Isnin, 14 Mac 2011

Anas Bin Malik




Adakah anda kenal sahabat Rasulullah ini?
Sekiranya kita membuka Sahih Muslim atau Sahih Bukhari, nama Anas Bin Malik Al-Ansori tidak asing lagi sebagai salah seorang sahabat Rasulullah yang banyak meriwayatkan hadith, kenalkah anda siapakah Anas Bin Malik ini?

Mari kita melihat bagaimana Anas bin Malik menjadi salah seorang perawi hadith pada zaman Rasullullah S.A.W dan bagaimanakah kehidupan beliau semasa zaman Rasullullah. Pengkaji sejarah menyatakan Anas bin Malik telah meriwayatkan sebanyak 1286 hadis sepanjang kehidupannya bersama Rasulullah.Wallahua'lam..

Nama sebenar beliau adalah Anas Bin Malik ibn Nadar al-Khawarij al-Ansori. Beliau adalah anak kepada Ummu Sulaim iaitu wanita pertama yang memeluk Islam dalam kalangan penduduk Madinah sebelum hijrah Rasullulah ke Madinah. Ayahnya pula bernama Malik ibn Nadr dan beliau tidak memeluk Islam.

Bagaimana Anas Bin Malik menjadi sangat rapat dengan baginda Rasulullah?

Kisahnya begini...

Seluruh bumi Madinah gelisah. Semua orang menatap penuh harap ke arah jalan menuju kota Makkah. Seperti menunggu satu cahaya dan berharap cahaya ini akan segera datang dan muncul. Rasa cemas terpancar jelas di dalam mata mereka. Sesaat kemudian, semua orang melompat kegirangan tidak kira tua, muda dan kanak-kanak. Semuanya bergembira. Seorang ibu bergegas membawa putera kecilnya menuju ke arah yang sama. Semua berlumba dan berlari agar mendapat tempat bagi melihat susuk tubuh itu sepuas-puasnya. Tidak terkecuali ibu dan anaknya tadi. Ikut berhimpitan dengan orang ramai agar mendapat tempat di bahagian hadapan.

Semua orang lantas berlumba memberikan hadiah terbaik mereka untuk Rasulullah S.A.W yang mulia. Ummu Sulaim yang hidup miskin ditinggalkan oleh suaminya sewaktu Anas masih kecil ingin sekali memberikan hadiah istimewa buat Rasulullah. Lantas beliau mendatangi kediaman Rasulullah S.A.W dengan membawa putera yang satu-satunya.

"Wahai Rasulullah...tidak ada di Madinah ini baik lelaki mahupun perempuan kecuali mereka yang memberimu hadiah, dan sungguh saya tidak memiliki apa-apa kemewahan yang akan saya hadiahkan untukmu kecuali putera kecilku ini, bawalah ia agar bisa berkhidmat kepadamu" Ucap Ummu Sulaim dengan linangan air mata bahagia. Rasulullah S.A.W tersenyum dan mengusap kepala Anas yang masih kecil dan memeluknya erat.

Sejak itu, Anas bin Malik sentiasa bersama Rasulullah S.A.W setiap masa dan di mana jua. Beliau hidup bersama Rasulullah S.A.W selama sepuluh tahun. Inilah detik dan saatnya, Anas bin Malik menjadi pembantu pemimpin dunia iaitu apabila tibanya Rasullullah di Madinah, ibunya mengarahnya berkhidmat kepada Rasullullah. Ketika ini beliau berumur 10 tahun dan apabila baginda wafat umurnya baru mencecah 20 tahun. Dalam masa umur beliau 10 hingga 20 tahun beliau mendapat tarbiah secara langsung daripada baginda apabila beliau sentiasa mengekori Rasullullah ke mana sahaja baginda pergi. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kita dapat melihat bagaimana beliau adalah salah seorang sahabat yang amat memahami keadaan Rasulullah, tahu akan kesusahan Rasulullah, dan arif akan sifat dan tingkah laku Rasulullah.

Gambaran akhlak Rasullullah melalui Anas Bin Malik

Anas bin Malik adalah seorang anak kecil yang menjadi pembantu Rasullullah yang diarahkan ke pasar. Ketika mendapati Anas kecil yang lalai mengerjakan tugasnya, Rasulullah S.A.W tidaklah marah. Namun beliau malah tersenyum. Anas bin Malik berkata, "Rasulullah adalah orang yang paling mulia akhlaknya, paling lapang dadanya, dan paling luas kasih sayangnya, suatu hari aku diutus oleh baginda untuk suatu keperluan, lalu aku berangkat.

Di tengah jalan, aku menemui anak-anak yang sedang bermain. Dan aku pun ikut bermain bersama mereka sehingga aku tidak jadi memenuhi suruhan beliau. Ketika aku sedang asyik bermain, tanpa sedar ada seseorang berdiri memerhatiku dan memegang ubun-ubunku. Aku menoleh ke belakang dan aku melihat Rasulullah S.A.W tersenyum kepadaku lalu berkata, "wahai Unais, apakah engkau telah mengerjakan perintahku?" Aku bingung dan berkata, "ya, aku akan pergi sekarang ya Rasulullah!"

Demi Allah, aku telah melayani beliau selama sepuluh tahun dan beliau tidak pernah berkata kepadaku, "mengapa kau kerjakan ini? Mengapa kau tidak mengerjakannya?"

Unais bermaksud Anas kecil. Nama panggilan Rasullullah kepada Anas. Apa yang dapat kita gambarkan mengenai sifat Rasullullah ini? Seorang yang mulia akhlaknya. Maka hari ini, bukan setakat penyakit keturunan adalah "genetik" yang heboh diperdebatkan, malahan akhlak dan peribadi juga adalah salah satu permasalah genetik yang tidak sedikit kita persoalkan. Melalui pengalaman yang dilalui sendiri, dalam kehidupan sekarang kita melihat bagaimana bapa yang pemarah dan bengis, sedikit sebanyak akan mempunyai kesan mental terhadap anaknya yang bakal mewarisi sifat yang sama. Bezanya penyakit genetik ini dapat diubah melalui tarbiah jiwa dan rohani.

Melihat akhlak Rasulullah yang mulia memberi kesan yang mendalam kepada Anas Bin Malik sehingga beliau diangkat sebagai salah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis. Apatah lagi memiliki ibu iaitu Ummu Sulaim yang mempunyai kekuatan iman yang hebat. Beberapa kisah yang menceritakan betapa hebatnya keimanan dan ketaqwaan Ummu Sulaim. Antaranya adalah kesanggupannya untuk menyerahkan putera tunggalnya Anas Bin Malik ini untuk berkhidmat kepada Rasullullah. Seorang ibu yang yakin bahawa anaknya akan menjadi orang yang hebat apabila duduk bersama dengan orang yang hebat.

Peristiwa lain yang memperlihatkan kekuatan iman Ummu Sulaim ini berdasarkan peristiwa beliau dilamar oleh Abu Talhah yang merupakan salah seorang saudagar yang terkaya dalam kalangan penduduk Madinah tetapi belum lagi memeluk Islam. Gambaran jelas terpancar pada kekuatan iman Ummu Sulaim apabila meletakkan mahar perkahwinan bukan pada harta Abu Talhah tetapi pada keislaman Abu Talhah sebagai mahar perkahwinan.

Kehidupan Anas selepas wafatnya Rasullullah

Selepas wafatnya Rasullullah, beliau adalah antara sahabat yang sangat sedih. Menjadi pembantu peribadi kepada Rasullullah selama 10 tahun membuatkan dirinya kehilangan sesuatu yang sangat berharga dalam hidupnya. Beliau kemudiannya berpindah dan menjadi duta besar umat Islam, mengajar dan menetap di Basrah. Beliau juga adalah antara sahabat Rasullullah yang panjang umur. Umurnya menjangkaui usia 100 tahun lebih. Beliau mempunyai ramai zuriat yang kebanyakannya menetap di Basrah.

Pendidikan yang diperoleh Anas bin Malik daripada Rasulullah yang boleh dianggap seperti bapanya sendiri amat mempengaruhi peribadinya, beliau mencontohi sifat-sifat Rasulullah secara [I]syumul[/I] dan peribadi Rasulullah tidak lain dan tidak bukan di adaptasi daripada Al-Quran, marilah kita sama-sama menganalisis dan muhasabah diri, sejauh mana keakraban kita bersama Al-Quran.


http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/1822-anas-bin-malik-.html

Tiada ulasan: