Oleh: Muhammad Fathi bin
Ali
e-mail: fathi_ali1427h@yahoo.com
Pengenalan Ringkas kepada Imam Bukhari
Imam al-Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail bin
Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardazabah atau dikatakan bin Yazdabah. Sesetengah
orang menggelarnya Ibnul Ahnaf, Abu Abdullah bin Abil Hasan al-Bukhari
al-Hafiz. Imam al-Bukhari termasuk salah seorang daripada enam pengumpul
dan penyusun kitab-kitab hadis yang terkenal dalam dunia Islam iaitu Muslim,Ibn Majah,Tirmizi,Abu
Daud dan Nasaie, yang mana kitab-kitab mereka dikenali sebagai Kutub as-Sitttah. Beliau dilahirkan pada hari jumaat 13 hari bulan Syawal
194H. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan Imam Bukhari
membesar dan tumbuh di bawah asuhan ibunya. Beliau meninggal pada hari Sabtu, 1
hari bulan Syawal 256H iaitu ketika beliau berumur 62 tahun setelah
meninggalkan jasa yang cukup besar kepada Islam dan umat Islam yang berguna
sehingga hari kiamat.
Imam al-Bukhari adalah
seorang yang telah terkenal akan kehebatannnya dalam hadis, sehinggakan apabila
sesebuah hadis itu disebut sebagai "riwayat al-Bukhari" maka ia memberi tanda kekuatan seolah-olah hadis itu tidak perlu disemak lagi
akan kesahihannya. Bukanlah kita mengatakan bahawa al-Bukhari maksum, akan
tetapi setelah dikaji zaman-berzaman, sejak kitab sahih Bukhari ini ditunjukkan
kepada guru-guru Imam Bukhari seperti Yahya ibn Mai'n, Imam Ahmad ibn Hanbal
dan imam-imam lainnya, mereka telah menyokong penuh akan kesahihan hadis-hadis
dalam kitab sahihnya kecuali beberapa hadis yang tidak sepakati akan darjatnya.
Ini bermakna majoriti hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari telah diakui kesahihannya sejak zaman ia ditulis sehingga Imam Bukhari
meninggal, malah telah cuba
dibincang semula setelah Imam Bukhari meninggal.
Contohnya, Imam
ad-Daruquthni pernah cuba membincang dan menyemak semula kesahihan hadis-hadis
dalam kitab Sahih Bukhari, walaupun terdapat beberapa hadis
dalam Sahih Bukhari yang dibincangkan dan diragui akan darjat kesahihanya,
namun setelah dilihat dari segi hujah, didapati hujah-hujah Imam Bukhari dalam
mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya adalah lebih kuat. Secara
ringkasnya, semua hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari telah diakui akan
kesahihannya oleh para muhaddith sezaman dengannya, ataupun setelah al-Bukhari
meninggal dunia. Selain itu, beliau hanya memasukkan
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh golongan yang pertama sahaja dan
meninggalkan riwayat golongan yang lain, serta meletakkan syarat-syarat yang
ketat untuk mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya. Oleh sebab ketelitian
beliau inilah, maka kitab Sahih Bukhari ini menjadi rujukan utama dalam senarai
kitab-kitab hadis dalam dunia Islam.
Imam Bukhari adalah
seorang yang bukan berbangsa Arab, malah jika diteliti dari segi tempat lahir
akan keenam-enam Imam penyusun Kutub al-Sittah akan didapati mereka semua
adalah bukan berketurunan Arab, kecuali Imam Muslim yang mempunyai asal-usul
talian dengan bangsa Quraish Arab. Tetapi secara ringkasnya, mereka semua adalah
bukan berketurunan Arab, dan ini semua memberikan petanda kepada kita bahawa
Agama Islam ini dipelihara oleh bangsa Arab dan bukan Arab. Oleh itu, adalah
tidak mustahil untuk sesiapa sahaja samada Arab atau tidak untuk mendalami dan
menguasai bidang hadis,asal mempunyai minat dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Bukan menjadi tujuan dalam
penulisan ini untuk menyanjung Imam Bukhari semata-mata, ini adalah kerana beliau
tidak memerlukan apa-apa sanjungan lagi daripada kita. Malah, sebarang pujian
atau kritikan terhadap beliau tidak akan menjejaskan sedikitpun kedudukan Imam
Bukhari pada mata dunia Islam, yang pasti beliau telah meninggal dunia dan
meninggalkan kepada kita bukti keilmuan yang hebat, pujian-pujian para ulama,
hasil karya yang bermutu tinggi dan disanjung para ulama dulu sehingga kini. Apa
yang perlu dan lebih penting untuk dilakukan oleh kita adalah bukan mengkagumi
dan menyanjung beliau semata-mata, akan tetapi adalah menjadi kewajipan kita
melihat dan mengambil contoh akhlak dan sifat beliau untuk kita praktikkan pada
diri kita dan umat Islam. Ramai antara kita di Malaysia suka memuji dan
menyanjung kehebatan ulama-ulama silam, akan tetapi malangnya amat sedikit yang
berusaha mengambil langkah lebih kehadapan dengan mengikuti jejak langkah
mereka, sehingga pujian hanya tinggal pujian tanpa hasil kepada umat.Akhirnya,
kita hanya menyanjung ulama-lama silam tanpa melahirkan pengganti mereka.
Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk kita melihat kepada sifat Imam
al-Bukhari, dan yang lebih penting adalah melihat apakah sifat-sifat dan
ciri-ciri al-Bukhari yg dapat kita contohi dan praktikkan dalam hidup kita, terutamanya
kepada mereka-mereka yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam. Walaubagaimanapun,
kita akan lebih menfokuskan kepada akhlak dan sifat Imam Bukhari dalam kajian
Hadis.
Para ulama
bersepakat bahawa Imam Bukhari adalah salah seorang ahli fiqh dan pakar
ijtihad. Ahmad bin Sayar berkata dalam kitab Tarikh al-Marwi: "Muhammad
bin Ismail adalah seorang yang suka mencari ilmu, mempergauli orang ramai,
berkelana mencari hadis, memiliki ingatan yang kuat, dan seorang pakar
fiqh". Sehinggakan Muhammad al-Masandi berkata: "Muhammad bin Ismail
adalah seorang imam atau ikutan, maka barang siapa yang tidak menjadikannya
imam tercelalah orang tersebut". Selain itu beliau juga merupakan seorang
yang zuhud, tawadduk, waraq dan seorang yang soleh.
Akhlaq dan Sifat Imam Bukhari dalam Kajian
Hadis
1. Kesungguhan
yang tinggi dalam menghafaz hadis
Imam Bukhari banyak menuntut ilmu daripada para Muhaddith di
beberapa Negara yang terkenal dengan ulama hadisnya. Beliau juga suka bergaul
dengan orang lain demi mencapai cita-citanya dalam ilmu hadis. Beliau adalah
seorang yang cerdas dan kuat hafazannya. Imam Bukhari telah mengembara dan
mencari hadis dan menghafaznya sejak beliau berumur 10 tahun. Pada umur 16
tahun, beliau menghafaz kitab Ibnul Mubarak dan Wakik sehingga beliau dapat
menguasai kedua kitab terebut. Menurut al-Firabri, iaitu salah seorang
murid kepada Imam Bukhari, beliau telah bertanya dan berbual bersama Imam
Bukhari tentang bagaimana permulaan Imam Bukhari menghafaz dan menceburi dalam
bidang hadis, beliau Imam Bukhari berkata: "aku mula menghafaz hadis pada lebih
kurang umur aku 10 tahun atau kurang sedikit", kemudian Imam Bukhari
menambah "kemudian aku keluar daripada halaqah yang meghafal hadis itu,
keluar pergi ke rumah para ulama-untuk menuntut hadis-". Antara ulama yang
dikunjungi Imam Bukhari untuk menuntut hadis adalah kepada gurunya al-Dakhili,iaitu
seorang ulama hadis yang terkenal pada zamannya ketika itu.
Pada suatu hari, ketika
Imam Bukhari berumur 10 tahun atau lebih sedikit, beliau menghadiri majlis
Hadis al-Dakhili dan menegur kesalahan sanad yang disebutkan al-Dakhili dengan teguran yang penuh hikmah, iaitu ketika gurunya al-Dakhili menyebutkan
sanad, "Sufyan dari Abi Zubair, dari Ibrahim", mendengar akan sanad
itu, dengan spontan Imam Bukhari menyebut "sesungguhnya Abu Zubair tidak
pernah meriwayatkan sesuatupun daripada Ibrahim", mendengarkan kata-kata
Imam Bukhari itu, lantas al-Dakhili memarahi dan menyergah al-Bukhari dengan
berkata "diam!!". Kemudian Imam Bukhari menegur gurunya dengan penuh
hikmah dengan berkata "wahai guru, baliklah dah lihatlah pada cacatanmu
sekiranya ada..", ini memandangkan al-Dakhili menyebutkan sanad itu
berdasarkan hafalannya dan Imam Bukhari pasti yang gurunya tersilap, kerana
al-Bukhari juga turut menghafal sanad tersebut. Maka al-Dakhili kemudiannya
pergi masuk mengambil buku cacatannya, setelah al-Dakhili melihat akan buku
cacatannya, al-Dakhili bertanya kepada al-Bukhari "wahai anak kecil,
bagaimanakah sanad yang sebenarnya..", Imam Bukhari menjawab " bukan
Abu Zubair, akan tetapi hanya Zubair iaitu Ibn Adiy..", mendengarkan
jawapan Imam Bukhari itu, al-Dakhili berkata kepada Imam Bukhari "wahai anak kecil, betul kamu
benar", dan selepas itu al-Dakhili mengakui dan membetulkan kesilapannya.
Diberitakan juga dari
rakan al-Bukhari, Muhammad ibn al-Azhar al-Sajistani. Pada suatu ketika aku
(iaitu al-Sajistani) bersama al-Bukhari dalam majlis ilmu Sulaiman ibn Harb,
seorang Qadhi dari negeri Basrah sedang mengajar hadis. Berkata al-Sajistani
"sesungguhnya Bukhari bersama kami dalam majlis ilmu itu, dia mendengar
tetapi dia tidak menulis..". Kemudian bertanya salah seorang yang turut
menghadiri majlis itu "kenapa dia tidak mahu menulis?" maka jawab
seorang yang mengenali al-Bukhari "sesungguhnya dia mendengar disini dan
pulang ke rumahnya di Bukhara kemudian dia menulis berdasarkan
ingatannya..", ini menunjukkan kekuatan hafazan Imam Bukhari.
Selain itu, diceritakan az-Zahabi dalam Siyar A'lam Nubala, berkata
Abu Ahmad bin Adiy: "aku mendengar sesetengah ulama yang menceritakan
bahawa Muhammad bin Ismail al-Bukhari suatu hari datang ke Baghdad, kemudian para ulama hadis berkumpul
bersama beliau untuk mendengarkan sebuah hadis". Kemudian ulama-ulama
hadis tersebut sengaja memutarbelit dan menterbalikkan kesahihan matan dan
sanad hadis untuk menguji kecekapan Imam Bukhari. Setelah ditanyakan kepada
Imam Bukhari, beliau dapat menjawab bahawa sanad dan matan hadis tersebut
salah. Juga diberitakan oleh Ahyat bin Abi Ja'far, "Muhammad bin Ismail
berkata: "apabila aku telah mendengarkan hadis di Basrah, aku akan
menulisnya di Syam, dan apabila hadis tersebut aku dengar di Syam maka akau
akan menulisnya di Mesir". Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "para
penghafaz hadis dari penduduk Khurasan iaitu Abu Zar'ah ar-Razi,Muhammad bin
Ismail al-Bukhari, Abdullah bin Abdur Rahman as-Samarkandi dan Hasan bin Syujak
al-Balkhi". Juga berkata Imam Ahmad:"aku tidak akan dapati seorang di
negeri Khurasan seperti Muhammad bin Ismail al-Bukhari". Ini semua
menunjukkan betapa kuatnya hafazan al-Bukhari sehingga para ulama hadis yang
lainnya mengkaguminya.
Juga diceritakan oleh
Jamaluddin al-Qasimi, pernah seorang yang kagum dengan kekuatan hafazan Imam
Bukhari bertanya kepada beliau "apakah ubat untuk mudah dan kuat
menghafal", jawab al-Bukhari "tiada perkara lebih bermanfaat tentang
hafazan yang aku tahu melainkan dua perkara: kecintaan dan kemahuan yang tinggi
terhadap sesuatu (nahmatul rajl) dan sentiasa mengulangi dan melihat
berulang-ulang kali (mudawamatin Nadzar)". Nah!!
lihatlah petua yang diberikan Imam Bukhari ini sangat logik, rasional dan
praktikal, tiada apa-apa petua yang pelik, tidak perlu makan atau minum
ramuan-ramuan tertentu atau jampi-jampian tertentu, tetapi yang perlu hanyalah
kemahuan dan kecintaan yang kuat dan pengulangan yang kerap!!.
2. Bersabar
dalam menjelajah ke merata tempat demi mencari Hadis
Ini adalah satu sifat
yang menunjukkan kesungguhan Imam Bukhari dalam menuntut ilmu Hadis. Berkata
al-Bukhari: "aku memasuki Syam, Mesir dan Jazirah dua kali, aku memasuki
Basrah empat kali, Hijaz enam tahun, dan aku tidak dapat menghitung berapa kali
aku masuk dan keluar dari Baghdad dan Kufah bersama para Muhaddith
lainnya.."
Imam Bukhari juga pernah bermusafir ke Makkah bersama ibu
dan saudara lelakinya. Ketika sesampainya di Makkah, mereka melakukan ibadah haji
kemudian ibu dan saudara lelakinya meninggalkan Imam Bukhari dalam mencari
Hadis. Antara negeri-negeri yang telah dilaluinya adalah seperti Khurasan, Iraq,
Hijaz, Syam, Basrah dan Mesir. Ini semua menunjukkan kesungguhan dan kesabaran
Imam Bukhari dalam menjelajah mencari ilmu Hadis.
3. Tidak sombong dalam mengambil ilmu
daripada orang lain
Berkata Imam Bukhari:
"seorang Muhaddith itu tidak akan menjadi sempurna sehinggalah dia belajar
dan menulis hadis daripada mereka yang lebih tinggi ilmu daripadanya, daripada
mereka yang sama tahap ilmu dengannya, dan juga daripada mereka yang lebih
rendah ilmunya…", ini menunjukkan sifat tidak sombong al-Bukhari dalam
mempelajari Hadis, beliau mengambil hadis daripada semua lapisan, tidak mengira
samada gurunya, kawan-kawan yang setaraf dan juga daripada anak-anak muridnya
sendiri. Sebagai contoh, Imam Bukhari pernah mengambil dan belajar hadis
daripada anak muridnya sendiri iaitu Imam Tirmizi. Juga diberitakan oleh Ibn
Hajar bahawa Imam Bukhari tidak malu mengambil dan belajar hadis daripada
anak-anak muridnya dan rakan-rakan yang setarafnya adalah untuk mencari faedah,
manfaat dan perkara-perkara baru daripada mereka. Mungkin
sesetengah perkara yang diketahui anak murid al-Bukhari tidak diketahui Imam
Bukhari, oleh itu Imam Bukhari tidak sombong dan tidak segan silu belajar
daripada mereka, walaupun mereka lebih rendah tahap ilmunya daripada beliau, al-Bukhari
menyedari akan hal bahawa pasti ada orang yang tahu akan perkara yang dia tidak
tahu, ini kerana tiada antara kita yang sempurna.
4. Berkongsi Ilmu bersama orang lain
Imam Bukhari juga
terkenal dengan sifatnya yang suka berkongsi ilmu dengan orang lain, tidak
mengira siapa jua walaupun seseorang itu lebih tinggi ilmu daripadanya, sama
atau lebih rendah ilmu daripadanya.Antara murid-murid al-Bukhari yang terkenal
yang belajar darinya dan mengambil ilmu darinya ialah seperti at-Tirmizi, Abu Zur'ah,
an-Nasaie, Ibn Khuzaimah dan lain-lain. Malah, guru-guru Imam Bukhari sendiri seperti
Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah turut mengambil manfaat dari Imam Bukhari.
Al-Bukhari juga tidak pernah lokek dan kedekut dalam berkongsi ilmu bersama
orang lain,sehingga diberitakan jika dibilang jumlah semua mereka yang pernah
belajar dan mengambil hadis daripada Imam Bukhari ianya akan mencecah
beribu-ribu nama. Imam Bukhari juga tidak pernah menghadkan masanya untuk menyampaikan
ilmu, bahkan akan cuba
menyampaikan sebaik mungkin dan tidak akan menyembunyikan ilmu yang dapat
beliau kongsi bersama anak-anak muridnya. Imam
az-Zahabi dalam kitabnya Siyar A'lam Nubala' menyebutkan bahawa Imam Bukhari
pernah berkata: "aku tidak akan menyembunyikan ilmu sesuai dengan sabda
Nabi yang bermaksud: "sesiapa yang ditanya tentang ilmu kemudian dia
menyembunyikannya maka dia akan diseksa dengan api neraka".
5. Gigih dalam menghasilkan Penulisan Ilmiah
Imam Bukhari tidak berhenti dan berpuas
hati setakat mencari, menghafaz dan menyampaikan Hadis sahaja, akan tetapi
beliau juga turut menghasilkan penulisan-penulisan ilmiah yang kebanyakannya
berkaitan hadis dan terdapat juga penulisan beliau dalam bidang-bidang lain. Imam Bukhari mula mengarang beberapa buah kitab ketika umur
beliau mencecah 18 tahun, antaranya ialah Fadhail as-Sahabah wa at-Tabiin iaitu
pada masa Ubaidullah bin Musa. Beliau juga mengarang kitab at-Tarikh ketika
berada di kubur Rasulullah SAW. Dan kitabnya yang monumental dan terpenting
ialah kitab al-Jami' al-Sahih atau lebih dikenali dengan timangan Sahih
Bukhari. Beliau memerlukan waktu 16 tahun untuk menyiapkan kitab Sahihnya ini.
Secara lengkapnya dibawah ini disenaraikan antara
tajuk-tajuk kitab yang ditulis oleh Imam Bukhari:
1-
Qadaya al-Sahabah wa
al-Tabiin.
2-
Raf al-Adyan
3-
Qiraat Khaf al-Iman
4-
Khalq Af'al al-Ibad
5-
al-Tafsir al-Kabir
6-
al-Musnad al-Kabir
7-
Tarikh Shaghir
8-
Tarikh Ausat
9-
Tarikh Kabir
10-
al-Adab al-Mufrad
11-
Birr al- wa Lidaini
12-
al-Dhuafa'
13-
al-Jami' al-Kabir
14-
al-Asyribah
15-
al-Hibah
16-
as-Samik as-Sahabah
17-
al-Wuhdan
18-
al-Mabsuth
19-
al-Ilal
20-
al-Kuna
21-
al-Fawaid
22-
al-Jami' al-Sahih li
Musnad min Hadis Rasulallah wa Ayyamihi atau lebih dikenali dengan Sahih
Bukhari
6. Tidak semata-mata bergantung kepada
Hafazan
Imam Bukhari berkata: "aku tidak akan
duduk menulis dan mengajar hadis, sehinggalah aku dapat kemampuan membezakan
hadis yang Sahih dan yang Dhaif". Ini menunjukkan satu disiplin yang
ditetapkan dan dibina beliau untuk dirinya sendiri, bagi mengelakkan kesilapan
beliau dalam menyampaikan dan mengajarkan hadis. Imam
Bukhari sangat berhati-hati dalam menyampaikan hadis, beliau akan memastikan
sesuatu hadis itu tsabit dari Nabi SAW sebelum menyampaikannya kepada orang lain. Ini sesuai dengan
sabda Nabi SAW "barangsiapa yang berdusta kepadaku dengan sengaja, maka
siaplah tempat duduknya dalam neraka". Dan juga al-Bukhari pernah berkata: "aku
tidak akan tinggalkan satupun hadis di Basrah (apabila beliau pergi kesana)
kecuali aku akan menulis kembali kesemuanya (walaupun hadis-hadis tersebut beliau
telah hafal)..". Ini juga membuktikan bahawa Imam Bukhari tidak
semata-mata bergantung kepada ingatan, tetapi turut menulis dan mencatat segala
hadis-hadis yang diketahuinya dan yang dihafaznya.
7. Berhati-hati dalam menilai periwayat
Hadis
Imam Bukhari terkenal sebagai ulama Jarh wa
Ta'dil,
beliau sangat berhati-berhati dalam menilai periwayat hadis. Maka dalam menulis
buku, Imam Bukhari sangat berhati-hati dalam Hadis dan sebarang pendapat yang
akan beliau tulis atau keluarkan. Berkata Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya
Fathul Baari : "terdapat sikap berhati-hati yang lebih pada Imam Bukhari
dalam Jarh wa Ta'dil, dan juga pemilihan Imam Bukhari (dalam hadis) adalah
sangat ketat..". Disebabkan ketelitian dan syarat-syarat yang ketat dalam
menilai periwayat inilah yang menyebabkan para ulama berasa susah hendak
menolak hadis-hadis yang disahihkan al-Bukhari dan berasa susah untuk menerima
hadis-hadis yang didhaifkan al-Bukhari.
8. Berhati-hati dalam Memilih Hadis
al-Bukhari sangat berhati-hati memilih
hadis ketika menyampaikannya ataupun ketika menulis. Sehingga beliau mengambil
masa yang lama iaitu 16 tahun untuk menyempurnakan kitab Sahihnya. Ketelitian beliau juga dapat dilihat sebagaimana yang
dikatakan beliau sendiri dalam kitab tersebut: "Aku tidak akan memasukkan
hadis-hadis dalam al-Jami al-Sahih kecuali yang sahih sahaja, dan aku tidak
akan meletakkan sebuah hadis dalam kitab tersebut kecuali apabila aku telah
mandi dan melaksanakan solat dua rakaat".
Dalam menulis kitab sahihnya, Imam Bukhari berpegang kepada dua prinsip utama
iaitu memelihara Sanad dan Matan sesebuah Hadis yang akan ditulisnya. Ini bagi
memastikan setiap Sanad hadisnya Marfuk sehingga kepada Nabi SAW dan memenuhi
segala syarat tertentu untuk dikira sahih.
Dalam hal Sanad,
Imam Bukhari tetap berpegang kepada prinsip bahawa setiap perawi mestilah
Tsiqah iaitu memiliki sifat Adil dan Dhobit (dipercayai dan tepat dalam
menggarap sesuatu perkara). Beliaulah orang yang telah mempopularkan
syarat-syarat untuk menentukan kesahihan sesuatu periwayatan hadis. Yang mana
jika kesempurnaan syarat-syarat itu dipenuhi, sesuatu hadis itu dapat diterima
olehnya dan dimasukkan dalam kitab sahihnya. Begitu juga dari segi Matan hadis,
Imam Bukhari sangat menekankan tentang kebenaran matan hadis tersebut iaitu
terpelihara daripada apa yang dikatakan hadis palsu dan kecacatan yang
tersembunyi. Walaupun sanad sesebuah Hadis tersebut dikatakan telah sahih dan
diterima, maka secara ringkasnya dan sepatutnya hadis itu diterima, tetapi bagi
Imam Bukhari, beliau tetap meneliti setiap matan hadis yang akan dimasukkan
dalam kitab sahihnya. Oleh sebab ketelitian beliau yang melampau inilah, maka
kitab Sahih Bukhari menjadi rujukan utama dalam senarai kitab-kitab hadis
seluruh dunia.
Imam Bukhari
meneliti setiap matan yang disebut sebagai Hadis kerana Rasulullah SAW bukanlah
manusia biasa,tetapi manusia yang dikurniakan wahyu. Oleh itu tidak mungkin
sesuatu Hadis yang disampaikan oleh Baginda SAW dianggap aneh atau pelik yang
memungkin hadis itu dianggap palsu kerana kemungkinan maksud sesuatu Hadis yang
agak aneh tersebut masih belum dapat difahami oleh manusia biasa. Oleh sebab
itu Imam Bukhari meneliti setiap matan sesebuah Hadis walaupun dari segi
sanadnya sudah cukup untuk menentukan sahih atau tidaknya sesebuah Hadis.
9. Mesra dan Pemurah kepada Pelajar
Sifat
ini adalah satu sifat yang sangat terpuji dan patut dicontohi oleh kita. Imam
Bukhari merupakan seorang yang sangat mesra dan pemurah terhadap para
pelajarnya. Beliau tidak pernah mempunyai rasa hati dirinya lebih hebat dari
orang lain atau lebih pandai daripada orang lain, dan tidak pernah mempunyai
perasaan dirinya sahaja yang betul dan orang lain salah. Disebutkan oleh Jamaluddin al-Qasimi:
"sesungguhnya al-Bukhari adalah seorang yang makannya sangat sedikit,dia
banyak berbuat ihsan terhadap para pelajarnya,dia seorang yang baik dan terlalu
pemurah.." . al-Bukhari tidak pernah berasa berat sebelah terhadap semua
anak-anak muridnya, akan tetapi memberi layanan yang adil dan saksama.
10. Meminta Pandangan Ulama lain berkaitan
Hasil Kajian
Ini adalah satu lagi sifat al-Bukhari yang
patut diikuti oleh kita, terutamanya bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu Hadis
atau lainnya. Imam
Bukhari tidak mempunyai perasaan bahawa dia seorang sahaja yang tahu, akan
tetapi sentiasa menyedari bahawa di luar sana
pasti akan ada perkara yang dia tidak tahu tetapi diketahui oleh orang lain. Imam
Bukhari sentiasa merujuk dan meminta pandangan ulama lain terhadap hasil
kajiannya dalam hadis, dengan harapan moga-moga akan ada pembetulan, tambahan
perkara baru dan sebagainya.
Berkata Abu Ja'far al-U'qaili:"apabila
al-Bukhari telah menyiapkan kitab Sahihnya, beliau merujuk dan menunjukkannya
kepada (guru-gurunya seperti) Ahmad bin Hanbal, Yahya ibn Main, Ali ibn Madini
dan juga kepada orang-orang lain.." Maka mereka (guru-gurunya) semua
berkata: "ianya amat baik, (mereka setuju dengan semuanya) kecuali empat
hadis..." Walaubagaimanapun, setelah al-U'qaili mengkaji semula empat
hadis yang diperselisihkan itu, beliau mendapati hujah-hujah al-Bukhari adalah
lebih kuat dan beliau tetap bersetuju dengan penilaian al-Bukhari bahawa ianya
adalah hadis-hadis yang sahih
11. Kesabaran dalam menghadapi gangguan Fitnah
orang yang Iri Hati
Ini adalah satu lagi sifat Imam Bukhari
yang terpuji. Walaupun, pada masa hayatnya Imam Bukhari menghadapi pelbagai
ujian dan fitnah, namun beliau tetap bersabar dengan ujian fitnah tersebut.
Kerana apa berlaku fitnah? Kerana kehebatan Imam Bukhari dan kerana sifat
dengki ulama-ulama lain yang tercabar dengan beliau. Ini
sepertimana juga yang berlaku kepada ulama-ulama Ahlus Sunnah yang lainnya
zaman berzaman seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Hibban, as-Syafie, Ahmad ibn Hanbal,
Muhammad Abdul Wahhab dan lain-lain.
\
Kisah yang terkenal dalam hal ini adalah
kisah fitnah Imam Muhammad bin Yahya al-Zohli yang merupakan guru Imam Bukhari
sendiri. Kisah ini berlaku ketika Imam Bukhari pergi ke negeri Naisabur untuk
mencari dan menyampaikan hadis. Imam al-Zohli
merupakan seorang yang amat terkenal dengan kehebatnnya dalam hadis di negeri
Naisabur, dan antara anak murid al-Zohli yang terkenal adalah Imam Muslim. Apabila Imam al-Zohli mendapat tahu bahawa Imam Bukhari akan dating dan
mengajar di Naisabur, al-Zohli takut akan kedudukannya akan terjejas sebagai
ulama yang terhebat di Naisabur. Maka Imam al-Zohli telah merancang dan telah
berjaya menfitnah Imam Bukhari berkenaan perselisihan adakah al-Quran itu
makhluk atau Kalam Allah. Pada masa itu, khalifah yang memerintah ialah Makmun
bin Harun ar-Rashid yang berfahaman dan berpegang kepada aqidah Muktazilah.
Aliran Muktazilah berfahaman bahawa al-Quran itu adalah makhluk dan sesiapa
yang menentang fahaman tersebut akan dibunuh, sedangkan Imam Bukhari berpegang
kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah bahawa al-Quran itu adalah Kalam Allah
sepertimana yang diberitakan dalam al-Quran.
Imam al-Zohli
telah berjaya menghasut anak-anak muridnya supaya bertanya kepada Imam Bukhari
berkenaan hal tersebut. Apabila anak-anak murid Imam al-Zohli bertanya kepada
Imam Bukhari "apakah pendapat kamu tentang al-Quran? Adakah ia makhluk
atau Kalam Allah?", Imam Bukhari menjawab bahawa al-Quran itu adalah Kalam
Allah sesuai dengan fahaman aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah sepertimana yang
diberitakan dalam al-Quran sendiri. Mendengarkan jawapan al-Bukhari itu,
pihak-pihak yang dengki dan iri hati terhadap Imam Bukhari telah menggunakan
jawapannya itu untuk meyesatkan al-Bukhari, apabila berita tersebut sampai
kepada khalifah Makmun bin Harun ar-Rashid, khalifah berasa marah dan bertindak
menghalau al-Bukhari dari negeri Naisabur,sehinggalah Imam Bukhari dibuang
negeri dan hidup mati dalam buangan. Selain Imam Bukhari, Imam Ahmad bin Hanbal
termasuk orang yang mementang fahaman tersebut, sehingga Imam Ahmad
dipenjarakan, diseksa dan disebat.
Hendak ditunjukkan betapa berjayanya dan
hebatnya fitnah terhadap Imam Bukhari ini, berkata al-Hakim: "ketika mana
al-Bukhari dan al-Zohli berselisih faham akan hal ini, para manusia
meninggalkan dan memulau kelas al-Bukhari, kecuali Muslim ibn Hajjaj dan Ahmad
ibn Salamah…", lihatlah pada asalnya beribu-ribu
orang pergi mengikuti majlis Hadis al-Bukhari, akan tetapi apabila fitnah ini
terjadi, sehebatnya al-Bukhari hanya tinggal dua orang sahaja yang tetap
bersama Imam Bukhari. Sehinggakan diberitakan bahawa, Imam Muslim dan
Ahmad bin Salamah juga turut dihalau dan dihalang dari mengikuti kelas-kelas
hadis lain, sehingga ada yang mengatakan " aku tidak mahu lagi lelaki ini (Bukhari dan sesiapa saja yang belajar dengan al-Bukhari) berada
dalam negeri ini…". Sehingga Imam Muslim dan Ahmad ibn Salamah juga
terpaksa keluar dari Naisabur dan hidup dalam buangan. Semua
fitnah dan gangguan ini berlaku adalah kerana kehebatan al-Bukhari dan bukan
kerana sebab-sebab yang lain. Sebagaimana kata-kata Ibn Sayyid al-Andalusi
"-ini semua berlaku- kerana al-Bukhari hebat dan mempunyai ilmu yang
tinggi -sehingga orang-orang dengki kepadanya-".