Isnin, 11 Julai 2011

Fitrah Yang Menjadi Fitnah




Assalamualaikum.......Ini Adalah Sedikit Tazkirah
Fitrah Yang Menjadi Fitnah

(p/s : perkongsian yg aku kira boleh aku kongsi bersama2 teman walaupun aku xingt sapa dia punya pengarang.. kreadit utk si pengarang )

Remaja dan Cinta - dua perkara yang bagaikan sudah sebati. Rasa cinta bertandang di dalam jiwanya tanpadiundang. Keinginan itu tidak payah dipelajari dan dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulahsebaliknya. Walaupun kadangkala ia cuba dilawan, namun rasa AJAIB itu datang jua . Apalagi kalau cinta itu disuburkan, maka makin marak dan menggilalah jadinya. Bila cinta mencengkam diri, makan tak kenyang, tidur tak lena dibuatnya. Sedemikian indah dan damainya syurga, namun Nabi Adam a.s berasa kesunyian dan inginkan teman. Lalu Allah ciptakan Siti Hawa dari tulang rusuknya. Dan kita anak cucu pewaris rasa cinta itu akan sentiasa rasa terpisah dan gelisah selagi tidak bersama dengan yang dicintai.

Rasa Cinta Tak Salah

Lalu hati remaja selalu berkata, apakah salah kami bercinta? Ya, rasa cinta memang tak salah. Ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya. Namun Allah tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu saja. Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurnianya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah remaja selalu terjebat. Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturanAllah. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan.

Mengapa Perlu Ada Peraturan Cinta

Jawabnya, kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan
tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta-cinta yang terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita jangan sekali-kali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedy yang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan Allah.Cinta yang terlarang adalah cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan yang menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada siapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintai. Lupalah diri kepada Pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakan-NYA . Bagaimanakah perasaan agaknya, jika sesorang begitu leka dengan hadiah hingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?

Pohon Cinta Terlarang


Allah kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta yang terlarang. Hukum-Nya dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Tergamak berdua-duaan ditempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu Syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun banyak yang berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarangpun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang anih dan menjijikkan- bohsia,bohjan, ABU, buang bayi dan zina. Ketika itu indahkah cinta? Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakkannya perlu diatur dan dikawal.Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta , ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan. Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta?Hendaklah cinta kita berdasarkan kepada cinta Allah. Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah. Allah memberikan kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun , tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah dinatkan untuk Allah. Soalnya Bagaimana? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki dan wanita menyempurnakan agamanya. Oleh itu, usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau pujukan syaitan. Jika tiada niat untuk berkahwin , cinta sudah pasti bukan kerana Allah . Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan. Cinta jenis ini seburuk namanya- Cinta Monyet! Putus Cinta Hendaklah dipastikan semasa menjalinkan hubungan cinta tiada hukum Allah yang dilanggar. Antaranya, tiada pergaulan bebas , tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jangan sampai terjelumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Maka, remaja tidak seharusnya mengeluh, "Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, perbualan telefon maraton, surat cinta, e-mail cinta,sentuhan tangan, kerlingan , chat yang berunsurkan cinta dan senyuman? Yakinlah tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Allah . Putus cinta dan kecewa bercinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak putus tanpa sempat menempuh alam perkahwinan. Allah maha mengetahui dan maha menyayangi. Segala peraturan-Nya dibuat dengan rasa cinta terhadap hamba-hamba-Nya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu . Dan itu cinta pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika diizinkan oleh takdir-Nya, cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat, suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi disyurga. Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.

Allah Waalam.....Sesungguhnya cinta yang paling sejati dan indah ialah cinta manusia kepada pencipta-Nya.......Cinta yang tiada larangan ...cinta yang tidak Boleh diputuskan ....InsyaAllah sejahtera didunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan