Sabtu, 13 November 2010

Hukum Melakukan Ibadah Korban Bagi Pihak Orang Lain

Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah dulu, kini dan selamanya kepada Allah s.w.t kerana sekali lagi Allah s.w.t beri kekuatan dan kelapangan masa untuk aku bersua dalam laman kecil ini... Selawat dan dalam keatas Rasul junjungan besar kita s.a.w kerana dengan kesungguhan dan ketabahan Baginda serta dengan pertolongan Allah s.w.t membolehkan kita merasai nikmat islam dan iman dan sinar islam ini sentiasa bersinar dari hari ke hari , dari bulan ke bulan, tahun ke tahun sehinggalah sampai saat sekarang islam masih lagi meresapi jiwa raga manusia tanpa terhad dan terhenti. Hal ini menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t kerana Allah s.w.t lah yang mengatur seluruh sistem dan peraturan alam...

Desakkan kesunyian yang melanda UTM (Universiti Tarbiah Malaysia), memberi esempatan untuk aku menaip sesuatu pada keboard laptop aku ini.. Rata-rata kawan-kawan aku sudah balik atau pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari Raya Korban bersama keluarga masing-masing dan kesunyian blok S39 semakin jelas... Sedar tak sedar sudah tiba hari raya korban dan ini lah merupakan hari raya pertama bagi aku meraikannya tanpa bersama keluarga yang tersayang di kampung... Tapi itu bukan pokok persoalanya yang ingin aku utarakan disini, tapi adalah sedkit perkongsian ilmu yang berkenaan korban.. Bila mana disebut Hari raya korban atau Aidiladha ini menggambarkan kepada kita akan satu coretan kisah sejarah yang tidak asing lagi berkenaan pengorbanan seorang suami dan ayah dalam melaksanakan suruhan Allah s.w.t..

Kisah yang telah tercatat kemas dalam sejarah islam ini adalah kisah yang Penuh ikhtibar buat kita dan juga merupakan titik tolak untuk kita bagi meningkatkan lagi kasih sayang kita kepada Pencipta, Keluarga dan masyaraat umumnya disamping memantapkan lagi keyakinan kita pada Allah.s.w.t... Disamping itu, jangan lah kita lupa akan nasib saudara-saudara kita yang berada nun jauh disana yang mungkin makan atau tidak yang menderita dan yang berada dalam kesusahan sebagaimana di palestin, gaza, afganistan dan sebagainya yang berjuang untuk mempertahankan diri, dan juga maruah agama... Doakan lah buat mereka semua agar terus kuat dan tabah serta di masukkan dalam golongan yang telah dijanjikan syurga serta dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya...

Sebenarnya perkongsian yang ingin dibuat kali ini berkenaan persoalan bolehkah kita melakukan ibadat korban untuk orang lain?? Disini aku nyatakan penjelasan dari mufti brunai mengenai persoalan ini..

Hukum berkorban ialah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut) bagi orang baligh, berakal, merdeka serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Maksud berkemampuan di sini adalah orang yang mampu untuk berkorban setelah ada lebihan dari keperluannya dan keperluan orang-orang yang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Adhha dan hari-hari Tasyriq.

Menurut jumhur ulama, sunat melakukan korban bagi orang yang mampu dan makruh hukumnya jika dia tidak melakukannya sedangkan dia ada kemampuan untuk melakukan korban. Hukum ini akan menjadi sunat mu’akkadah ‘ainiyyah iaitu sunat yang dituntut ke atas orang itu sendiri sekiranya dia tinggal bersendirian di dalam sebuah rumah. Dan sebaliknya menjadi sunat mu’akkadah kifayah iaitu sunat yang dituntut secara umum bagi sebuah keluarga dalam sebuah rumah. Jika salah seorang daripada ahli keluarga di dalam rumah tersebut melakukan korban, maka gugurlah tuntutan sunat kifayah daripada anggota keluarga yang lain.

Tuntutan untuk melaksanakan korban ini sudah mendapat perhatian daripada orang ramai. Timbulnya kesedaran di kalangan orang Islam terhadap keutamaan ibadah korban menyebabkan tidak sedikit jumlah binatang korban yang disembelih setiap
menjelangnya Hari Raya Adhha, bahkan semakin bertambah jumlahnya setiap tahun. Ini kerana selain dari menjunjung tuntutan syara‘, keghairahan untuk meraih ganjaran juga tidak dibiarkan terlepas begitu sahaja.Dari segi yang lain pula, kelebihan dari segi kewangan bagi sesetengah individu menyebabkan mereka bukan sahaja melakukan korban untuk mereka sendiri, bahkan untuk pihak orang lain dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh mereka sendiri. Ada yang melakukan korban untuk ibu-bapa, anak-anak, adik beradik, saudara mara malahan untuk teman-teman mereka.

Persoalan yang timbul ialah kedudukan hukum seseorang yang melakukan korban bagi pihak orang lain. Adakah sah atau tidak korban yang dilakukan untuk orang lain dengan kos perbelanjaan daripada harta orang yang melakukan korban itu?

Perbincangan mengenai hukum melakukan korban bagi pihak orang lain ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-

i. Melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup.
ii. Melakukan korban bagi orang lain yang telah meninggal
dunia.

Korban Bagi Orang Yang Hidup

Tidak harus melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup dan tidak sah korban tersebut jika dilakukan kecuali dengan ada keizinan daripada orang tersebut. Ini kerana korban itu adalah suatu ibadah dan melakukan ibadah untuk orang lain adalah
ditegah kecuali jika ada dalil yang mengharuskan untuk berbuat sedemikian. Dalam perkara ibadah korban, adanya keizinan adalah syarat yang mengharuskan seseorang itu melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup.

Berbeza halnya dengan beberapa keadaan berikut:-

i. Wali (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan korban dengan kos perbelanjaan dikeluarkan daripada hartanya untuk orang-orang yang di bawah jagaannya seperti anak atau cucunya yang masih kecil. Dalam keadaan ini, contohnya jika bapa melakukan korban untuk anaknya, maka sah korban untuk anak tersebut, sementara si bapa pula
memperolehi pahala hibah (pemberian).Walau bagaimanapun tidak sah korban yang dilakukan untuk anak yang masih dalam kandungan. Ini kerana belum ada apa-apa tuntutan syara‘ yang dikenakan ke atasnya.

ii. Jika salah seorang daripada ahli keluarga dalam sebuah rumah melakukan korban untuk dirinya sudah dianggap melepaskan tanggungan sunat kifayah keluarga tersebut walaupun tanpa ada keizinan daripada ahli keluarga yang lain atau tanpa ada niat mereka untuk melakukan korban.

iii. Harus bagi pemimpin atau ketua melakukan korban bagi orang-orang Islam di bawahnya daripada harta Baitul Mal (jika ada kelebihan pada harta tersebut) dengan menyembelih badanah (unta atau lembu yang gemuk). Jika tidak mampu menyembelih badanah maka dengan seekor kambing biri-biri.

Walau bagaimanapun dengan sembelihan ini tidak menggugurkan tuntutan korban ke atas orang-orang Islam yang berkemampuan kerana apa yang diperolehi daripada sembelihan pemimpin atau ketua itu adalah perolehan pahala semata-mata bagi orang-orang Islam.

Daging daripada sembelihan ini juga boleh dimakan oleh orang-orang Islam termasuk orang-orang kaya kerana sembelihan itu dianggap sedekah semata-mata.

Korban Bagi Orang Yang Sudah Meninggal Dunia

Tidak harus bagi ahli waris mahupun orang lain melakukan korban bagi orang yang sudah meninggal dunia dan tidak sah korban yang dilakukan melainkan jika orang yang telah meninggal dunia itu pernah mewasiatkan sedemikian.

Apabila orang yang diwasiatkan melakukan korban bagi pihak si mati, maka dia tidak boleh memakan daging tersebut dan juga tidak boleh menghadiahkannya kepada orang kaya kecuali jika ada keizinan awal daripada si mati. Oleh yang demikian daging tersebut wajib diagihkan kesemuanya kepada fakir miskin.

Begitulah penjelasan mengenai hukum melakukan korban bagi orang lain, sama ada orang tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Apa yang jelas, seseorang yang ingin melakukan korban bagi orang lain perlu meminta keizinan terlebih dahulu daripada yang empunya diri atau dengan adanya wasiat yang ditinggalkan untuknya. Jika dilakukannya juga tanpa ada keizinan atau wasiat, maka korban tersebut tidak sah.

Tiada ulasan: