Berjaya melahirka satu generasi yang mampu mempin di berbagai peringkat dan tidak syak lagi ini adalah satu keperluan yang besar.

Saudara tidak boleh menyerahkan pimpinan-pimpinan immah ini kepada anasir-anasir yang kerdil atau lemah, jahil atau tidak bermaya atau sempit pandangan dan ummah Islamiyyah tidak bole menyerahkan pimpinannya kepada peribadi-periadi seumpama ini. Oleh yang demikian tidak dapat tidak, kita mesti mencari jalan untuk memilih anasir0anasir yang terbaik dan dipertingkatkan bakat dan kemampuannya yang berbeza supaya layak dicalonkan untuk memimpin ummah ini. Untuk menentukan kadar kejayaan kita dalam usaha melahirkan golongan-golongan yang pintar lagi mampu yang boleh dikesan kewujudan mereka oleh manusia biasa dan merasakan golongan ini layak diberi thiqah, bergantung kepada kemampuan golongan ini melaksanakan kerja-kerja mereka dengan penuh keikhlasan kepada Allah s.w.t, sejauh itulah kita menuju ke jalan kejayaan.

Dan telah berlalu satu periode dimana para pengkaji kedudukan Gerakkan Islam hampir sebulat suara mengatakan bahawa gerakan-gerakan islam ini tidak mampu mengekalkan warisan kepimpinan bagi memenuhi perjuangan dan kerjanya. Gerakkan Islam tidak mampu mempertingkatkan anggota-anggotanya keperingkat pimpinan yang tinggi. Sebagai akibatnya, Gerakkan Islam terhakis dan reput dari dalam. Apakah Hizbullah sanggup mengatasi masaalah ini? Lantaran itu ita mengharapkan satu jawapan yang positif.
Sesungguhnya Hizbullah berkewajipan mengorbankan sebahagian besar dari tenaganya dalam merangkan program mempercepatkan penetasan dan penglahiran pimpinan-pimpinan yang agung untuk orang-orang islam. Semuanya ini tidak akan dapat dikerjakan kecuali dengan kerjasama antara pimpinan dan individu. Sesungguhnya tugas pertama bagi jamaah ialah memproses pengeluaran saf qiyadah untuk orang islam melalui tarbiyyah pelajaran dan ilmu pengetahuan. Sungguhpun begitu, hendaklah dibezakan diantara tarbiyyah seorang al-akh itu, supaya ia menjadi salih bagi memimpin dan mengepalai umat adalah satu hal, manakala seorang al-akh itu merasakan dia sahaja barhak memimpin adalah satu hal yang lain pula, yang pertama adalah kewajipan sedangkan yang kedua ialah penyakit.

Kita bermohon kepada Allah s.w.t supaya membersihkan hati-hati kita dari segala penyakit…

Benarlah teman-teman, dalam proses perencanaan penetasan individu tarbiyyah ianya seharus dilangsungkan terus dengan ilmu dan perbuatan… semoga titipan ayat dari buku “Memahami Prinsip-prinsip ‘Amal Islami” dapat menyutik kembali kesedaran kita dalam memilih dan Gerakkan Islam dalam menyediakan medium penetasan qiyadah yang lebih berkualiti. InsyaAllah.. Amin… (^_^)

Ahad, 10 Jun 2012

WASIAT TERAKHIR Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani Kepada Anak-Anaknya!!




Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran dihadapkan kepada Allah s.w.t atas segala-galanya terutamanya Nikmat Iman dan Islam yang selama ini Dibekalkan kepada kita. Nikmat yang menjadi kunci kepada kita untuk memasuki syurga Allah s.w.t.. InsyaAllah.. Selawat dan salam juga dititipkan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w kerana tanpa kasih sayang Baginda s.a.w kepada kita, untuk keluarkan kita dari kejahilan dan kemaksiatan pada Sang Pencipta, mana mungkin kita akan lahir sekarang sebagai seorang islam.

Setelah sekian lama sunyi dalam menulis dan berkongsi titipan buku buat teman sekalian, Alhamdulillah, Kali ini Allah s.w.t bagikan kesempatan ruang dan peluang untuk jasad ini berkongsi satu nasihat yang amat mendalam maksudnya. Nasihat yang diperolehi dalam Buku “ Nasihat dan Wasiat Kerohanian ” dari Syeikh Qadir Al-Jailani ini sangat menyentap jiwa ragaku. Kini akan aku kongsi Wasiat Terakhir Syeikh Qadir Al-Jailani pada Teman-taman.. wasiatnya terkadang ada yang tersangat mendalam dan sukar untuk difahami.. InsyaAllah, moga Kalian yang membaca lebih memahami dari diri yang menyampaikan.. Amin.. Sungguh, Ilmu itu milik Allah dan kita sebagai medium utk menyebarkan dalam erti kata makhluk..

ABDUL WAHHAB, putera Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, meminta wasiat dari belaiu, ketika ayahandanya itu sakit yang membawa kewafatan beliau. Beliau berkata :

“ Tetaplah engkau takwa dan taat kepada Allah s.w.t. Jangan engkau takut kepada seorang juapun dan janganlah engkau mengharapkanya. Serahkanlah semuanya keperluanmu kepada Allah s.w.t dan tuntutlah daripada-Nya. Janganlah engkau bergantung kepada seorang manusia pun selain daripada-Nya. Tauhid…! Tauhid…! Tauhid…! Sumber semuanya itu adalah tauhid…..! ”

Tatkala sakit beliau telah semakin parah, beliau berkata :

“ Apabila kalbu sudah benar bersama-Nya, maka tidak ada yang sepi dari hati dan tidak ada yang keluar daripadanya. Aku adalah inti tanpa kulit ”.


Beliau juga berkata kepada putera-putera beliau :

“ Menyingkirlah kamu dari sekitarku, sebab secara zahir aku bersama kamu dan secara batin aku adalah bersama orang lain. Antara aku, kamu dan semua makhluk ada jarak sejauh antara langit dan bumi. Maka janganlah kamu menyamakan aku dengan seseorang dan janganlah kamu menyamakan seseorang dengan aku ”

Kemudian Beliau Berkata lagi :

“ Selain kamu ada yang hadir di dekatku. Maka berilah mereka tempat duduk, dan bersopan santunlah kamu kepada mereka. Disini ada rahmat yang agung. Dan janganlah kamu menyempitkan tempat terhadap mereka ”.

Salah seorang murid beliau yang paling rapat dan menjadi pencatat wasiat dan nasihat beliau pernah diberitahu oleh sebahagian putera beliau, bahawa beliau pernah berkata:

“ Dan semoga kamu mendapat keselamatan, rahmat Allah dan Berkah-Nya. Semoga Dia mengampuni aku dan kamu. Semoga Dia menerima taubatku dan taubatmu. Dengan nama Allah s.w.t ”.

Beliau mengatakan hal itu selama sehari semalam. Beliau juga berkata :

“ Aduhai…! Aku sungguh kasihan kepadamu…! Aku tidak mempedulikan sesuatupun, dan tidak juga terhadap malaikat maut. Mengingkirlah engkau…! Sebab kami sudah mempunyai Tuhan yang menguasai kami selain daripada kamu ”.


Beliau menjerit dengan keras pada hari yang beliau wafat, pada petang harinya. Sebahagian putera beliau menanyakan tentang apa yang beliau lihat. Maka beliau menjawab :

“ Janganlah ada seorang pun yang bertanya kepadaku tentang sesuatu. Aku adalah ini. Aku bergerak-gerak dalam ilmu Allah s.w.t ”.


Beliau berkata kepada putera beliau, Abdl Jabar :

“ Engkau tidur ataukah terbangun..? Matilah kamu dalam diriku, maka kamu akan terbangun ”.

Salah seorang murid beliau yang bernama ‘Afif mendatangi beliau tatkala sebahagian putera beliau berada disisi beliau, yang bernama Abdul Aziz menulis atas nama beliau. Beliau lalu menyuruh puteranya itu memberikan kepada muridnya tersebut untuk mencatat apa yang akan disampaikannya. Kemudian meridnya itu menulis :

“ “ Nescaya Allah akan memberikan kelapangan setelah kesempitan ”
(Surah Al-Thalaq : 7)

Hukum dapat berubah, namun ilmu tidak boleh berubah. Hukum dapat disalin, sedangkan ilmu tidak. Ilmu Allah tidak dapat dilawan oleh Hukum-Nya “…


Dua orang putera beliau, Abdul Jabbar dan Musa menggabarkan bahawa Tuan Syeikh Qadir Al-Jailani mengangkat dan menghulurkan tangan beliau sambil berkata :

“ Bertaubatlah kamu dan masuklah kamu ke dalam barisan…! ”


Beliau juga berkata :

“ Rahmahlah…! Rahmahlah kamu…! “
. Kemudian datanglah al-Haq dan sakarat maut, lalu beliau berkata:

” Aku meminta pertolongan kepada Laillahaillallah yang tidak akan mati dan tidak takut kepada kematian. Maha suci Dzat yang Maha Agung dengan kekuasaan-Nya dan mengalahkan hamba-hamba-Nya dengan kematian. Laillahaillallah Muhammad rasullullah


Putera beliau yang bernama Musa menceritakan, bahawa tatkala beliau menyatakan “ ’Azim ” (Agung) maka lisan beliau tidak mampu lagi berkata secara benar. Beliau selalu mengulang-ulang hingga beliau berkata ‘Azim dan beliau memanjangkannya, sehingga beliau berkata dengan benar.

Kemudian beliau mengucapkan : “ Allah..! Allah..! Allah..! ”. Lalu suara beliau samar dan lidah beliau menempel pada langit-langit beliau. Kemudian beliau wafat. Semoga Allah s.w.t meredhainya dan meredhakannya, serta semoga Dia mengumplkan antara beliau dan kita di tempat yang mulia disisi Allah Rabb Yang Maha Kuasa.

Segala puji bagi Allah s.w.t yang menjadikan Tuhan atas sekalian alam. Rahmat-Nya yang agung sempoga tercurah pada pimpinan para nabi dan rasul, Nabi Muhammad s.a.w. makhluk yang paling utama, para keluarga serta sahabat baginda, hingga kepada tabi’in dan tabi’ al tabi’in semuanya..

Semoga ikhtibar dari wasiat ini dapat kita hayati dengan mata hati.. mereka yang dekat dengan Allah, berkatanya mereka mengundam 1001 maksud..